Bilangan 15:1-41
15 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Beritahulah umat Israel, ‘Kamu akan masuk ke negeri yang akan Aku berikan kepada kamu.+
3 Pada masa itu, kamu harus mempersembahkan lembu, bebiri, atau kambing, kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban yang dibakar+ ini menyenangkan hati Aku, Yehuwa.+ Semasa kamu mempersembahkan korban bakar, atau korban untuk menunaikan ikrar istimewa, atau korban secara sukarela,+ atau korban pada musim perayaan,+
4 kamu juga harus mempersembahkan korban bijirin kepada Aku, Yehuwa. Korban bijirin itu mestilah berupa satu persepuluh efa* tepung terbaik,+ yang dicampuri satu perempat hin* minyak zaitun.
5 Kamu juga harus mempersembahkan satu perempat hin wain sebagai korban wain semasa kamu mempersembahkan korban bakar+ atau semasa kamu mempersembahkan seekor anak bebiri jantan.
6 Semasa kamu mempersembahkan seekor bebiri jantan, kamu juga harus mempersembahkan korban bijirin kepada Aku. Korban bijirin itu mestilah berupa dua persepuluh efa tepung terbaik, yang dicampuri satu pertiga hin minyak zaitun.
7 Selain itu, kamu juga harus mempersembahkan satu pertiga hin wain sebagai korban wain kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban ini menyenangkan hati-Ku.
8 “‘Tetapi semasa kamu mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban bakar,+ atau korban untuk menunaikan ikrar istimewa,+ atau korban pendamaian kepada Aku, Yehuwa,+
9 kamu juga harus mempersembahkan korban bijirin+ kepada Aku. Korban bijirin itu mestilah berupa tiga persepuluh efa tepung terbaik, yang dicampuri setengah hin minyak zaitun.
10 Selain itu, kamu juga harus mempersembahkan setengah hin wain sebagai korban wain+ kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban ini* menyenangkan hati-Ku.
11 Itulah yang harus dilakukan semasa seekor lembu jantan, atau bebiri jantan, atau anak bebiri jantan, atau kambing dipersembahkan.
12 Tidak kira berapa jumlah binatang yang hendak kamu persembahkan, kamu harus mempersembahkan korban bijirin dan korban wain bagi setiap binatang yang dipersembahkan itu.
13 Demikianlah caranya setiap orang Israel harus mempersembahkan korban kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku.
14 “‘Jika orang asing dalam kalangan kamu, baik yang baru pindah mahupun yang sudah lama tinggal bersama kamu, mempersembahkan korban kepada Aku, Yehuwa, mereka harus mematuhi peraturan yang sama.+ Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku.
15 Peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan bagi orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu. Kamu dan keturunan kamu mesti sentiasa mematuhi peraturan ini. Dalam pandangan Aku, Yehuwa, kamu dan orang asing sama sahaja.+
16 Hukum dan ketetapan yang sama berlaku bagi kamu dan bagi orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu.’”
17 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
18 “Beritahulah umat Israel, ‘Apabila kamu masuk ke negeri yang akan Aku berikan kepada kamu,
19 lalu kamu makan hasil tanaman negeri itu,+ kamu harus mengasingkan sebahagian daripada hasil tanaman itu dan memberikannya kepada Aku, Yehuwa, sebagai sumbangan.
20 Kamu harus mengambil hasil tuaian pertama+ daripada bijirin dan membuatnya menjadi roti berbentuk gelang, lalu mempersembahkannya kepada Aku. Kamu harus mempersembahkan hasil tuaian ini sebagaimana kamu mempersembahkan hasil tuaian lain yang diambil daripada tempat mengirik* tuaian.
21 Sebahagian daripada bijirin yang mula-mula dituai harus sentiasa diberikan kepada Aku, Yehuwa, sebagai sumbangan.
22 “‘Katakan ada orang membuat kesalahan dengan tidak sengaja dan melanggar hukum yang telah Aku, Yehuwa, berikan melalui Musa,
23 iaitu semua hukum yang Aku, Yehuwa, berikan melalui Musa sejak dahulu sehingga sekarang. Aku, Yehuwa, telah memberikan hukum itu, dan kamu serta keturunan kamu harus sentiasa mematuhi semua hukum itu.
24 Jika kesalahan itu dibuat secara tidak sengaja dan tanpa diketahui oleh semua orang Israel, maka sebaik sahaja dosa itu diketahui, segenap umat Israel harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda sebagai korban bakar kepada Aku, Yehuwa. Mereka juga harus mempersembahkan seekor anak kambing sebagai korban dosa+ dan korban bijirin serta korban wain menurut peraturan yang telah ditetapkan. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku.+
25 Imam akan memohon pengampunan dosa bagi segenap umat Israel lalu kesalahan mereka akan diampunkan.+ Hal ini demikian kerana kesalahan itu tidak disengajakan dan mereka telah membakar korban untuk Aku, Yehuwa. Mereka juga telah mempersembahkan korban dosa kepada Aku, Yehuwa.
26 Kamu semua, termasuk orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu, mesti memohon pengampunan, kerana kamu semua turut menanggung dosa yang dilakukan secara tidak sengaja itu.
27 “‘Jika seseorang berdosa dengan tidak sengaja, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang berumur satu tahun sebagai korban dosa.+
28 Imam akan menghadap Aku, Yehuwa, dan memohon pengampunan dosa bagi pihak orang yang telah melakukan dosa dengan tidak sengaja itu. Ya, imam akan memohon pengampunan baginya dan Aku akan mengampuninya.+
29 Hukum yang sama berlaku bagi kamu dan bagi orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan secara tidak sengaja.+
30 “‘Tetapi jika seseorang sengaja berdosa,+ tidak kira dia orang Israel atau orang asing, dia harus dihukum mati kerana dia telah menghina Aku, Yehuwa.
31 Orang itu mesti dihukum mati kerana dia sudah memandang remeh firman-Ku, dan telah melanggar perintah-Ku.+ Dia harus menanggung akibat dosanya sendiri.+ Akulah Yehuwa.’”
32 Semasa orang Israel berada di padang belantara, mereka nampak seorang lelaki sedang mengumpulkan kayu pada hari Sabat.+
33 Mereka membawa lelaki itu untuk menghadap Musa, Harun, dan segenap umat Israel.
34 Mereka menahannya+ kerana mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan terhadapnya.*
35 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Lelaki itu mesti dihukum mati.+ Dia harus dibawa ke luar perkhemahan lalu segenap umat Israel harus merejamnya sampai mati.”+
36 Maka umat Israel membawa lelaki itu ke luar perkhemahan dan merejamnya sampai mati, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
37 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
38 “Beritahulah umat Israel bahawa mereka harus membuat rumbai-rumbai pada hujung jubah mereka dan menjahit seutas tali biru pada bahagian atas rumbai itu.+ Mereka dan keturunan mereka harus sentiasa mematuhi perintah ini.
39 ‘Kamu mesti membuat rumbai-rumbai itu supaya apabila kamu melihatnya, kamu akan ingat semua perintah-Ku dan mematuhinya.+ Kamu tidak boleh mengikut kehendak hati dan keinginan mata kamu, kerana kamu akan tergoda untuk berlaku curang terhadap Aku, Yehuwa.+
40 Rumbai-rumbai itu akan membantu kamu untuk sentiasa ingat akan semua perintah-Ku dan mematuhinya, agar kamu tetap suci dalam pandangan-Ku.+
41 Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang telah membawa kamu keluar dari Mesir supaya Aku dapat menjadi Tuhan kamu.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’”+
Nota Kaki
^ Satu persepuluh efa = 2.2 L.
^ 1 hin = 3.67 L.
^ Atau “Bau daripada korban yang dibakar ini.”
^ Proses memisahkan buah daripada tangkai.
^ Atau “kerana hukum tidak menyatakan dengan jelas apa yang harus dilakukan terhadapnya.”