Lompat ke kandungan

Dua pembaptisan yang berlangsung di Ukraine pada 23 Julai 2022

12 OGOS 2022
UKRAINE

TERKINI #12 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

“Bahkan Perang pun Tak Dapat Hentikan Kerja Menjadikan Orang Murid Yesus”

TERKINI #12 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

Bermula 23 hingga 31 Julai, para penyiar di serata Ukraine dan mereka yang melarikan diri ke negara lain dibaptis semasa Konvensyen 2022, “Berusahalah untuk Berdamai”! Setakat 2 Ogos, sejumlah 1,113 orang dari Ukraine telah dibaptis. Seorang saudara di Ukraine kata, “Bahkan perang pun tak dapat hentikan kerja menjadikan orang murid Yesus kerana dia berjanji, ‘Aku akan sentiasa menyertai kamu.’”—Matius 28:20.

Kami berbesar hati untuk ceritakan beberapa pengalaman berikut:

Natalia berasal dari Kreminna, Wilayah Luhansk. Dia berumur 63 tahun. Pada 1990-an, dia dan dua anak perempuannya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kedua-dua anaknya buat kemajuan dan dibaptis, tetapi dia pula tidak. Semasa perang bermula, Natalia dibawa oleh sebuah keluarga Saksi untuk melarikan diri ke tempat yang lebih selamat. Dia akhirnya berlindung dalam Dewan Perjumpaan di Ivano-Frankivsk.

Natalia kata, “Pengeboman yang berlaku sangat menakutkan. Saya seperti sudah lupa cara untuk senyum. Saudara saudari tunjuk kasih yang ikhlas terhadap saya. Saya benar-benar tak sangka akan dapat perhatian sebegini. Pada saat itulah kasih saya kepada Yehuwa bertumbuh semula. Saya sering baca Bible dan seorang saudari tawarkan pembelajaran Bible kepada saya dengan menggunakan buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Dia bagaikan hadiah daripada Yehuwa kepada saya.” Natalia sambung, “Kini, saya sangat gembira kerana sudah dibaptis sebagai seorang Saksi Yehuwa. Saya ingin patuhi perintah terpenting ini, iaitu mengasihi Tuhan Yehuwa dengan ‘segenap hati, segenap jiwa, dan segenap akal.’”—Matius 22:37.

Olia, di Poland, memegang kertas dengan tema konvensyen “Berusahalah untuk Berdamai”!

Semasa perang bermula, Olia dari Cherkasy ialah penyiar belum dibaptis. Pada 6 Mac, dia bersama anak perempuan serta cucu perempuannya melarikan diri ke Poland. Dia kata, “Semasa sampai di sana, kami hanya ada beg kecemasan. Tapi, saudara saudari Kristian menjaga kami bertiga. Semua ini meyakinkan saya bahawa organisasi Yehuwa bersatu padu dan dibimbing oleh kuasa suci-Nya. Selepas pengalaman ini, saya semakin bertekad untuk membaktikan kehidupan saya kepada Yehuwa. Dia bantu saya pada detik yang paling sukar bagi saya, dan sekarang saya ingin tunjuk rasa syukur saya dengan berkhidmat kepada-Nya.”

Yulia yang berumur 18 tahun, berasal dari Wilayah Donetsk. Dia dibesarkan dalam keluarga Saksi tetapi belum buat kemajuan untuk dibaptis. Dia ceritakan pengalamannya yang berlaku sejurus selepas perang tercetus. Dia kata, “Ketika itu, saya terlantar di lantai. Saya sedar saya boleh mati bila-bila saja. Seluruh tempat keluarga saya tinggal musnah, tapi kami terselamat. Selepas alami semua itu, saya berdoa dan memikirkan dengan mendalam sifat-sifat Yehuwa. Saya semakin dekat dengan-Nya, dan saya tidak ragu lagi untuk membaktikan diri kepada-Nya. Yehuwa menjawab doa-doa saya. Ini menunjukkan Dia sangat dekat dengan saya. Dulu, saya cuma tahu tentang Tuhan, tapi sekarang saya sayang Dia.” Yulia dibaptis pada 23 Julai.

David, yang berumur 11 tahun, sebelum dia dibaptis di Jerman

Semasa perang berlaku, David yang berumur 11 tahun dan keluarganya melarikan diri ke Jerman. Dia sudah menjadi penyiar belum dibaptis sejak berusia sembilan tahun. Sekarang, dia ingin mengejar matlamatnya dalam khidmat Yehuwa. Dia kata, “Saya mahu dibaptis kerana saya sayang Yehuwa dan mahu jadi sahabat-Nya. Semasa dibaptis, saya menitiskan air mata kerana tersentuh dan rasa gembira menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa. Saya suka beritahu orang tentang Yehuwa dan tujuan-Nya bagi manusia. Jadi, matlamat saya yang seterusnya ialah menjadi perintis. Saya juga mahu berkhidmat kepada saudara saudari di sidang, dan satu hari nanti saya ingin jadi pembantu sidang. Matlamat utama saya ialah berkhidmat di Bethel. Itu ialah cita-cita saya sejak saya mengunjungi pejabat cawangan di Lviv pada 2018.”

Olena dari Kyiv menjadi penyiar belum dibaptis pada 2011. Namun, dia kemudian menjadi tidak aktif selama sepuluh tahun. Pada 2020, para penatua menghubunginya dan memberi brosur Kembalilah kepada Yehuwa. Dia jelaskan, “Saya mula belajar Bible dan hadiri perjumpaan semula. Tapi, kemudian saya berhenti lagi. Semasa perang, Yehuwa menjawab doa saya dan saya sedar Yehuwa telah melindungi saya, mengasihi saya, dan memberi saya kedamaian hati. Saya melarikan diri ke Romania dan bertemu dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Ketika itu, saya rasa kasih dan jagaan yang saya terima daripada saudara saudari adalah seperti selimut yang hangat daripada Yehuwa.” Olena dibaptis pada 24 Julai. Dia menyambung, “Saya berterima kasih kepada Yehuwa kerana sangat bersabar terhadap saya. Kini, saya sedar bahawa ‘melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.’”—Filipi 4:13.

Setakat 2 Ogos 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.

Kesan terhadap Saudara Saudari

  • 43 penyiar meninggal

  • 97 penyiar tercedera

  • 22,568 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat

  • 586 rumah musnah

  • 613 rumah alami kerosakan besar

  • 1,632 rumah alami kerosakan kecil

  • 5 Dewan Perjumpaan musnah

  • 10 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk

  • 37 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan

Bantuan yang Dihulurkan

  • 27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine

  • 53,836 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat

  • 24,867 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian