BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN
Cara Menghindari Perceraian semasa Sudah Tua
Antara tahun 1990 hingga 2015, kadar perceraian di Amerika Syarikat meningkat sebanyak dua kali ganda untuk orang yang berusia 50 tahun ke atas, dan sebanyak tiga kali ganda untuk mereka yang berusia lebih daripada 65 tahun. Apakah yang menyebabkan perceraian berlaku dalam kalangan orang yang sudah tua? Bagaimanakah anda dapat mencegah hal itu daripada berlaku dalam perkahwinan anda?
Dalam rencana ini
Mengapakah ada orang yang sudah tua ingin bercerai?
Sering kali, pasangan yang sudah tua bercerai kerana hubungan mereka beransur-ansur menjadi renggang. Seraya masa berlalu, sesetengah suami dan isteri mula minat dalam hal-hal yang berbeza dan mereka nampaknya tidak lagi ada banyak persamaan. Selain itu, selepas anak-anak pindah keluar dari rumah, sepasang suami isteri mungkin sedar bahawa mereka sudah lama memainkan peranan sebagai ibu bapa sehingga lupa caranya untuk menjadi suami dan isteri yang baik.
Belakangan ini, orang yang dianggap sebagai pakar perkahwinan menyuruh pasangan suami isteri untuk berfokus kepada kepentingan sendiri. Mereka menasihati suami dan isteri untuk tanya diri, “Adakah perkahwinan saya membuat saya gembira? Adakah perkahwinan itu menjadikan saya orang yang lebih baik? Adakah pasangan saya buat saya berasa disayangi dan dihargai?” Jika jawapannya tidak, banyak orang hari ini berfikir bahawa anda patut buat apa yang terbaik untuk diri sendiri, iaitu dengan bercerai dan buka lembaran hidup yang baharu.
Perceraian tidak lagi dianggap sebagai hal yang buruk. Seorang ahli sosiologi yang bernama Eric Klinenberg menulis, “Dahulu seseorang yang tidak gembira dengan pasangannya dan ingin bercerai harus memberikan sebab yang baik untuk berbuat demikian. Hari ini pula berbeza: Orang yang tidak gembira atau puas dengan perkahwinannya perlu cari alasan yang baik tentang mengapa dia patut teruskan perkahwinan itu. Hal ini kerana banyak orang hari ini percaya bahawa perkara terpenting ialah buat apa yang terbaik bagi diri sendiri.” a
Sudah tentu, apabila seseorang bercerai, dia tidak lagi menghadapi sesetengah masalah tetapi masalah baharu mungkin akan timbul. Contohnya, satu kajian menunjukkan bahawa “orang yang bercerai semasa sudah tua biasanya menghadapi masalah kewangan yang teruk, terutamanya bagi para wanita.”
Terdapat hal lain yang perlu dipertimbangkan. Buku Don’t Divorce menyatakan, “Anda boleh buka lembaran hidup yang baharu, tetapi anda masih orang yang sama. . . . Apakah yang telah anda lakukan untuk membaiki cara komunikasi yang sebelumnya telah gagal dalam perkahwinan anda? Apakah yang telah anda lakukan untuk mengubah cara anda menangani konflik yang timbul?” b
Apa yang dapat anda lakukan
Terimalah perubahan yang berlaku. Tiada hubungan yang tidak akan berubah. Hubungan anda dengan pasangan anda mungkin berubah kerana anak-anak telah pindah keluar atau kerana anda berdua mula minat dalam hal-hal yang berbeza. Daripada terus berharap keadaan akan tetap sama seperti dahulukala, fikirkanlah cara untuk perbaiki keadaan sekarang.
Prinsip Bible: “Janganlah bertanya, ‘Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?’ kerana orang yang menanyakan soalan itu tidak mempunyai kebijaksanaan.”—Pengkhutbah 7:10.
Teruslah jadi kawan baik bagi pasangan anda. Dapatkah anda pupuk minat terhadap hal yang disukai oleh pasangan anda sekarang? Dapatkah anda membantunya untuk turut menyukai hal-hal yang anda minat sekarang? Dapatkah anda cari aktiviti baharu yang anda berdua nikmati? Matlamat anda sepatutnya adalah untuk meluangkan masa bersama-sama. Dengan itu, anda berdua akan menjadi lebih akrab dan bukannya sekadar tinggal sebumbung.
Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”—1 Korintus 10:24.
Kekalkanlah sikap yang baik. Janganlah berhenti bersikap sopan hanya kerana anda berdua sudah bersama untuk masa yang lama. Bercakaplah dengan hormat kepada pasangan anda, dan tunjukkan sikap sepertimana anda berdating dahulu. Katakanlah “tolong” dan “terima kasih.” Tunjukkan selalu bahawa anda mencintainya dan ungkapkan penghargaan terhadap apa yang pasangan anda lakukan untuk anda.
Prinsip Bible: “Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan.”—Efesus 4:32.
Ingatlah kembali kenangan yang manis. Lihatlah gambar perkahwinan anda bersama-sama atau carilah gambar anda berdua yang lain. Hal ini dapat membantu anda mengekalkan atau memarakkan semula kasih dan hormat dalam perkahwinan anda.
Prinsip Bible: “Setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.”—Efesus 5:33.
a Daripada buku Going Solo—The Extraordinary Rise and Surprising Appeal of Living Alone.
b Menurut Bible, perbuatan seks yang tidak bermoral ialah satu-satunya dasar untuk perceraian. (Matius 19:5, 6, 9) Lihat rencana “Adakah Bible Mengizinkan Perceraian?”