Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Bagaimanakah jika Anak Saya Berasa Bosan?

Bagaimanakah jika Anak Saya Berasa Bosan?

 Anak anda terperuk di rumah dan tidak tahu mahu buat apa. Jadi dia pun berkata, “Saya bosanlah!” Sebelum anda memasang televisyen atau menyuruh dia main video game kegemarannya, pertimbangkan perkara-perkara berikut.

Perasaan bosan anak-anak—pengalaman sesetengah ibu bapa

  •   Jenis dan jumlah hiburan yang tersedia mungkin akan membuat anak anda berasa lebih bosan. Seorang ayah yang bernama Robert berkata, “Bagi sesetengah anak, hidup seharian membosankan jika dibandingkan dengan menonton TV atau main video game. Mereka berasa bahawa aktiviti harian tidak menyeronokkan.”

     Isterinya yang bernama Barbara juga setuju. Dia berkata, “Banyak hal dalam kehidupan kita memerlukan usaha dan menggunakan minda, tetapi mungkin anda tidak akan segera melihat hasilnya. Hal ini membosankan bagi anak yang meluangkan banyak masa untuk menonton TV atau main video game.”

  •   Anak-anak mungkin berasa tawar hati jika meluangkan banyak masa untuk melihat media sosial. Semasa melihat gambar dan video kawan-kawan, seorang anak muda mungkin berasa hidupnya tidak begitu seronok. Seorang gadis yang bernama Beth berkata, “Sangat senang untuk berfikir, ‘Semua orang enjoy, tapi saya di rumah saja.’”

     Selain itu, seseorang yang menghabiskan masa berjam-jam untuk melihat media sosial akan berasa kosong dan masih berasa bosan. Seorang pemuda yang bernama Chris berkata, “Kamu mungkin sedang mengisi masa lapang, namun kamu sebenarnya tidak mendapat apa-apa hasil.”

  •   Perasaan bosan boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat. Seorang ibu yang bernama Katherine berkata bahawa perasaan bosan membuka peluang bagi anak-anak untuk melakukan sesuatu yang kreatif. Sebagai contoh, dia berkata, “Seorang anak boleh menggunakan sebuah kotak dan menjadikan kotak itu sebagai kapsul masa, kereta, bot, atau kapal angkasa lepas. Selimut yang diletakkan di atas perabot pula boleh dijadikan seperti sebuah khemah.”

     Seorang ahli psikologi yang bernama Sherry Turkle menggambarkan perasaan bosan sebagai “suatu peluang untuk menjadi kreatif.” a Maka, perasaan bosan bukanlah sesuatu yang buruk dan yang harus dihindari. Sebaliknya, buku Disconnected menyatakan, “Sebagaimana mengangkat sesuatu yang berat menguatkan otot kita, perasaan bosan meningkatkan daya kreatif kita.”

 Kesimpulan: Anggaplah perasaan bosan anak anda sebagai peluang untuk membantu mereka menjadi kreatif dan bukannya sebagai sesuatu yang negatif.

Perasaan bosan anak-anak—apa yang dapat anda lakukan

  •   Jika keadaan mengizinkan, biarlah anak-anak anda bermain di luar. Barbara, yang disebut tadi, berkata, “Sinaran matahari dan udara yang segar sangat berkesan untuk menghilangkan perasaan bosan. Sebaik sahaja anak-anak kami mula bermain di luar, mereka menggunakan daya imaginasi mereka!”

     Prinsip Bible: ‘Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu. Ada waktu untuk ketawa dan ada waktu untuk melompat-lompat.’—Pengkhutbah 3:1, 4, nota kaki.

     Cuba renungkan: Apakah yang dapat saya lakukan agar anak-anak saya berpeluang bermain di luar dengan lebih kerap? Jika situasi tidak mengizinkan anak-anak bermain di luar, apakah aktiviti kreatif yang dapat dilakukan mereka di dalam rumah?

  •   Bantulah anak-anak anda untuk berfikir tentang orang lain. Seorang ibu yang bernama Lillian memberikan cadangan ini: “Bantulah kawan yang lanjut usia untuk memotong rumput, menyapu daun kering, atau memasak sesuatu dan membawanya kepada mereka. Membantu orang lain membawa sukacita yang sejati.”

     Prinsip Bible: “Orang yang murah hati akan menjadi makmur, dan orang yang menyegarkan orang lain akan disegarkan.”—Amsal 11:25.

     Cuba renungkan: Bagaimanakah anda dapat menggalakkan anak-anak anda untuk membantu orang lain dan meraih sukacita?

  •   Tetapkanlah teladan. Cara anda bercakap tentang aktiviti harian anda dapat mempengaruhi anak-anak anda. Seorang ibu yang bernama Sarah berkata, “Jika kata-kata kita menunjukkan bahawa kehidupan kita membosankan, kita sedang mengajar anak-anak kita untuk mempunyai pandangan yang sama. Tetapi jika kata-kata kita menunjukkan bahawa kita menikmati kehidupan seharian, kita sedang membantu mereka untuk mempunyai pandangan yang positif.”

     Prinsip Bible: “Bagi orang yang ceria, kehidupan sentiasa dipenuhi kegembiraan.”—Amsal 15:15.

     Cuba renungkan: Bagaimanakah saya bercakap kepada anak-anak saya tentang aktiviti harian saya? Apakah yang ditunjukkan melalui cara saya menangani perasaan bosan?

 Tip: Bantulah anak-anak anda untuk menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang kreatif. Seorang ibu yang bernama Allison berkata, “Kami ada sebuah peti cadangan dan setiap ahli keluarga boleh menyumbangkan idea mereka.”

a Daripada buku Reclaiming Conversation.