Adakah Bible Mengandungi Catatan yang Tepat tentang Kehidupan Yesus?
Jawapan Bible
Penulis Bible yang bernama Lukas mencatatkan kisah kehidupan Yesus. Dia berkata, “Aku juga telah menyelidiki semua hal itu dari permulaannya dengan cermat.”—Lukas 1:3.
Sesetengah orang mendakwa bahawa kisah kehidupan Yesus yang tercatat dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, iaitu catatan yang dibuat oleh orang yang hidup sezaman dengan Yesus, telah diubah sekitar abad keempat.
Namun, sebuah cebisan daripada buku Yohanes telah dijumpai di Mesir pada permulaan abad ke-20. Cebisan itu kini dikenali sebagai Papirus Rylands 457 (P52) dan dipelihara di Perpustakaan John Rylands di Manchester, England. Cebisan itu mengandungi catatan yang terdapat di Yohanes 18:31-33, 37, 38 dalam Bible zaman moden.
Antara cebisan-cebisan manuskrip Kitab Yunani Kristian yang pernah dijumpai, papirus itu merupakan cebisan yang tertua. Ramai cendekiawan percaya bahawa catatannya ditulis kira-kira 125 M, iaitu kira-kira sukuan abad selepas tulisan asal dibuat. Teks dalam cebisan itu hampir 100 peratus sama dengan teks manuskrip lain yang ditulis kemudian.