Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Mengatasi Perasaan Khuatir?

Bagaimanakah Saya Dapat Mengatasi Perasaan Khuatir?

 Apakah yang membuat kamu berasa khuatir?

 Adakah pernyataan di bawah menggambarkan perasaan yang kadangkala kamu alami?

 “Saya selalu fikir, ‘Macam mana kalau . . . ?’ ‘Macam mana kalau kami kemalangan?’ ‘Macam mana kalau kapal terbang kami terhempas?’ Semua ini buat saya risau, tapi orang lain mungkin tidak rasa begitu khuatir.”​—Charles.

 “Saya selalu khuatir. Saya rasa seperti ‘hamster’ yang berlari di dalam roda, tak pergi ke mana-mana. Saya rasa sangat penat tapi saya tidak dapat capai apa-apa!”​—Anna.

 “Semasa orang kata, ‘Bagusnya kamu masih bersekolah,’ saya kata kepada diri, ‘Mereka tidak faham betapa stresnya di sekolah!’”​—Daniel.

 “Saya selalu berasa tertekan. Saya selalu risau apa yang akan berlaku atau apa yang perlu saya lakukan.”​—Laura.

 Faktanya: Menurut Bible, kita hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Timotius 3:1) Oleh itu, tidak kira tua atau muda, kita semua akan berasa khuatir.

 Adakah perasaan khuatir selalunya memudaratkan?

 Jawapannya, tidak. Sebenarnya, Bible mengatakan bahawa adalah tidak salah untuk rasa khuatir kerana ingin menyenangkan hati orang yang dikasihi.​—1 Korintus 7:​32-34; 2 Korintus 11:28.

 Selain itu, perasaan khuatir juga boleh jadi sumber dorongan. Contohnya, katakan kamu akan ada ujian pada minggu depan. Sebab kamu khuatir, kamu akan berusaha mengulang kaji pada minggu ini. Hasilnya, kamu mungkin dapat keputusan yang baik!

 Perasaan khuatir juga dapat membantu kamu elak bahaya. “Kamu mungkin rasa risau kerana kamu telah melakukan hal yang salah. Maka, kamu akan buat perubahan agar hati nurani kamu tidak terganggu,” kata seorang remaja yang bernama Serena.​—Bandingkan Yakobus 5:14.

 Faktanya: Jika perasaan khuatir mendorong kamu untuk melakukan hal yang betul, ini ialah sesuatu yang baik.

 Namun bagaimanakah jika perasaan khuatir buat kamu rasa terperangkap?

Kekhuatiran mungkin buat kamu rasa terperangkap, tetapi orang yang melihat situasi kamu dapat membantu kamu mencari jalan keluar

 Contoh: “Bila ada situasi yang stres, saya akan fikir tentang apa yang mungkin berlaku. Hati saya mula berdebar-debar kerana asyik bayangkan situasi itu. Semua ini buat saya sangat gelisah,” kata Richard yang berumur 19 tahun.

 Bible mengatakan bahawa “hati yang tenang menyihatkan badan.” (Amsal 14:30) Sebaliknya, kerisauan boleh mempengaruhi kesihatan kita dan menyebabkan sakit kepala, rasa pening, sakit perut, dan degupan jantung yang laju.

 Apakah yang dapat kamu lakukan jika rasa khuatir memberikan kesan yang buruk dan bukannya membantu kamu?

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Fikir sama ada perasaan khuatir kamu itu wajar atau tidak. “Kamu mungkin risau kerana tanggungjawab kamu. Namun, kalau kamu terlalu khuatir, itu bukan sesuatu yang bagus. Saya pernah dengar orang kata kerisauan adalah seperti kerusi goyang. Walaupun kerusi itu bergerak, kamu tidak akan ke mana-mana.”​—Katherine.

     Bible berkata: “Siapakah antara kamu yang dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit dengan berasa khuatir?”​—Matius 6:27.

     Maksudnya: Ada kalanya, rasa khuatir membantu kita mencari jalan penyelesaian. Tetapi jika tidak, rasa khuatir itu hanya akan menambah kepada masalah kamu atau menjadi masalah kamu.

  •   Jangan terlalu khuatir tentang kemudian hari. “Fikirlah. Adakah perkara yang kamu risaukan sekarang masih penting pada keesokan hari? dalam masa sebulan? setahun? lima tahun?”​—Anthony.

     Bible berkata: “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.”​—Matius 6:34.

     Maksudnya: Memang tidak bijak untuk khuatir tentang hari esok kerana perkara yang kita risaukan tidak semestinya berlaku.

  •   Belajar untuk menerima situasi yang tidak dapat kamu ubah. “Kamu boleh mempersiapkan diri untuk situasi yang mungkin timbul, namun kamu juga perlu menerima hakikat bahawa sesetengah situasi adalah di luar kawalan kamu.”​—Robert.

     Bible berkata: “Orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, . . . orang yang berpengetahuan tidak semestinya berjaya, kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.”​—Pengkhutbah 9:11.

     Maksudnya: Kadangkala, kamu tidak dapat mengubah situasi tetapi kamu boleh mengubah pandangan kamu terhadap situasi itu.

  •   Lihat situasi kamu secara menyeluruh. “Saya sedar bahawa saya harus bertumpu kepada gambar keseluruhan bukan hanya pada hal-hal kecil. Saya harus tentukan perkara mana yang lebih penting lalu menumpukan usaha saya untuk perkara itu.”​—Alexis.

     Bible berkata: ‘Kenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.’​—Filipi 1:​10.

     Maksudnya: Jika kamu mempunyai pandangan yang wajar tentang situasi kamu, kemungkinan besar kamu tidak akan dibanjiri dengan perasaan khuatir.

  •   Beritahulah perasaan kamu kepada seseorang. “Masa saya berumur 11 tahun, saya selalu rasa risau dan takut bila fikir mahu pergi sekolah. Tapi, ibu bapa saya mendengar bila saya beritahu mereka perasaan saya. Saya syukur kerana ada mereka. Saya boleh percaya kepada mereka dan meluahkan isi hati dengan bebas. Ini bantu saya hadapi hari yang seterusnya.”​—Marilyn.

     Bible berkata: “Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan, tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.”​—Amsal 12:25.

     Maksudnya: Ibu bapa atau kawan kamu dapat memberikan cadangan untuk mengurangkan kerisauan kamu.

  •   Berdoa. “Apabila saya mengucapkan doa, saya dapat dengar suara sendiri dan itu bantu saya. Saya dapat beritahu kekhuatiran saya dan tidak hanya memendamkannya. Berdoa juga bantu saya sedar bahawa Yehuwa lebih berkuasa daripada kekhuatiran saya.”​—Laura.

     Bible berkata: “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 Petrus 5:7.

     Maksudnya: Doa bukan sekadar cara untuk melegakan hati dan fikiran. Semasa berdoa, kita sedang bercakap kepada Tuhan yang telah berjanji, “Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu.”​—Yesaya 41:10.