Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang Permainan Video?

Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang Permainan Video?

 Kuiz permainan video

 Di Amerika Syarikat, permainan video, atau video game, merupakan industri yang membawa keuntungan sebanyak berbilion-bilion dolar. Di sana . . .

  1.   Berapakah purata umur bagi orang yang suka main permainan video?

    1.   18

    2.   30

  2.   Berapakah peratus bilangan pemain lelaki dan pemain perempuan?

    1.   55 peratus lelaki; 45 peratus perempuan

    2.   15 peratus lelaki; 85 peratus perempuan

  3.   Daripada dua kumpulan orang di bawah, kumpulan manakah yang mempunyai jumlah yang lebih banyak?

    1.   Perempuan yang berumur 18 tahun dan ke atas

    2.   Lelaki yang berumur 17 tahun dan ke bawah

 Jawapan (berdasarkan data tahun 2013):

  1.   B. 30.

  2.   A. Bilangan pemain perempuan mencapai 45 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah pemain.

  3.   A. Perempuan yang berumur 18 tahun dan ke atas mencapai 31 peratus daripada jumlah pemain. Lelaki yang berumur 17 tahun dan ke bawah mencapai 19 peratus.

 Daripada statistik ini, kamu dapat mengetahui siapa yang paling sering bermain game. Tetapi, kamu tidak mengetahui apa kesan baik dan kesan buruknya.

 Kesan baik

 Kamu setuju dengan komen yang mana?

  •  “Permainan video amat menyeronokkan. Kita dapat mengeratkan hubungan antara keluarga dan kawan-kawan.”​—Irene.

  •  “Ini cara yang baik untuk mengalihkan perhatian kita daripada realiti hidup.”​—Annette.

  •  “Tindakan refleks kamu akan menjadi lebih mantap.”​—Christopher.

  •  “Kamu dapat mengasah keupayaan untuk menyelesaikan masalah.”​—Amy.

  •  “Game merangsang pemikiran kamu; kamu dapat merancang dan mengatur strategi dengan lebih baik.”​—Anthony.

  •  “Game membantu kita untuk belajar bekerjasama dengan orang lain.”​—Thomas.

  •  “Sesetengah permainan video menggalakkan kita untuk bersenam dan kita akan menjadi lebih sihat.”​—Jael.

 Adakah kamu setuju dengan semua pernyataan di atas? Permainan video memang ada manfaatnya. Seperti yang dikatakan oleh Annette, bermain game ialah “cara yang baik untuk mengalihkan perhatian kita daripada realiti hidup” dan hal itu tidak salah.

 ● Bible menyatakan bahawa “ada waktu untuk setiap kejadian di bawah langit,” termasuk hiburan dan rekreasi.​—Pengkhutbah 3:​1-4.

 Kesan buruknya

 Adakah permainan video merampas masa kamu?

 “Kalau saya sudah mula bermain game, susah betul mahu berhenti! Saya memberitahu diri saya, ‘Saya akan main satu level saja lagi.’ Tetapi sebelum saya menyedarinya, berjam-jam sudah berlalu!”​—Annette.

 “Permainan video senang menghabiskan masa kamu. Kamu duduk selama berjam-jam dan berasa diri kamu hebat kerana menang lima game. Padahal sebenarnya kamu tidak mendapat apa-apa.”​—Serena.

 Kesimpulan: Jika kamu kehilangan wang, kamu mungkin dapat memperolehnya kembali. Tetapi kamu tidak dapat memperoleh kembali masa yang sudah berlalu. Boleh dikatakan, masa lebih berharga daripada wang. Jadi, jangan izinkan apa-apa pun untuk merampas masa kamu!

 ● Bible menyatakan, “Teruslah hidup dengan bijaksana . . . , gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”​—Kolose 4:5.

 Adakah permainan video mempengaruhi pemikiran kamu?

 “Dalam game, orang digalakkan untuk melakukan hal-hal jahat yang sebenarnya akan dijatuhkan hukuman penjara atau hukuman mati dalam dunia sebenar.”​—Seth.

 “Dalam banyak game, kalau kamu mahu menang, sering kali kamu harus kalahkan musuh kamu dalam cara yang sadis.”​—Annette.

 “Kadangkala, semasa kamu main, kamu tidak sedar apa yang kamu katakan kepada kawan-kawan kamu. Kamu mungkin berkata, ‘Mati kamu!’ atau ‘Saya akan bunuh kamu!’”​—Nathan.

 Kesimpulan: Hindari game yang mempunyai unsur-unsur yang dibenci Tuhan, seperti keganasan, perbuatan seks yang tidak bermoral, dan spiritisme.​—Galatia 5:​19-​21; Efesus 5:​10; 1 Yohanes 2:​15, 16.

 ● Ada orang yang berasa bahawa tidak salah jika mereka main game yang mempunyai unsur keganasan kerana mereka bukannya sedang melakukan keganasan. Tetapi Bible menyatakan bahawa Yehuwa bahkan “membenci orang yang suka akan keganasan.” (Mazmur 11:5) Walaupun game yang kamu pilih tidak menentukan personaliti kamu kelak, game yang kamu pilih menentukan personaliti kamu sekarang.

 Fikirkanlah: Menurut buku Getting to Calm, “permainan video yang mempunyai unsur keganasan nampaknya lebih mempengaruhi sikap dan perbuatan seseorang berbanding dengan pengaruh daripada televisyen. Hal ini demikian kerana semasa kanak-kanak main game, mereka bukan sekadar menonton hal-hal yang ganas dan sadis, tetapi merekalah yang sedang bertindak sedemikian. Memandangkan permainan video dapat mengajarkan sesuatu kepada seseorang, game yang ada unsur keganasan sedang mengajar orang untuk bersikap ganas.”​—Bandingkan Yesaya 2:4.

 Ketahui batasnya

 Banyak anak muda telah mempelajari caranya untuk bersikap seimbang dalam soal permainan video. Perhatikan dua contoh yang berikut:

 “Dulu, saya main game sampai larut malam. Saya fikir, ‘Saya cuma perlukan lima jam untuk tidur, jadi saya akan main satu level lagi.’ Sekarang saya sudah belajar untuk bersikap lebih seimbang. Saya anggap game sebagai satu hobi, dan saya hanya main game sekali-sekala.”​—Joseph.

 “Selepas saya mengurangkan masa untuk bermain game, saya ada banyak masa untuk melakukan hal yang lain! Saya dapat mengasah kemahiran menginjil dan bahkan membantu orang di sidang. Saya juga telah belajar main alat muzik. Saya mula sedar bahawa ada banyak hal menarik yang dapat saya lakukan!”​—David.

 ● Bible menyatakan bahawa orang yang matang “bersikap sederhana dalam segala hal.” (1 Timotius 3:​2, 11) Mereka suka akan hiburan dan rekreasi, tetapi mereka tahu bila untuk berhenti kerana mereka mempunyai kawalan diri.​—Efesus 5:​10.

 Kesimpulan: Permainan video ialah satu bentuk hiburan yang baik jika kamu mengetahui batas kamu. Jangan biarkan game untuk merampas masa kamu sehingga mengabaikan hal-hal yang lebih penting. Daripada mencurahkan begitu banyak masa dan tenaga untuk mencapai matlamat kamu dalam dunia game, lebih baik kamu menghabiskan masa dan tenaga kamu untuk mencapai matlamat kamu dalam dunia nyata.