18 FEBRUARI 2020
RUSIA
Para Pegawai Menyeksa Saudara Vadim Kutsenko di Chita, Rusia
Para pegawai di Chita, Rusia, menyeksa Saudara Vadim Kutsenko, salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, pada 10 Februari 2020. Mereka terus memukul dan mencekiknya, serta mengenakan renjatan elektrik pada perut dan kakinya supaya dia mendedahkan maklumat tentang rakan seiman.
Pada awal pagi hari itu, pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menggeledah kira-kira 40 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Chita, termasuk rumah Saudara Kutsenko. Pada pukul 11 malam, pasukan polis gerak khas telah menangkap Saudara Kutsenko di rumah ibu mentuanya. Tangannya digari dan kepalanya ditutup, lalu dia dibawa ke sebuah hutan untuk diseksa. Meskipun demikian, Saudara Kutsenko enggan mendedahkan maklumat tentang para Saksi lain. Setelah menyedari bahawa usaha mereka gagal, para pegawai itu membawanya ke pejabat penyiasat untuk disoal siasat.
Saudara Kutsenko kemudiannya dipenjarakan bersama tiga saudara lain, iaitu Sergey Kirilyuk, Pavel Mamalimov, dan Vladimir Yermolayev. Rumah saudara-saudara itu turut digeledah pada hari itu.
Dua hari kemudian, Mahkamah Daerah Ingodinskiy telah memutuskan untuk memenjarakan Saudara Kutsenko, Kirilyuk, dan Mamalimov selama 72 jam. Namun, Saudara Yermolayev dibebaskan dari penjara dan ditahan di rumahnya sendiri.
Pada 15 Februari, Saudara Kutsenko, Kirilyuk, dan Mamalimov telah dibebaskan kerana para penyiasat tidak mempunyai cukup bukti untuk mendakwa mereka. Mereka dibebaskan tanpa perbicaraan dan tiada sekatan yang dikenakan ke atas mereka.
Kami terus berdoa demi Saudara Kutsenko dan semua saudara saudari di Rusia agar mereka “berani dan teguh.” Kami yakin bahawa Yehuwa akan terus menyokong mereka semasa mengharungi masa yang mencabar.—Yosua 1:7, 9.