Dosa Apakah yang Tidak Akan Diampunkan?
Jawapan Bible
Dosa yang tidak akan diampunkan merujuk kepada dosa yang dilakukan dengan sikap yang membuat seseorang tidak boleh diampuni Tuhan. Bagaimanakah sikap sedemikian terbentuk?
Orang yang bertaubat daripada dosa, mengikut piawaian Tuhan, dan beriman kepada Yesus Kristus, akan diampuni oleh Tuhan. (Kisah 3:19, 20) Namun, sesetengah orang begitu berkeras mengikut haluan yang berdosa sehingga enggan mengubah sikap atau kelakuan mereka. Menurut Bible, orang sebegini “mempunyai hati yang jahat” dan sudah “menjadi keras hati disebabkan tipu daya dosa.” (Ibrani 3:12, 13) Seperti tanah liat yang sudah dibakar dalam relau dan tidak dapat dibentuk lagi, hati orang sebegini sudah mengeras dan akan terus melawan Tuhan. (Yesaya 45:9) Tiada apa-apa dasar lagi untuk mengampuni orang sebegini, maka mereka sudah melakukan dosa yang tidak akan diampunkan.—Ibrani 10:26, 27.
Sebilangan pemimpin agama Yahudi pada zaman Yesus telah melakukan dosa yang tidak akan diampunkan. Mereka tahu bahawa Yesus dapat melakukan mukjizat kerana kuasa suci Tuhan, tetapi mereka berkata bahawa kuasa Yesus diberikan oleh Syaitan Si Iblis.—Markus 3:22, 28-30.
Contoh-contoh dosa yang boleh diampunkan
Menghina Tuhan tanpa menyedarinya. Rasul Paulus pernah menghina Tuhan, tetapi dia kemudiannya berkata, “Belas kasihan telah ditunjukkan kepadaku, kerana pada waktu itu aku tidak sedar akan perbuatanku dan kerana aku tidak beriman.”—1 Timotius 1:13.
Berzina. Bible menyebut tentang sesetengah orang yang pernah berzina tetapi kemudiannya berubah lalu diampuni Tuhan.—1 Korintus 6:9-11.
“Adakah saya telah melakukan dosa yang tidak dapat diampunkan?”
Jika anda benar-benar membenci dosa yang dilakukan dahulu dan ingin berubah, maka anda tidak melakukan dosa yang tidak dapat diampunkan. Tuhan bahkan boleh mengampunkan dosa yang diulangi, selagi hati anda tidak mengeras dan terus menentang-Nya.—Yesaya 1:18.
Sesetengah orang berasa bahawa mereka telah melakukan dosa yang tidak dapat diampunkan, kerana hati mereka dibelenggu rasa bersalah. Namun, Bible mengajarkan bahawa perasaan kita tidak selalunya dapat dipercayai. (Yeremia 17:9) Tuhan tidak melantik kita untuk menghakimi sesiapa pun, bahkan diri kita sendiri. (Roma 14:4, 12) Dia dapat mengampuni kita, bahkan semasa hati kita masih menyalahkan kita.—1 Yohanes 3:19, 20.
Adakah Yudas Iskariot telah melakukan dosa yang tidak dapat diampunkan?
Ya. Kerana tamak, dia mencuri wang yang didermakan untuk kerja yang suci. Dia bahkan berpura-pura mengambil berat terhadap orang miskin, padahal niatnya yang sebenar adalah untuk mencuri lebih banyak wang. (Yohanes 12:4-8) Apabila hati Yudas sudah mengeras untuk mengikut haluan yang salah, dia mengkhianati Yesus demi mendapat 30 keping wang perak. Yesus tahu bahawa Yudas tidak mungkin bertaubat dengan ikhlas, maka dia memanggil Yudas sebagai “dia yang akan dimusnahkan itu.” (Yohanes 17:12) Maksudnya, apabila Yudas mati, dia akan dibinasakan buat selama-lamanya dan tidak akan dibangkitkan.—Markus 14:21.
Yudas tidak bertaubat dengan ikhlas atas dosanya. Dia mengakui perbuatannya, bukan kepada Tuhan, tetapi kepada pemimpin agama yang bersekongkol dengannya.—Matius 27:3-5; 2 Korintus 7:10.