Apakah yang Berlaku apabila Kita Mati?
Jawapan Bible
Bible berkata, “Orang yang hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang mati tidak tahu apa-apa pun.” (Pengkhutbah 9:5; Mazmur 146:4) Maka, apabila kita mati, kita tidak wujud lagi. Orang mati tidak dapat berfikir, bertindak, atau merasai apa-apa.
“Engkau akan kembali ke tanah”
Semasa Tuhan bercakap dengan lelaki pertama, Adam, Dia menjelaskan apa yang berlaku apabila kita mati. Oleh sebab Adam tidak taat, Tuhan memberitahunya, “Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” (Kejadian 3:19) Sebelum Tuhan menciptakan Adam daripada tanah, Adam tidak wujud. (Kejadian 2:7) Demikian juga, apabila Adam mati, dia telah kembali ke tanah dan tidak wujud lagi.
Hari ini, hal yang sama berlaku apabila seseorang mati. Bible berkata bahawa manusia dan binatang “berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah.”—Pengkhutbah 3:19, 20.
Kematian bukan akhir segala-galanya
Bible sering menyamakan kematian dengan tidur. (Mazmur 13:3; Yohanes 11:11-14; Kisah 7:60) Seseorang yang tidur lena tidak sedar akan apa yang berlaku di sekelilingnya. Begitu juga, orang mati tidak sedar akan apa-apa. Namun, Bible mengajar bahawa Tuhan dapat membangunkan orang mati seolah-olah daripada tidur dan memberi mereka nyawa lagi. (Ayub 14:13-15) Bagi mereka yang akan dibangkitkan oleh Tuhan, kematian bukanlah akhir segala-galanya.