Mengapakah Tuhan Membiarkan Peristiwa Holocaust Terjadi?
Ramai orang yang menanyakan soalan itu telah mengalami penderitaan dan kehilangan orang tersayang. Mereka memerlukan kelegaan hati dan bukan sekadar jawapan. Yang lain pula menganggap Holocaust, iaitu pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi ketika Perang Dunia Kedua, sebagai suatu kejahatan yang paling teruk sehingga mereka hilang kepercayaan kepada Tuhan.
Tanggapan yang salah tentang Tuhan dan Holocaust
Sangkaan orang: Kita tidak patut bertanya mengapa Tuhan membiarkan Holocaust berlaku.
Kebenaran: Ramai orang yang beriman pernah bertanya mengapa Tuhan membiarkan kejahatan berlaku. Contohnya, nabi Habakuk pernah bertanya kepada Tuhan, “Mengapakah Engkau membuat aku melihat kejahatan dan memandang kezaliman? Penjarahan dan keganasan terjadi di hadapanku. Persengketaan dan perbalahan berterusan.” (Habakuk 1:3, Alkitab Versi Borneo) Tuhan sama sekali tidak memarahi Habakuk, malahan Tuhan memastikan soalan itu dicatatkan dalam Bible agar semua orang dapat membacanya.
Sangkaan orang: Tuhan tidak ambil peduli terhadap penderitaan manusia.
Kebenaran: Tuhan membenci kejahatan dan penderitaan. (Amsal 6:16-19) Pada zaman Nuh, Tuhan berasa “kecewa dan sakit hati” kerana kejahatan yang berleluasa di bumi. (Kejadian 6:5, 6) Sudah tentu, Tuhan juga hancur hati semasa melihat peristiwa Holocaust berlaku.—Maleakhi 3:6.
Sangkaan orang: Holocaust merupakan hukuman Tuhan ke atas orang Yahudi.
Kebenaran: Tuhan telah membiarkan Yerusalem dibinasakan oleh tentera Roma pada abad pertama. (Matius 23:37–24:2) Tetapi sejak itu, Tuhan tidak pernah mengekhaskan mana-mana kumpulan etnik untuk diberi keistimewaan atau dihukum. Dalam pandangan Tuhan, “tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi.”—Roma 10:12, Alkitab Berita Baik.
Sangkaan orang: Jika Tuhan yang pengasih dan maha kuasa wujud, Dia pasti menghalang Holocaust daripada berlaku.
Kebenaran: Walaupun Tuhan tidak menyebabkan penderitaan, ada kalanya Dia membiarkan penderitaan berlaku untuk sementara waktu.—Yakobus 1:13; 5:11.
Mengapakah Tuhan membiarkan Holocaust terjadi?
Sebabnya adalah sama dengan mengapa Tuhan membiarkan penderitaan berlaku, iaitu untuk menyelesaikan isu-isu penting yang diungkit oleh Syaitan ribuan tahun yang lalu. Bible menjelaskan bahawa dunia sekarang adalah di bawah kuasa Syaitan dan bukannya Tuhan. (Lukas 4:1, 2, 6; Yohanes 12:31) Mari kita lihat dua fakta penting dalam Bible yang menjelaskan sebab Tuhan membiarkan Holocaust berlaku.
Semasa menciptakan manusia, Tuhan memberi mereka kebebasan untuk memilih. Tuhan memberitahu pasangan pertama, Adam dan Hawa, apa yang dikehendaki-Nya, tetapi Dia tidak memaksa mereka untuk mentaati-Nya. Tuhan memberi mereka kebebasan untuk memilih. Malangnya, mereka membuat pilihan yang salah. Mereka memilih untuk menentukan sendiri apa yang baik dan jahat tanpa bimbingan Tuhan. Sejak itu, banyak orang juga membuat keputusan yang salah dan membawa akibat buruk kepada umat manusia. (Kejadian 2:17; 3:6; Roma 5:12) Seperti yang dinyatakan dalam buku Statement of Principles of Conservative Judaism, “Kebanyakan penderitaan di dunia ini adalah disebabkan oleh penyalahgunaan kebebasan memilih yang dikurniakan kepada kita.” Daripada menarik balik kebebasan memilih, Tuhan membenarkan masa berlalu agar manusia dapat mencuba memerintah diri sendiri tanpa bantuan-Nya.
Tuhan dapat dan akan melenyapkan kesan buruk Holocaust. Tuhan berjanji untuk membangkitkan jutaan orang yang telah meninggal, termasuk mangsa-mangsa Holocaust. Dia juga akan melenyapkan trauma yang dirasai oleh mereka yang telah melalui pengalaman ngeri itu. (Yesaya 65:17; Kisah 24:15) Kasih Tuhan yang mendalam kepada manusia merupakan jaminan bahawa Dia akan menunaikan semua janji-Nya.—Yohanes 3:16.
Ramai mangsa Holocaust telah mempertahankan iman mereka dan memperoleh hidup yang bermakna kerana memahami sebab Tuhan mengizinkan kejahatan dan bagaimana Dia akan melenyapkan semua kesan buruk penderitaan.