17 SEPTEMBER 2019
ERITREA
Dipenjarakan Selama 25 Tahun di Eritrea
Salah satu penganiayaan paling teruk yang dialami oleh Saksi-Saksi Yehuwa kini sedang berlaku di Eritrea. Sehingga 17 September 2019, tiga orang saudara yang bernama Paulos Eyasu, Isaac Mogos, dan Negede Teklemariam, telah dipenjarakan selama 25 tahun. Selain itu, terdapat 39 saudara dan 10 saudari yang lain masih dipenjarakan.
Semua saudara saudari yang dipenjarakan tidak pernah menerima sebarang dakwaan dan menjalani perbicaraan di mahkamah atau dihakimi. Mereka tidak tahu bila mereka akan dibebaskan. Empat orang Saksi telah mati semasa dipenjarakan di Eritrea, manakala tiga orang Saksi yang lanjut usia mati sejurus selepas dibebaskan kerana keadaan yang amat teruk semasa di dalam penjara.
Penganiayaan di Eritrea menjadi semakin teruk kira-kira setahun setengah selepas Eritrea menjadi negara yang bebas dari jajahan Etiopia. Pada 25 Oktober 1994, presiden yang baharu mengisytiharkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa yang dilahirkan di Eritrea tidak lagi dianggap sebagai warganegara kerana mereka berpendirian neutral dalam hal politik. Kerajaan Eritrea juga merampas hak asasi yang biasa dimiliki oleh semua orang. Antaranya, Saksi-Saksi Yehuwa dilarang untuk mendapat pendidikan yang sepenuhnya, menjadi pemilik perniagaan, atau keluar dari negara.
Beberapa tahun kebelakangan ini, badan-badan hak asasi yang terkemuka menyatakan bahawa kerajaan Eritrea sengaja mengabaikan piawaian antarabangsa mengenai hak asasi manusia, termasuk kes yang melibatkan rakan seiman kita. Eritrea memilih untuk tidak mengendahkan cadangan yang diberikan oleh badan-badan tersebut.
Lihat: “LAPORAN KHAS: Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Eritrea”
Kami akan terus berhubung dengan pegawai kerajaan dan pihak berkuasa yang lain tentang situasi di Eritrea. Seraya saudara saudari di Eritrea terus menunjukkan keberanian dan iman yang teguh semasa menghadapi penganiayaan yang kejam, kami yakin bahawa Yehuwa akan menjadi Penolong dan ‘gunung batu’ mereka.—Mazmur 94:22.