7 JUN 2023
INDIA
Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Assam
Pada 28 Mei 2023, satu acara istimewa telah diadakan di Duliajan, Assam, India sempena pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Assam. Sejumlah 279 orang telah mengikuti program ini, termasuk 96 orang yang menontonnya dalam talian melalui persidangan video. Sejurus selepas program itu, para hadirin di dewan telah menerima salinan Bible masing-masing dan edisi digitalnya juga dapat dimuat turun.
Bahasa Assam (atau juga dikenali sebagai Axomiya) ialah bahasa rasmi negeri Assam yang terletak di timur laut India. Penduduk kawasan itu juga dipanggil orang Axomiya. Mereka sangat ramah dan terkenal dengan teh tempatan mereka.
Sidang bahasa Assam yang pertama telah ditubuhkan pada 1987. Setelah itu, terdapat peningkatan yang berterusan dalam kawasan penyebaran bahasa Assam. Hari ini, terdapat 162 penyiar yang berkhidmat di lapan sidang bahasa Assam.
Walaupun ada dua terjemahan Bible dalam bahasa Assam yang biasa digunakan sebelum ini, para penyiar rasa susah untuk membaca dan memahaminya kerana kosa katanya sudah lapuk dan jarang digunakan. Sebaliknya, Bible yang baru dikeluarkan ini telah diterjemahkan dalam cara yang mudah dibaca dan difahami.
Kita yakin bahawa saudara saudari kita dan orang lain yang menuturkan bahasa Assam akan menikmati buku Matius ini dan memupuk hubungan yang lebih akrab dengan Yehuwa.—Nehemia 8:12.