Lompat ke kandungan

Dua saudara di Rusia memikirkan contoh baik ahli keluarga mereka yang setia. Kiri (atas): Saudara Oleg Danilov. Kiri (bawah): Datuk dan nenek Oleg, Saudara Fyodor Rigel dan isterinya Yekaterina. Kanan (atas): Saudara Vladimir Ermolaev, Jr. Kanan (bawah): Datuk dan nenek Vladimir, Saudara Valentin Ermolaev dan isterinya Anna, bersama bapa Vladimir semasa masih bayi

15 NOVEMBER 2021
RUSIA

Warisan Rohani Menguatkan Iman Saksi di Rusia yang Dianiaya

Warisan Rohani Menguatkan Iman Saksi di Rusia yang Dianiaya

Di Rusia, banyak saudara saudari dianiaya dengan teruk, tetapi mereka menghadapinya dengan tabah dan setia. Mari kita lihat bagaimana Saudara Oleg Danilov dan Vladimir Ermolaev, Jr. diteguhkan menerusi teladan iman dan keberanian ahli keluarga mereka.

OLEG DANILOV

Datuk dan nenek Oleg, iaitu Fyodor dan Yekaterina Rigel, menjadi Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1958. Pada masa itu, Saksi-Saksi Yehuwa telah menjadi sasaran penganiayaan yang dilancarkan oleh pihak kerajaan. Pihak berkuasa telah menggeledah rumah Fyodor dan Yekaterina, merampas harta benda mereka, dan mendenda Fyodor. Biarpun begitu, Fyodor tetap membantu keluarganya mengekalkan rutin rohani yang baik.

Anak-anak Fyodor dan Yekaterina, iaitu Alfred dan Ella (ibu Oleg), turut dihina dan dianiaya. Namun, mereka tetap bertabah. Apabila Alfred dikerah untuk menyertai pasukan askar, dia menolak dengan tegas. Akibatnya, dia dipenjarakan selama tiga tahun.

Seperti pak ciknya Alfred, Oleg Danilov juga sedang menjalani tempoh pemenjaraan selama tiga tahun kerana imannya. Dia telah dipenjarakan sejak Mac 2021, dan tidak dapat bersama isterinya Nataliya dan dua anak lelaki mereka, Ilya dan Nikita. Mereka sekeluarga yakin bahawa Yehuwa akan membantu mereka bertabah, sepertimana Dia telah membantu nenek, datuk, dan pak cik Oleg.

Saudara Oleg Danilov dan isterinya Nataliya, bersama anak mereka, Nikita (kiri) dan Ilya (kanan)

Oleg berkata, “Saya sering renungkan bagaimana saudara-mara dan rakan seiman saya dapat bertabah semasa dianiaya Kesatuan Soviet. Bukan itu saja, mereka bahkan dapat terus bersukacita.” Dia menyambung, “Ini bukti kukuh bahawa kuasa suci Yehuwalah yang membantu mereka. Maka saya yakin kami sekeluarga pun dapat terus bertabah dengan sukacita.”

VLADIMIR ERMOLAEV, JR.

Saudara Vladimir Ermolaev, Jr. dan isterinya Valeriya

Nenek Vladimir, Jr., iaitu Anna Ermolaeva, belajar tentang kebenaran pada 1953 di kampung Serebrovo, Wilayah Irkutsk. Dia ialah orang tempatan pertama di kampung itu yang dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Sedihnya, Anna ditentang kuat oleh jirannya dan bahkan ibunya enggan bercakap dengannya lagi semenjak itu.

Apabila pihak berkuasa mendapat tahu bahawa Anna sedang menginjil, dia dituduh mengancam kesejahteraan anaknya Vladimir, Sr., lalu mengugut untuk memisahkannya daripada anaknya.

Saudara saudari di sidang Anna menulis sepucuk surat yang menunjukkan bukti bahawa Anna ialah seorang ibu yang baik. Seorang saudara membawa surat itu ke Moscow dan menyerahkannya kepada pemimpin masa itu, Nikita Khrushchev. Yang menakjubkan sekali ialah Khrushchev mengeluarkan perintah agar kes itu disiasat. Kemudian, Anna dibebaskan daripada tuduhan yang dibuat terhadapnya dan anaknya dapat terus hidup bersamanya.

Anna juga ada seorang anak perempuan yang bernama Nadezhda. Pada 1970, anaknya diwadkan di hospital kerana perutnya sangat sakit. Sebelum para doktor mengenal pasti apa penyakitnya, mereka telah menjalankan pembedahan atasnya. Semasa pembedahan, mereka juga memaksanya menerima transfusi darah walaupun Anna dan Nadezhda enggan menerima darah. Tetapi, para doktor bukan saja tidak menghiraukan permintaan itu. Lebih parah lagi, mereka telah memberi Nadezhda darah yang salah. Akibatnya, dia telah meninggal. Untuk menyembunyikan kesilapan mereka, pihak berkuasa menyatakan dalam surat khabar bahawa Anna sengaja “menggadaikan nyawa anaknya.”

Namun, terdapat berkat di sebalik kejadian buruk ini. Selama ini, Valentin, iaitu suami Anna, suka Anna mengajar anak-anak mereka tentang Bible. Tetapi dia sendiri tidak pernah mengikut mereka untuk menyembah Yehuwa. Apabila dia nampak bagaimana rakan seiman Anna menyokong keluarganya ketika mereka menghadapi cabaran, dia memutuskan untuk belajar Bible dan akhirnya menjadi seorang Saksi.

Saudara Vladimir Ermolaev, Sr. dan isterinya Lyubov

Anna dan Valentin terus membesarkan anak mereka, Vladimir, Sr., mengikut prinsip Bible. Apabila dia dewasa, Vladimir, Sr. berkahwin dengan seorang saudari yang bernama Lyubov. Mereka juga mengajar anak mereka, Vladimir, Jr., untuk menghargai hal-hal rohani.

Pada Februari 2020, pihak berkuasa telah menggeledah rumah Vladimir, Jr., dan isterinya Valeriya. Vladimir, Jr. telah ditangkap dan kemudiannya menjadi tahanan di rumahnya untuk hampir dua bulan. Sekarang, dia sedang menantikan keputusan mahkamah atas tuduhan mengaturkan kegiatan organisasi yang dilarang. Jika disabitkan bersalah, dia mungkin dipenjarakan selama 15 tahun. Walaupun begitu, dia tidak bertumpu kepada hukuman yang mungkin dijatuhkan. Sebaliknya, dia bertumpu kepada teladan ibu bapa dan datuk neneknya.

“Biarpun saya harus menderita demi nama Bapa kita, saya anggap ini sebagai penghormatan yang besar,” kata Vladimir, Jr. “Ibu, bapa, datuk, dan nenek saya tetap setia dan bertabah semasa menghadapi kesusahan. Saya juga pasti dapat berjaya!”

Seperti Oleg dan Vladimir, Jr., para Saksi di Rusia sangat menghargai warisan rohani yang ditinggalkan oleh sanak saudara mereka yang setia. Semoga kita terus merenungkan teladan saudara saudari kita yang berjaya mengharungi atau yang sedang menghadapi penganiayaan, dan ‘meniru iman mereka.’—Ibrani 13:7.