Satu Raja-Raja 13:1-34

  • Nubuat tentang mazbah di Bethel (1-10)

    • Mazbah terbelah (5)

  • Nabi Tuhan yang tidak patuh (11-34)

13  Seorang nabi dari Yehuda telah pergi ke Bethel atas perintah Yehuwa.+ Pada masa itu, Yerobeam sedang berdiri di sisi mazbah+ sambil mempersembahkan korban yang dibakarnya sehingga asap naik. 2  Seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, nabi itu berseru kepada mazbah itu, “Hai mazbah, hai mazbah! Inilah firman Yehuwa: ‘Seorang anak lelaki yang bernama Yosia+ akan dilahirkan dalam keluarga Daud! Di atasmu, hai mazbah, dia akan membunuh imam-imam yang bertugas di tempat-tempat tinggi, dan yang mempersembahkan korban yang dibakar sehingga asap naik. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu.’”+ 3  Nabi itu memberikan tanda pada hari itu dan berkata, “Inilah tanda daripada Yehuwa: Lihatlah! Mazbah itu akan terbelah, dan abu* di atasnya akan bertaburan.” 4  Sebaik sahaja Raja Yerobeam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh nabi itu berkenaan mazbah di Bethel, dia mengalihkan tangannya dari mazbah dan menunjuk kepada nabi itu lalu berkata, “Tangkap dia!”+ Tiba-tiba, tangan Yerobeam menjadi lumpuh sehingga dia tidak dapat menggerakkannya.+ 5  Kemudian mazbah itu terbelah dan abu di atasnya bertaburan di tanah. Semua itu berlaku selaras dengan tanda yang diberikan oleh Yehuwa melalui nabi itu. 6  Raja berkata kepada nabi itu, “Tolonglah berdoa kepada Yehuwa, Tuhanmu. Mohonlah perkenan-Nya dan mintalah supaya Dia menyembuhkan tangan beta.”+ Maka nabi itu berdoa meminta perkenan Yehuwa, dan tangan raja pun disembuhkan. 7  Raja berkata kepada nabi itu, “Marilah makan di rumah beta. Beta hendak memberikan hadiah kepada kamu.” 8  Namun nabi itu berkata kepada raja, “Biarpun tuanku memberi hamba separuh daripada rumah tuanku, hamba tidak akan pergi bersama tuanku untuk makan roti atau minum air di tempat ini. 9  Hal ini demikian kerana Yehuwa telah memberikan perintah kepada hamba, ‘Janganlah makan roti atau minum air, dan janganlah pulang mengikut jalan yang sama.’” 10  Demikianlah nabi itu tidak pulang dari Bethel mengikut jalan yang diikutinya dahulu, tetapi dia mengambil jalan yang lain. 11  Terdapat seorang nabi tua yang tinggal di Bethel. Anak-anak lelakinya pulang ke rumah lalu menceritakan apa yang telah berlaku di Bethel pada hari itu. Mereka menceritakan segala yang telah dilakukan oleh nabi itu, dan apa yang dikatakannya kepada raja. Selepas itu, 12  bapa mereka bertanya, “Dia pergi mengikut jalan mana?” Mereka pun menunjukkan jalan yang digunakan oleh nabi dari Yehuda itu. 13  Maka dia menyuruh anak-anaknya, “Pasangkanlah pelana pada keldai.” Selepas mereka berbuat demikian, dia menunggang keldai itu. 14  Dia mencari nabi itu dan menjumpainya. Ketika itu, nabi itu sedang duduk di bawah sebatang pokok besar. Maka dia berkata, “Kamukah nabi yang datang dari Yehuda itu?”+ “Ya,” jawab nabi itu. 15  “Ikutlah aku ke rumah dan makanlah roti bersamaku,” katanya kepada nabi itu. 16  Tetapi nabi itu menjawab, “Aku tidak boleh pulang bersamamu atau menerima jemputanmu. Aku juga tidak boleh makan roti atau minum air bersamamu di tempat ini. 17  Hal ini demikian kerana Yehuwa telah berfirman kepadaku, ‘Janganlah makan roti atau minum air di tempat ini, dan janganlah pulang mengikut jalan yang sama.’” 18  Dia menjawab nabi itu, “Aku pun seorang nabi seperti kamu. Malaikat Yehuwa telah menyampaikan firman-Nya kepadaku, ‘Suruhlah dia pulang bersama kamu agar dia dapat makan roti dan minum air di rumahmu.’” Sebenarnya dia sedang menipu nabi itu. 19  Maka nabi itu pulang bersamanya untuk makan roti dan minum air di rumahnya. 20  Semasa mereka sedang duduk dan makan, Yehuwa menyampaikan firman-Nya kepada nabi tua itu. 21  Nabi tua itu berkata kepada nabi dari Yehuda, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau mengingkari perintah Yehuwa dan tidak mematuhi hukum yang diberikan oleh Tuhan Yehuwa kepadamu. 22  Engkau telah kembali ke tempat ini untuk makan roti dan minum air padahal engkau telah diberitahu, “Janganlah makan roti atau minum air.” Oleh itu, mayatmu tidak akan dikebumikan di kuburan nenek moyangmu.’”+ 23  Setelah nabi dari Yehuda selesai makan roti dan minum, nabi tua itu memasang pelana pada keldai untuk dia. 24  Kemudian dia bertolak, tetapi seekor singa menerkamnya di tengah jalan dan membunuhnya.+ Mayatnya terlantar di jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sebelah mayatnya. 25  Beberapa orang yang lalu di situ nampak mayat itu terlantar di jalan dan seekor singa berdiri di sebelahnya. Mereka pergi ke kota tempat nabi tua itu tinggal dan menceritakan hal itu. 26  Apabila nabi tua itu mendengar tentang apa yang telah berlaku, dia segera berkata, “Inilah nabi yang telah mengingkari perintah Yehuwa.+ Maka Yehuwa membiarkannya diterkam dan dibunuh oleh seekor singa, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa.”+ 27  Kemudian dia menyuruh anak-anak lelakinya, “Pasangkanlah pelana pada keldai.” Maka mereka pun berbuat demikian. 28  Dia menunggang keldainya, lalu pergi. Dia menjumpai mayat nabi itu terlantar di jalan dan seekor keldai serta seekor singa berdiri di sebelah mayat itu. Singa itu tidak makan mayat itu ataupun menerkam keldai itu. 29  Dia mengangkat mayat nabi itu dan meletakkannya di atas keldai. Kemudian dia membawanya balik ke kota untuk meratapi kematiannya dan mengebumikannya. 30  Dia meletakkan mayat itu di dalam makamnya. Mereka meratapinya dan berkata, “Kasihannya saudaraku!” 31  Selepas mayat itu dikebumikan, dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Apabila aku mati, kamu mesti mengebumikan aku di tempat yang sama dengan nabi itu. Letakkanlah tulang-tulangku di sisi tulang-tulangnya.+ 32  Firman Yehuwa yang disampaikan melalui dia tentang mazbah di Bethel dan tentang semua rumah ibadat di tempat-tempat tinggi+ yang ada di kota-kota Samaria pasti berlaku.”+ 33  Selepas hal ini berlaku, Yerobeam masih tidak meninggalkan haluannya yang jahat. Dia terus melantik orang biasa untuk berkhidmat sebagai imam di tempat-tempat tinggi.+ Dia berkata, “Biarlah dia menjadi seorang imam yang berkhidmat di tempat-tempat tinggi.” Raja melantik sesiapa sahaja yang mahu menjadi imam.+ 34  Perbuatan ini menjadi dosa keluarga Yerobeam+ yang menyebabkan mereka dimusnahkan dan dilenyapkan dari muka bumi.+

Nota Kaki

Iaitu, abu yang bercampur lemak daripada korban yang dibakar.