Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Dating—Bahagian 3: Patutkah Kami Berpisah?

Dating—Bahagian 3: Patutkah Kami Berpisah?

 Kamu sudah berdating buat suatu jangka masa, tetapi kamu mula ada keraguan. Patutkah kamu meneruskan hubungan itu atau mengakhirinya? Rencana ini direka untuk membantu kamu membuat keputusan.

Dalam rencana ini

 Mengatasi keraguan

 Pada mulanya, seorang lelaki dan perempuan yang muda mungkin fikir mereka sangat serasi. Tetapi selepas berdating untuk suatu jangka masa, mereka mungkin mendapati bahawa mereka ada banyak perbezaan. Sebagai contoh,

  •   Seorang suka pergi pantai, seorang lagi suka hiking.

  •   Seorang suka bergaul, seorang lagi lebih pendiam.

  •   Seorang selalu berbohong, seorang lagi selalu jujur.

 Perhatikan bahawa setiap situasi itu adalah berlainan. Yang pertama melibatkan minat yang berbeza, kedua melibatkan sikap yang berbeza, dan ketiga melibatkan nilai-nilai yang berbeza.

 Fikirkan: Jika kamu berdua berkahwin, yang manakah antara tiga perbezaan itu kamu rasa paling susah untuk atasi dan yang manakah kamu berdua boleh terima?

 Walaupun suami dan isteri ada minat atau sikap yang berbeza, mereka masih boleh ada perkahwinan yang bahagia. Lagipun, serasi tidak bermaksud sependapat. Dalam sesetengah situasi, seorang suami dan isteri dapat belajar untuk menyukai hal yang diminati oleh pasangan mereka atau bahkan meraih manfaat daripada sikap satu sama lain. a

 Namun, amatlah penting untuk memastikan calon pasangan hidup kamu ada nilai-nilai yang sama dengan kamu, iaitu kepercayaan agama, moral, dan tentang apa yang betul dan salah. Jika dia tidak mempunyai nilai-nilai yang sama, kamu patut memandang hal itu sebagai tanda bahawa kamu mungkin perlu mengakhiri hubungan itu.

 Misalnya, fikir tentang perbezaan agama. Buku Fighting for Your Marriage menyatakan, “Kajian sering menunjukkan bahawa seorang suami dan isteri yang tidak mempunyai agama yang sama kemungkinan besar akan bercerai.”

 Prinsip Bible: “Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, kerana hal itu tidak sesuai.”—2 Korintus 6:14, Alkitab Berita Baik.

 Buat keputusan

 Bible menyatakan bahawa orang yang berkahwin “banyak menghadapi masalah.” (1 Korintus 7:28, Alkitab Versi Borneo) Jadi, janganlah terkejut jika kamu menghadapi kesusahan semasa berdating.

 Perbezaan pendapat yang kecil tidak semestinya bermaksud bahawa hubungan kamu tidak akan berjaya. Persoalannya ialah: Dapatkah kamu selesaikan masalah itu dengan damai? Sememangnya, kamu berdua perlu belajar berbuat demikian jika kamu berkahwin.

 Prinsip Bible: “Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan. Ampunilah satu sama lain dengan rela hati.”—Efesus 4:32.

 Namun, perselisihan yang kerap dan serius mungkin menunjukkan kamu berdua tidak sesuai. Jika hal itu berlaku, adalah lebih baik untuk sedar akan hal itu sebelum kamu berkahwin!

Perselisihan yang kerap dan serius mungkin menunjukkan kamu berdua tidak sesuai

 Pengajarannya: Jika kamu ada keraguan terhadap teman lelaki atau wanita kamu atau bahkan tentang sama ada kamu sudah bersedia untuk berkahwin atau tidak, janganlah abaikan keraguan itu!

 Prinsip Bible: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”—Amsal 22:3.

 Jika kamu memilih untuk berpisah

 Perpisahan memang menyakitkan. Namun, jika salah seorang antara kamu atau kamu berdua mempunyai keraguan serius yang berterusan tentang hubungan kamu, mungkin lebih baik untuk mengakhirinya.

 Apakah cara untuk melakukannya? Sebaik-baiknya, janganlah memutuskan hubungan menerusi SMS atau telefon. Sebaliknya, pilihlah masa dan tempat yang sesuai untuk membincangkan hal yang serius ini.

 Prinsip Bible: “Hendaklah kamu bercakap benar dengan satu sama lain.”—Zakharia 8:16.

 Adakah mengakhiri hubungan itu bermaksud kamu sudah gagal? Tidak sama sekali. Ingatlah, berdating sepatutnya membantu kamu membuat keputusan sama ada untuk berkahwin dengan orang itu atau tidak. Biarpun hubungan kamu sudah berakhir, kamu masih dapat belajar sesuatu yang bernilai daripada pengalaman itu.

 Tanyalah diri: “Apakah yang telah saya belajar tentang diri sendiri daripada hubungan ini? Adakah pengalaman ini telah membantu saya lihat hal-hal yang perlu saya usahakan? Apakah yang dapat saya lakukan untuk menjadi pasangan yang lebih baik jika saya pilih untuk berdating lagi?”

a Untuk lebih memahami bagaimana cabaran-cabaran ini mempengaruhi suami dan isteri, sila lihat rencana, “Bantuan untuk Keluarga—Apabila Pandangan Berbeza” dan “Bantuan untuk Keluarga—Pandangan Positif tentang Sifat yang Menjengkelkan.”