Lompat ke kandungan

Saudara Sergey Sergeyev (kiri) dan Saudara Yuriy Belosludtsev (kanan)

18 MAC 2021
RUSIA

TERKINI—RAYUAN DITOLAK | Dua Saudara di Bahagian Timur Rusia Mungkin Dihukum Penjara sehingga 12 Tahun kerana Iman Mereka

TERKINI—RAYUAN DITOLAK | Dua Saudara di Bahagian Timur Rusia Mungkin Dihukum Penjara sehingga 12 Tahun kerana Iman Mereka

Pada 18 Oktober 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kesembilan menolak rayuan kedua Saudara Yuriy Belosludtsev dan Sergey Sergeyev. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 21 April 2022, Mahkamah Wilayah Kawasan Primorye menolak rayuan Yuriy dan Sergey.

Pada 31 Januari 2022, Mahkamah Daerah Pozharskiy di Kawasan Primorye mensabitkan Yuriy dan Sergey. Setiap saudara dijatuhkan hukuman penjara tertangguh enam tahun.

Profil

Yuriy Belosludtsev

  • Tahun Lahir: 1964 (Smidovich, Wilayah Autonomi Yahudi)

  • Biografi: Dibesarkan oleh neneknya di kampung yang kecil. Bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat elektrik. Gemar memancing dan bermain ski

    Berkahwin dengan Yelena pada 1985. Hati mereka tersentuh dengan janji Tuhan untuk mengakhiri kejahatan dan penderitaan. Mereka juga kagum dengan nubuat-nubuat Bible yang menjadi kenyataan. Semua kebenaran ini membantu mereka untuk mula belajar Bible. Dibaptis pada 1994

Sergey Sergeyev

  • Tahun Lahir: 1955 (Dukhovnitskoye, Wilayah Saratov)

  • Biografi: Bekerja di lombong arang batu sehingga bersara. Berkahwin dengan Nelly pada 1991. Mereka mempunyai dua anak perempuan dan satu anak lelaki. Pasangan ini amat menyayangi anjing

    Mereka mula belajar Bible tidak lama setelah berkahwin. Mereka kagum dengan nubuat-nubuat Bible yang dapat dipercayai dan nasihat yang berguna. Dibaptis pada 1996

Sejarah Kes

Pada 17 Mac 2019, para pegawai Agensi Keselamatan (FSB) menyerbu banyak rumah di Luchegorsk, Kawasan Primorye dan saudara saudari disoal siasat. Terdapat beberapa saudara saudari yang disoal siasat sehingga tujuh jam. Yuriy dan Sergey pula ditahan.

Dua hari kemudian, dua saudara ini dihantar ke pusat penahanan sebelum perbicaraan. Mereka tetap di sana selama lebih daripada enam bulan. Selepas mereka dibebaskan pada September 2019, mereka ditahan di rumah selama hampir lima bulan.

Yuriy dan Sergey menjelaskan bahawa doa benar-benar membantu mereka untuk bertabah menghadapi situasi yang sukar di tempat penahanan. Sergey menyatakan bahawa ayat-ayat Bible juga membantunya untuk tetap bersikap positif. Dia berkata, “Saya ingat kata-kata Yesus yang berbunyi, ‘Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.’ (Yohanes 15:20) Saya fikir, ‘Wah! Semua yang kami alami ini juga dialami oleh Yesus Kristus, pengikut-pengikutnya, dan para rasul. Maksudnya, Yehuwa yakin saya dapat memberikan kesaksian yang baik di sini.’ Pandangan sedemikian dan doa-doa yang dijawab Yehuwa telah menguatkan saya dan membantu saya tetap tenang dan ceria.”

Yuriy menceritakan bahawa dulu dia rasa susah untuk membaca Bible setiap hari. Tapi seorang saudara Kristian membantunya untuk membaca Bible dengan tetap. Kebiasaan itu sangat berguna ketika Yuriy berada dalam tahanan. Dia berkata, “Saya akan ingat kisah-kisah yang pernah saya baca dulu dalam Bible dan bahan bacaan kita. Hal ini menguatkan saya dan membantu saya tetap gembira. Saya juga tidak terlalu bimbang.”

Kita berdoa untuk saudara saudari kita di Rusia dan benar-benar yakin bahawa Yehuwa akan terus menjadi “tempat naungan dan kekuatan” bagi mereka “pada masa kesusahan.”—Mazmur 46:1.