Haruskah Orang Kristian Merayakan Hari Sabat?
Jawapan Bible
Orang Kristian tidak perlu merayakan hari Sabat. Orang Kristian berada di bawah Hukum Kristus, yang tidak merangkumi hukum untuk menyambut hari Sabat. (Galatia 6:2; Kolose 2:16, 17) Mengapakah kita boleh pasti tentang hal ini? Pertama, perhatikan asal usul hari Sabat.
Apakah itu hari Sabat?
Perkataan “sabat” berasal daripada perkataan Ibrani yang bererti “berehat; berhenti.” Perkataan ini muncul dalam Bible buat kali pertama semasa Hukum diberikan kepada bangsa Israel kuno. (Keluaran 16:23) Contohnya, hukum keempat dalam Sepuluh Hukum menyatakan, “Jangan lupa untuk merayakan hari Sabat dan memandangnya sebagai hari yang suci. Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat yang dikhaskan untuk Aku, Yehuwa, Tuhan kamu. Pada hari itu, kamu tidak boleh bekerja.” (Keluaran 20:8-10) Hari Sabat bermula semasa matahari terbenam pada hari Jumaat sehingga matahari terbenam pada hari Sabtu. Pada waktu itu, orang Israel tidak boleh meninggalkan kediaman mereka, menyalakan api, mengumpulkan kayu, atau mengangkat barang. (Keluaran 16:29; 35:3; Bilangan 15:32-36; Yeremia 17:21) Sesiapa yang melanggar peraturan hari Sabat boleh dihukum mati.—Keluaran 31:15.
Dalam kalendar Yahudi, tahun ke-7, tahun ke-50, dan beberapa hari yang lain, juga dianggap sebagai sabat. Pada tahun Sabat, orang Israel tidak boleh bercucuk tanam atau dipaksa untuk membayar hutang.—Imamat 16:29-31; 23:6, 7, 32; 25:4, 11-14; Ulangan 15:1-3.
Mengapakah orang Kristian tidak berada di bawah hukum Sabat?
Hukum Sabat hanya diberikan kepada orang yang berada di bawah Hukum Musa. (Ulangan 5:2, 3; Yehezkiel 20:10-12) Tuhan tidak meminta orang lain untuk menyambut hari Sabat. Selain itu, memandangkan Yesus Kristus telah mengorbankan nyawanya, orang Yahudi “tidak lagi terikat kepada Hukum” Musa, termasuk Sepuluh Hukum. (Roma 7:6, 7; 10:4; Galatia 3:24, 25; Efesus 2:15) Orang Kristian tidak mengikut Hukum Musa. Sebaliknya, mereka mematuhi hukum yang lebih unggul, iaitu hukum kasih.—Roma 13:9, 10; Ibrani 8:13.
Tanggapan yang salah mengenai Sabat
Tanggapan yang salah: Tuhan mengasaskan hari Sabat apabila Dia berehat pada hari yang ketujuh.
Kebenaran: Bible menyatakan, “Tuhan memberkati hari yang ketujuh dan menjadikan hari itu sebagai hari istimewa, kerana pada hari itu Tuhan berehat setelah menyelesaikan pekerjaan-Nya.” (Kejadian 2:3, Alkitab Berita Baik) Ayat ini bukanlah satu hukum kepada manusia tetapi ayat ini menjelaskan apa yang dilakukan Tuhan pada hari penciptaan yang ketujuh. Bible juga tidak menyebut tentang sesiapa yang menyambut hari Sabat sebelum zaman Musa.
Tanggapan yang salah: Orang Israel sudah mematuhi hukum Sabat sebelum Hukum Musa diberikan kepada mereka.
Kebenaran: Musa memberitahu orang Israel, “Yehuwa, Tuhan kita, telah membuat perjanjian dengan kita di Horeb,” iaitu di kawasan sekitar Gunung Sinai. Hukum Sabat disebut dalam perjanjian ini. (Ulangan 5:2, 12) Menerusi catatan Bible, kita melihat bahawa hukum Sabat merupakan sesuatu yang baharu bagi orang Israel. Jika orang Israel sudah mengikut hukum Sabat semasa mereka berada di Mesir, adakah hari Sabat masih mempunyai makna yang istimewa yang menandakan pembebasan mereka dari Mesir? (Ulangan 5:15) Mengapakah mereka perlu diarahkan untuk tidak memungut manna pada hari yang ketujuh? (Keluaran 16:25-30) Mengapakah mereka tidak tahu cara menangani pesalah yang melanggar hukum Sabat?—Bilangan 15:32-36.
Tanggapan yang salah: Perjanjian tentang hari Sabat ialah perjanjian yang kekal selamanya dan masih berkuat kuasa.
Kebenaran: Beberapa terjemahan Bible merujuk kepada Sabat sebagai “perjanjian yang harus kekal selamanya.” (Keluaran 31:16, King James Version) Namun, perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “kekal selamanya” juga boleh bermaksud “berterusan untuk suatu jangka masa,” dan bukannya untuk selama-lamanya. Sebagai contoh, Bible menggunakan perkataan yang sama untuk menjelaskan aturan imam di Israel. Namun, Tuhan telah memansuhkan aturan ini lebih kurang 2,000 tahun yang lalu.—Keluaran 40:15; Ibrani 7:11, 12.
Tanggapan yang salah: Orang Kristian harus menyambut hari Sabat kerana Yesus juga telah berbuat demikian.
Kebenaran: Yesus menyambut hari Sabat kerana dia ialah orang Yahudi. Maka dia wajib mematuhi Hukum Musa sejak lahir. (Galatia 4:4) Selepas Yesus mati, Hukum Musa termasuk hari Sabat tidak lagi berkuat kuasa.—Kolose 2:13, 14.
Tanggapan yang salah: Rasul Paulus yang merupakan orang Kristian juga menyambut hari Sabat.
Kebenaran: Paulus memasuki rumah ibadat pada hari Sabat bukannya untuk merayakan sambutan ini bersama orang Yahudi. (Kisah 13:14; 17:1-3; 18:4) Sebenarnya, seperti yang dilakukan orang pada zaman itu, Paulus sedang menginjil tentang berita baik di rumah ibadat. Biasanya, orang akan dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada orang yang datang beribadat. (Kisah 13:15, 32) Paulus menginjil “tiap-tiap hari,” bukan hanya pada hari Sabat.—Kisah 17:17.
Tanggapan yang salah: Orang Kristian menyambut Sabat pada hari Ahad.
Kebenaran: Tiada perintah dalam Bible yang menyatakan bahawa orang Kristian harus mengekhaskan hari Ahad sebagai hari untuk berehat dan sembahyang. Orang Kristian pada abad pertama juga bekerja pada hari Ahad. The International Standard Bible Encyclopedia menyatakan, “Pada abad keempat, Konstantin [Maharaja Roma yang kafir] mengeluarkan perintah agar sesetengah kerja tidak patut dibuat pada hari Ahad. Sejak itu, hari Ahad mula menjadi seperti hari Sabat.” a
Tetapi, bagaimana pula dengan catatan Bible yang menyatakan bahawa hari Ahad ialah hari yang istimewa? Menurut Bible, Rasul Paulus makan bersama rakan seiman “pada hari Ahad.” Hal ini memang masuk akal kerana Paulus akan bertolak pada hari yang seterusnya. (Kisah 20:7) Selain itu, beberapa sidang diminta untuk menyimpan sedikit duit pada “hari pertama setiap minggu,” iaitu pada hari Ahad, untuk kerja membantu rakan seiman. Sebenarnya, ini hanyalah satu cara praktikal untuk mengurus wang. Lagipun, wang sumbangan disimpan di rumah, bukannya diberikan di tempat ibadat.—1 Korintus 16:1, 2.
Tanggapan yang salah: Adalah salah untuk mengekhaskan satu hari setiap minggu untuk berehat dan beribadat.
Kebenaran: Menurut Bible, setiap orang Kristian harus membuat keputusan masing-masing berkenaan hal ini.—Roma 14:5.
a Lihat juga New Catholic Encyclopedia, Edisi Kedua, Jilid 13, muka surat 608.