Bagaimanakah Saya Dapat Buat Keputusan yang Bijak?
Jawapan Bible
Bible memberi kita pedoman terbaik untuk membuat keputusan. Nasihatnya membantu kita “memperoleh kebijaksanaan dan pengertian.” (Amsal 4:5) Kadangkala, Bible beritahu kita apa keputusan yang terbaik. Ada kalanya pula, Bible beri kita nasihat yang dapat membimbing kita supaya membuat pilihan yang bijak.
Dalam rencana ini
Tip untuk bantu anda buat keputusan yang bijak
Jangan buat keputusan dengan cepat. Bible kata, “Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Jika anda tergesa-gesa, mungkin ada maklumat penting yang anda tidak terfikir. Jadi ambillah masa untuk fikir masak-masak tentang pilihan anda.—1 Tesalonika 5:21.
Jangan ikut hati. Bible kata bahawa hati kita licik dan tidak selalunya dapat dipercayai. (Amsal 28:26; Yeremia 17:9) Contohnya, kita susah buat keputusan yang bagus semasa kita marah, tertekan, tawar hati, hilang sabar, atau terlalu penat.—Amsal 24:10; 29:22.
Doa untuk kebijaksanaan. (Yakobus 1:5) Tuhan ialah Bapa kita yang pengasih dan Dia tidak mahu kita menderita akibat keputusan yang buruk. Jadi apabila kita minta kebijaksanaan daripada-Nya, Dia akan mengabulkannya. Bible kata, “Yehuwa sendiri memberikan kebijaksanaan; Firman-Nya ialah sumber pengetahuan dan pengertian.” a (Amsal 2:6) Melalui Firman-Nya, kita mendapat kebijaksanaan Tuhan.—2 Timotius 3:16, 17.
Buat penyelidikan. Kita perlu maklumat yang tepat untuk buat keputusan yang bijak. Bible kata, “Orang yang bijak suka mendengar dan menerima nasihat.” (Amsal 1:5) Dari manakah kita boleh mendapat maklumat yang berguna dan yang dapat dipercayai?
Mula-mula, selidikilah Bible untuk lihat apa yang Pencipta kita katakan. Dia mahukan apa yang terbaik bagi kita. Maka Firman-Nya mengandungi nasihat yang paling bermanfaat. (Mazmur 25:12) Bagi sesetengah keputusan, terdapat perintah Bible yang jelas mengenainya. (Yesaya 48:17, 18) Tapi untuk kebanyakan situasi pula, Bible tidak mempunyai perintah yang spesifik. Sebaliknya, Bible memberi kita panduan atau prinsip. Maka, kita dapat buat keputusan yang menyenangkan Tuhan dan pada masa yang sama kekalkan cita rasa sendiri. Jika anda ingin cari prinsip Bible yang sesuai untuk keadaan anda, kajilah bahan bacaan Bible seperti yang terdapat dalam laman web ini. b
Untuk sesetengah keputusan, anda mungkin perlu mencari maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Sebagai contoh, sebelum membeli barangan yang mahal, adalah bijak untuk membuat penyelidikan tentang produk itu dan pengilangnya, termasuk maklumat tentang waranti dan polisi pemulangan. Pastikan juga spesifikasi barang itu memenuhi keperluan anda.
Bible kata, “Rancangan gagal jika tiada perbincangan.” (Amsal 15:22) Jadi sebelum membuat keputusan, dapatkan nasihat orang yang dapat dipercayai. Sebagai contoh, adalah bijak untuk mendapat nasihat doktor dalam soal perubatan. (Matius 9:12) Dalam situasi lain, anda mungkin dapat bercakap dengan orang yang pernah hadapi situasi yang serupa dengan anda. Tapi ingatlah, keputusannya di tangan anda dan bukan orang lain, dan andalah yang harus menanggung akibatnya.—Galatia 6:4, 5.
Pertimbangkan semua faktor. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, anda boleh senaraikan pilihan yang ada. Tuliskan baik buruk setiap pilihan dan akibat yang mungkin timbul. (Ulangan 32:29) Contohnya, bagaimanakah keputusan anda akan mempengaruhi anda, keluarga anda, dan orang lain? (Amsal 22:3; Roma 14:19) Dengan memikirkan soalan itu dan prinsip Bible, anda dapat buat keputusan yang bijak.
Laksanakanlah apa yang diputuskan. Ada kalanya, kita teragak-agak untuk buat suatu keputusan. Tapi kalau kita asyik menangguhkannya, ini sebenarnya tindakan yang bodoh kerana kita mungkin terlepas peluang tertentu atau mengundang lebih banyak masalah. Bible menggambarkan situasi ini melalui suatu perumpamaan. “Sesiapa yang menunggu hingga angin dan cuaca baik, tidak akan menabur ataupun menuai apa-apa.”—Pengkhutbah 11:4, Alkitab Berita Baik.
Hakikatnya, keputusan yang terbaik pun bukanlah keputusan yang sempurna. Biasanya, kita perlu mengorbankan sesuatu. Lagipun, malang tidak berbau. (Pengkhutbah 9:11) Tapi jika anda membuat keputusan berdasarkan maklumat yang dapat dipercayai, yakinlah bahawa anda boleh berjaya.
Patutkah saya ubah keputusan yang sudah dibuat?
Bukan semua keputusan adalah muktamad. Situasi anda mungkin berubah, atau anda mungkin sedar keputusan yang telah dibuat membawa akibat yang tidak dijangka. Maka, adalah bijak untuk menilai keputusan anda dan ubahnya jika perlu.
Namun, bukan semua keputusan boleh diubah. (Mazmur 15:4) Contohnya, Tuhan mahu suami isteri berpegang pada ikrar perkahwinan mereka. c (Maleakhi 2:16; Matius 19:6) Apabila masalah timbul, janganlah terburu-buru mengakhiri perkahwinan anda tetapi buatlah apa yang terdaya untuk mengatasi masalah itu.
Bagaimana pula dengan keputusan buruk yang tidak dapat diubah?
Memandangkan kita tidak sempurna, kita akan membuat keputusan yang kurang bijak. (Yakobus 3:2) Kita mungkin menyesal atau rasa bersalah. Tapi hal itu memang normal. (Mazmur 69:5) Sebenarnya perasaan begini dapat mencegah kita daripada melakukan kesilapan yang sama. (Amsal 14:9) Walaupun demikian, Bible mengingatkan kita bahawa perasaan bersalah yang keterlaluan dapat mempengaruhi kita dari segi mental dan emosi. (2 Korintus 2:7) d Bible kata, “Yehuwa penuh rahmat dan belas kasihan.” (Mazmur 103:8-13) Jadi belajarlah daripada keputusan buruk anda dan berusahalah sedaya upaya untuk membaiki keadaan.
a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—Mazmur 83:18.
b Anda boleh guna fungsi carian di jw.org. Masukkan satu atau beberapa perkataan yang berkaitan dengan situasi anda. Laman web ini mengandungi nasihat Bible bagi banyak topik. Selain itu, anda dapat mencari perkataan khusus dengan menggunakan “Indeks bagi Perkataan Bible” dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.
c Tuhan mahu pasangan suami isteri hidup bersama sepanjang hayat mereka. Dia hanya mengizinkan seseorang bercerai dan berkahwin semula jika pasangan hidupnya telah berzina. (Matius 19:9) Jika anda ada masalah perkahwinan, Bible dapat membantu anda menyelesaikannya dalam cara yang baik.
d Untuk maklumat lanjut, lihat rencana, “Saya Berasa Bersalah—Dapatkah Bible Membantu Saya Mengatasi Perasaan Ini?”