Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Ajarlah Anak Anda untuk Menunjukkan Kesyukuran

Ajarlah Anak Anda untuk Menunjukkan Kesyukuran

 Kajian menunjukkan bahawa orang yang bersyukur lebih bahagia, sihat, dapat mengatasi masalah, dan menikmati persahabatan yang lebih baik. Seorang penyelidik yang bernama Robert A. Emmons berkata bahawa orang yang menunjukkan kesyukuran “terlindung daripada sifat-sifat buruk seperti iri hati, berdendam, tamak, marah, dan kecewa.” a

 Apakah manfaatnya jika kanak-kanak menunjukkan kesyukuran? Sebuah kajian telah dijalankan ke atas 700 orang kaum muda selama empat tahun. Menurut kajian itu, kaum muda yang menunjukkan kesyukuran kurang terlibat dalam perbuatan seperti menipu dalam peperiksaan, menyalahgunakan dadah dan alkohol, atau berperangai buruk.

  •   Sikap bahawa seseorang berhak menerima hal yang baik akan mengurangkan rasa syukurnya. Banyak kanak-kanak berasa bahawa mereka berhak menerima hal yang baik. Oleh itu, mereka kurang menunjukkan kesyukuran apabila hal yang baik berlaku kepada mereka.

     Sikap ini berleluasa sekarang. “Dunia sekarang mengajar bahawa kita patut mendapatkan apa sahaja yang kita mahu,” kata seorang ibu yang bernama Katherine. “Dunia ini menunjukkan gambar benda-benda yang ‘sepatutnya’ kita miliki dengan segera.”

  •   Sikap bersyukur dapat disemai sejak kecil. Seorang ibu yang bernama Kaye berkata, “Kanak-kanak senang untuk diajar. Mengajar mereka tabiat baik sejak muda adalah seperti menggunakan kayu untuk membantu tanaman tumbuh dengan tegak.”

Cara untuk memupuk perasaan bersyukur

  •   Ajar mereka apa yang patut dikatakan. Kanak-kanak, bahkan yang masih kecil, boleh diajar untuk berkata terima kasih apabila seseorang memberi mereka hadiah atau berbuat baik kepada mereka. Seraya mereka membesar dan menjadi lebih matang, mereka akan beransur-ansur menghargai kebaikan hati orang lain dengan lebih mendalam.

     Prinsip Bible: “Tunjukkanlah kesyukuran kamu.”—Kolose 3:15.

     “Cucu kami yang berumur tiga tahun selalu berkata ‘terima kasih’ dan ‘tolong.’ Dia mempelajari hal ini daripada ibu bapanya. Oleh sebab ibu bapanya mempunyai tabiat untuk menunjukkan kesyukuran, anak mereka pun belajar untuk menunjukkan kesyukuran.”—Jeffrey.

  •   Ajar mereka apa yang patut dilakukan. Bolehkah anda membantu anak anda untuk menulis kad terima kasih apabila orang lain memberi mereka hadiah? Selain itu, anda juga boleh menugaskan kerja di rumah kepada anak anda supaya mereka memahami bahawa usaha diperlukan untuk menjaga rumah.

     Prinsip Bible: “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kisah 20:35.

     “Kedua-dua anak remaja kami membantu dengan merancang, menyediakan dan memasak makanan, serta membuat kerja lain di rumah. Hal ini membantu mereka memahami usaha yang dicurahkan oleh kami sebagai ibu bapa, dan membantu mereka untuk menunjukkan sikap bersyukur.”—Beverly.

  •   Ajar mereka sikap yang betul. Sepertimana tanaman bertumbuh dengan baik apabila adanya tanah yang subur, begitu juga perasaan bersyukur dapat dipupuk apabila adanya kerendahan hati. Orang yang rendah hati sedar bahawa mereka memerlukan bantuan supaya dapat berjaya dan hal ini membantu mereka menunjukkan kesyukuran atas sokongan yang diterima.

     Prinsip Bible: “Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri. Jagalah kepentingan orang lain dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:3, 4.

     “Ada kalanya kami buat satu aktiviti semasa makan malam bersama. Setiap orang mengambil giliran untuk menyatakan apa yang disyukuri olehnya. Hal ini membantu semua orang untuk berfikiran positif dan memupuk perasaan bersyukur, dan bukannya berfikiran negatif atau mementingkan diri.”—Tamara.

 Tip: Tetapkan teladan. Kanak-kanak akan belajar untuk menunjukkan kesyukuran apabila mereka melihat anda sebagai ibu bapa, menunjukkan kesyukuran kepada orang lain dan juga kepada mereka.

a Daripada buku Thanks! How Practicing Gratitude Can Make You Happier.