KAUM MUDA BERTANYA
Apakah yang Harus Saya Lakukan jika Saya Melanggar Peraturan Ibu Bapa?
Hampir setiap keluarga mempunyai peraturan tertentu. Contohnya, ibu bapa mungkin menetapkan jam berapa kamu harus pulang ke rumah, berapa banyak masa kamu boleh guna untuk main alat elektronik, cara melayan orang lain, dan sebagainya.
Namun bagaimana jika kamu melanggar peraturan ibu bapa? Kamu tidak dapat mengubah apa yang telah berlaku, tapi kamu dapat lakukan sesuatu supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. Rencana ini dapat membantu kamu.
Apa yang tidak patut kamu lakukan
Jika ibu bapa tidak tahu bahawa kamu sudah melanggar peraturan mereka, kamu mungkin mahu sembunyikan kesilapan kamu.
Jika ibu bapa tahu bahawa kamu sudah melanggar peraturan mereka, kamu mungkin cuba cari alasan atau salahkan orang lain.
Kedua-dua cara itu bukan langkah yang bijak. Mengapa? Menyembunyikan apa yang berlaku atau memberikan alasan akan menunjukkan kepada ibu bapa bahawa kamu tidak matang.
“Janganlah menipu kerana akhirnya ibu bapa akan tahu kebenarannya. Jika kamu beritahu apa yang berlaku awal-awal lagi, hukumannya mungkin tidak seteruk daripada hukuman jika kamu menipu mereka.”—Diana.
Cara yang lebih baik
Akui kesilapan kamu. Bible menyatakan, “Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya.” (Amsal 28:13) Ibu bapa tahu bahawa kamu tidak sempurna dan akan buat silap. Tapi mereka mengharapkan kamu untuk bersikap jujur.
“Ibu bapa akan lebih sudi maafkan kamu jika kamu jujur terhadap mereka. Dengan memberitahu mereka apa yang sebenarnya berlaku, mereka akan lebih mempercayai kamu.”—Olivia.
Minta maaf. Bible menyatakan, “Kamu semua harus rendah hati.” (1 Petrus 5:5) Jika kamu rendah hati, kamu akan sudi minta maaf dan tidak akan cuba mencari alasan.
“Apabila seseorang suka cari alasan, lambat laun mereka tidak akan rasa bersalah lagi. Dan akhirnya, mereka langsung tidak rasa apa yang mereka buat itu adalah salah.”—Heather.
Terima akibatnya. Bible menyatakan, “Dengarkanlah disiplinku.” (Amsal 8:33, nota kaki) Terimalah apa saja hukuman daripada ibu bapa dan jangan merungut.
“Jika kamu terus merungut tentang hukuman ibu bapa, situasi akan jadi lebih buruk. Terimalah hukuman mereka dan jangan terlalu fokus padanya.”—Jason.
Cuba bina semula kepercayaan ibu bapa. Bible menyatakan, “Kamu diajar supaya menanggalkan keperibadian lama yang dibentuk menurut kelakuan kamu dahulu.” (Efesus 4:22) Cubalah jadi orang yang bertanggungjawab supaya ibu bapa akan mempercayai kamu.
“Jika kamu selalu buat pilihan yang bijak dan membuktikan kepada ibu bapa bahawa kamu tidak akan ulangi kesilapan kamu, lama-kelamaan mereka akan percaya kamu semula.”—Karen.
TIP: Jika ibu bapa meminta kamu lakukan sesuatu, buatlah lebih daripada apa yang mereka harapkan. Contohnya, semasa keluar, kamu bukan hanya mahu tepati masa untuk pulang. Tetapi kamu bahkan boleh maklumkan ibu bapa sewaktu kamu dalam perjalanan pulang. Hal ini akan membantu ibu bapa lihat bahawa kamu mahu mendapat kepercayaan mereka semula.