Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menggunakan Masa dengan Bijak?

Bagaimanakah Saya Dapat Menggunakan Masa dengan Bijak?

 Mengapakah kamu patut menggunakan masa dengan bijak?

  •   Masa adalah seperti wang. Jika kamu membazirkan masa, kamu tidak akan mempunyai masa untuk melakukan perkara yang penting. Sebaliknya, jika kamu menggunakan masa dengan bijak, kamu bukan sahaja mempunyai masa untuk melakukan perkara yang penting, kamu bahkan juga akan ada masa untuk melakukan aktiviti yang kamu suka!

     Prinsip Bible: “Orang yang malas mempunyai banyak keinginan, namun tidak memiliki apa-apa pun, tetapi orang yang rajin akan menikmati segala hasil usahanya sehingga puas.”​—Amsal 13:4.

     Kesimpulan: Jika kamu menggunakan masa dengan bijak, kamu akan mempunyai lebih banyak masa terluang untuk melakukan apa yang kamu mahu.

  •   Jika kamu belajar untuk menggunakan masa dengan bijak sekarang, hal itu juga akan membantu kamu apabila kamu dewasa nanti, contohnya semasa kamu sudah mula bekerja. Cuba fikirkan, jika kamu seorang majikan, adakah kamu mahu pekerja yang selalu datang lambat?

     Prinsip Bible: “Orang yang setia dalam perkara yang kecil juga akan setia dalam perkara yang besar.”​—Lukas 16:10.

     Kesimpulan: Cara kamu menggunakan masa dapat menunjukkan sama ada kamu orang yang bertanggungjawab atau tidak.

 Apakah beberapa hal yang dapat menghalang kita daripada menggunakan masa dengan bijak?

 Halangan #1: Kawan

 “Walaupun saya sibuk, saya jarang menolak ajakan kawan saya untuk keluar bersama mereka. Saya berfikir bahawa saya dapat cepat-cepat siapkan tugas saya selepas saya pulang. Tapi biasanya hal ini tidak berlaku, dan saya perlu menanggung akibatnya.”—Cynthia.

 Halangan #2: Hiburan

 “Rancangan TV sangat menarik. Sangat susah untuk menolak godaan untuk menonton TV.”​—Ivy.

 “Saya dapat main tablet selama berjam-jam. Saya hanya akan berhenti apabila cas bateri tablet saya habis.”​—Marie.

 Halangan #3: Suka menangguhkan kerja

 “Biasanya saya menghabiskan masa untuk melakukan hal-hal yang tidak berguna. Saya suka tunggu sampai saat terakhir baru melakukan kerja sekolah atau hal-hal lain yang penting. Itu memang cara yang salah untuk menggunakan masa.”​—Beth.

Jika kamu menggunakan masa dengan bijak, kamu akan mempunyai lebih banyak masa terluang untuk melakukan apa yang kamu mahu

 Apa yang dapat kamu lakukan

  1.   Senaraikan hal-hal yang perlu dilakukan. Contohnya, kamu dapat mencatatkan kerja rumah atau kerja sekolah yang harus disiapkan dalam jangka waktu seminggu. Tuliskan berapa banyak masa yang diperlukan untuk melakukan setiap hal itu.

     Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—Filipi 1:​10.

  2.   Senaraikan hal-hal yang ingin kamu lakukan pada masa lapang. Hal ini boleh merangkumi aktiviti seperti menggunakan media sosial dan menonton TV. Sekali lagi, tulis berapa banyak masa yang diperlukan untuk melakukan setiap hal itu dalam jangka waktu seminggu.

     Prinsip Bible: ‘Teruslah hidup dengan bijaksana, dan gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.’​—Kolose 4:5.

  3.   Buat rancangan. Lihat dua senarai yang baru kamu buat. Adakah kamu mempunyai cukup masa untuk melakukan hal-hal yang penting? Perlukah kamu mengurangkan masa yang digunakan untuk hiburan?

     Tip: Buat senarai tugasan yang perlu dilakukan setiap hari, dan pangkah tugasan daripada senarai itu setelah kamu menyiapkannya.

     Prinsip Bible: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”​—Amsal 21:5.

  4.   Ikut jadual yang dibuat. Kadangkala kamu mungkin perlu menolak ajakan kawan supaya dapat melakukan hal-hal yang lebih penting. Tetapi dengan mengikut jadual, kamu sebenarnya akan mempunyai lebih banyak masa terluang untuk melakukan apa yang kamu suka.

     Prinsip Bible: “Janganlah malas, sebaliknya hendaklah kamu rajin.”—Roma 12:11.

  5.   Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Seorang wanita muda yang bernama Tara berkata, “Kadangkala selepas saya siapkan dua hal pada senarai saya, saya mahu menonton TV untuk 15 minit saja, dan kemudian sambung kerja. Tapi tanpa saya sedari, 15 minit jadi 30 minit, 30 minit jadi satu jam, dan akhirnya saya sudah menghabiskan dua jam di depan TV!”

     Gunakanlah rekreasi sebagai ganjaran selepas kamu menyelesaikan semua tugas kamu.

     Prinsip Bible: “Perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh manusia ialah . . . menikmati hasil kerja kerasnya.”​—Pengkhutbah 2:​24.