“Percayalah kepada Yesus”—Adakah Ini Menjamin Penyelamatan Kita?
Jawapan Bible
Orang Kristian percaya bahawa Yesus mati untuk manusia. (1 Petrus 3:18) Tetapi, sekadar percaya bahawa Yesus ialah penyelamat tidak mencukupi. Roh-roh jahat juga percaya bahawa Yesus ialah “Anak Tuhan,” tetapi, mereka tidak akan mendapat penyelamatan. Sebaliknya mereka akan dimusnahkan.—Lukas 4:41; Yudas 6.
Apakah yang harus saya lakukan untuk diselamatkan?
Anda harus percaya bahawa Yesus mengorbankan nyawanya demi dosa kita. (Kisah 16:30, 31; 1 Yohanes 2:2) Maksudnya, kita harus percaya bahawa Yesus benar-benar wujud dan bahawa catatan Bible tentangnya adalah tepat.
Pelajari kebenaran dalam Bible. (2 Timotius 3:15) Bible menyatakan bahawa Rasul Paulus dan Silas memberitahu seorang penjaga penjara, “Percayalah kepada Tuan Yesus lalu kamu dan rumah tanggamu akan diselamatkan.” Selepas itu, mereka mengajarkan “firman Yehuwa” a kepadanya. (Kisah 16:31, 32) Hal ini menunjukkan bahawa penjaga penjara itu harus mempunyai pemahaman asas tentang Firman Tuhan untuk menaruh kepercayaan kepada Yesus. Dia memerlukan pengetahuan yang tepat berdasarkan Bible.—1 Timotius 2:3, 4.
Bertaubat. (Kisah 3:19) Anda harus bertaubat, atau menyesali dosa yang pernah anda lakukan. Orang lain harus nampak bahawa anda sudah berhenti melakukan hal-hal yang dibenci Tuhan. Selain itu, anda harus ‘menunjukkan melalui perbuatan bahawa anda sudah bertaubat.’—Kisah 26:20.
Dibaptis. (Matius 28:19) Yesus berkata bahawa orang yang menjadi pengikutnya harus dibaptis. Penjaga penjara yang disebut sebelum ini juga telah dibaptis. (Kisah 16:33) Begitu juga, selepas Rasul Petrus mengajar sekumpulan besar orang kebenaran tentang Yesus, “mereka yang menerima kata-katanya dengan senang hati telah dibaptis.”—Kisah 2:40, 41.
Mematuhi arahan Yesus. (Ibrani 5:9) Orang yang mentaati segala perintah Yesus menunjukkan melalui haluan hidup mereka bahawa mereka ialah pengikutnya. (Matius 28:20) Mereka tidak sekadar mendengar, tetapi “melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan.”—Yakobus 1:22.
Bertabah sehingga akhir. (Markus 13:13) Murid Yesus “memerlukan ketabahan” agar diselamatkan. (Ibrani 10:36) Sebagai contoh, Rasul Paulus mematuhi segala ajaran Yesus dan setia kepada Tuhan. Dia bertabah dalam haluan Kristian sehingga akhir hayatnya.—1 Korintus 9:27.
Bagaimana pula dengan “Doa Orang yang Berdosa”?
Sesetengah agama mengajarkan “Doa Orang yang Berdosa” atau “Doa Penyelamatan.” Dalam doa itu, orang mengakui diri sebagai pendosa dan bahawa Yesus telah mati demi dosa mereka. Mereka juga memohon agar Yesus berada dalam hati atau kehidupan mereka. Tetapi, Bible tidak mengajar atau menggalakkan kita untuk mengulangi doa seperti “Doa Orang yang Berdosa.”
Ada orang yang berfikir bahawa doa sebegitu akan menjamin penyelamatan mereka. Tetapi doa tidak menjamin penyelamatan. Sebagai manusia yang berdosa, kita akan terus berbuat salah. (1 Yohanes 1:8) Itulah sebabnya Yesus mengajar murid-muridnya sering berdoa agar dosa mereka diampunkan. (Lukas 11:2, 4) Lagipun, sesetengah orang Kristian yang dahulunya mempunyai harapan untuk hidup kekal telah kehilangan harapan itu kerana mereka berhenti menyembah Tuhan.—Ibrani 6:4-6; 2 Petrus 2:20, 21.
Apakah asal usul “Doa Orang yang Berdosa”?
Para sejarawan tidak dapat menentukan asal usulnya, tetapi sesetengah orang berpendapat bahawa doa ini berasal pada zaman Reformasi Protestan. Orang lain pula percaya bahawa doa ini digunakan oleh sesetengah gerakan agama pada abad ke-18 atau ke-19. Walau bagaimanapun, ajaran ini bukan hanya tidak diajarkan Bible malah bercanggahan dengan ajaran Bible.
a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Bible.