Keluaran 14:1-31
14 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pihahirot, yang terletak di antara laut* dengan Migdol. Kamu harus berkhemah di tepi laut, berdekatan Baal-zefon.+
3 Maka Firaun akan berkata, ‘Orang Israel sudah sesat dan tidak tahu jalan keluar dari padang belantara.’
4 Aku akan membiarkan Firaun berkeras hati+ sehingga dia mengejar kamu. Aku akan dimuliakan apabila Aku mengalahkan Firaun dan tenteranya.+ Dengan demikian, orang Mesir pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”+ Orang Israel melakukan semua yang diperintahkan kepada mereka.
5 Apabila raja Mesir diberitahu bahawa orang Israel sudah melarikan diri, Firaun dan para pegawainya segera mengubah fikiran.+ Mereka berkata, “Apa yang telah kita buat? Mengapa kita membebaskan orang Israel daripada perhambaan?”
6 Firaun pun mempersiapkan kereta kuda dan pasukan tenteranya.+
7 Dia berangkat dengan semua kereta kudanya yang dipandu oleh para pahlawan, termasuk 600 buah kereta kuda yang terbaik di Mesir.
8 Yehuwa membiarkan Firaun, raja Mesir, berkeras hati sehingga dia mengejar orang Israel yang sedang meninggalkan Mesir dengan penuh keberanian.+
9 Semua kereta kuda, askar berkuda, dan seluruh angkatan tentera Firaun mengejar orang Israel.+ Mereka semakin dekat dengan orang Israel yang sedang berkhemah di hadapan Pihahirot, yang terletak di tepi laut, berdekatan Baal-zefon.
10 Apabila orang Israel nampak bahawa Firaun dan angkatan tenteranya semakin dekat, mereka menjadi takut lalu berseru kepada Yehuwa meminta tolong.+
11 Mereka berkata kepada Musa, “Di Mesir tidak ada kuburankah sehingga kamu perlu membawa kami ke padang belantara untuk mati?+ Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir?
12 Semasa di Mesir, bukankah kami sudah berkata, ‘Jangan ganggu kami. Biarlah kami menjadi hamba orang Mesir’? Lebih baik kami menjadi hamba orang Mesir daripada mati di padang belantara.”+
13 Musa berkata kepada mereka, “Janganlah takut!+ Teguhkanlah hati kamu dan lihatlah bagaimana Yehuwa akan menyelamatkan kamu pada hari ini.+ Kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi.+
14 Yehuwa akan berjuang untuk kamu.+ Kamu hanya perlu menunggu dengan sabar.”*
15 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Mengapakah engkau terus berseru kepada-Ku? Beritahulah orang Israel supaya meneruskan perjalanan mereka.
16 Angkatlah tongkatmu dan hulurkannya ke atas laut. Air laut akan terbelah, dan umat Israel akan menyeberangi laut di atas tanah yang kering.
17 Tetapi Aku akan membiarkan orang Mesir berkeras hati sehingga mereka terus mengejar orang Israel. Dengan demikian, Aku akan dimuliakan apabila Aku mengalahkan Firaun, kereta kudanya, askar berkudanya, dan semua tenteranya.+
18 Sesungguhnya orang Mesir akan tahu bahawa Akulah Yehuwa apabila Aku memuliakan diri-Ku dengan mengalahkan Firaun, kereta kudanya, dan askar berkudanya.”+
19 Kemudian malaikat Tuhan yang benar,+ yang sedang memimpin orang Israel, berpindah ke belakang mereka. Tiang awan yang berada di hadapan juga berpindah ke belakang mereka.+
20 Tiang awan itu berhenti di antara orang Mesir dengan orang Israel.+ Sebelah awan itu membawa kegelapan, yang sebelah lagi menerangi malam.+ Maka sepanjang malam itu, orang Mesir tidak dapat menghampiri orang Israel.
21 Musa menghulurkan tangannya ke atas laut,+ dan Yehuwa menyebabkan angin timur yang kencang bertiup sepanjang malam. Maka secara perlahan-lahan, air laut mula terbelah+ dan dasar laut pun menjadi kering.+
22 Air laut menjadi seperti dinding di kedua-dua belah orang Israel.+ Oleh itu mereka dapat menyeberangi laut di atas tanah yang kering.+
23 Orang Mesir terus mengejar mereka. Semua kereta kuda dan askar berkuda Firaun mengejar orang Israel sampai ke tengah laut.+
24 Pada waktu subuh,* dari tiang api dan tiang awan,+ Yehuwa melihat tentera Mesir lalu mengacau-bilaukan mereka.
25 Dia menyebabkan roda kereta kuda mereka tercabut sehingga susah bergerak. Maka orang Mesir berkata, “Mari kita lari daripada orang Israel, kerana Yehuwa sedang berjuang bagi mereka untuk menentang kita.”+
26 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut supaya air kembali lalu menimpa semua orang Mesir, berserta kereta kuda dan askar berkuda mereka.”
27 Dengan segera, Musa menghulurkan tangannya ke atas laut. Maka menjelang pagi, air laut kembali kepada keadaan asalnya. Apabila orang Mesir mencuba melarikan diri, Yehuwa menyebabkan mereka lemas di tengah laut.+
28 Air laut itu menenggelamkan semua kereta kuda, askar berkuda, dan tentera Firaun yang telah mengejar orang Israel sampai ke tengah laut.+ Tiada seorang pun antara mereka yang terselamat.+
29 Orang Israel pula menyeberangi laut di atas tanah yang kering,+ dan air laut menjadi seperti dinding di kedua-dua belah mereka.+
30 Pada hari itu, Yehuwa menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Mesir.+ Orang Israel melihat mayat orang Mesir bergelimpangan di pantai.
31 Mereka juga melihat bagaimana Yehuwa mengalahkan orang Mesir dengan kuasa-Nya yang hebat. Oleh itu, mereka mula takut akan Yehuwa dan menaruh iman terhadap Yehuwa dan hamba-Nya, Musa.+
Nota Kaki
^ Nampaknya merujuk kepada Laut Merah.
^ Atau “perlu berdiam diri.”
^ Iaitu, kira-kira pukul 2 pagi sehingga pukul 6 pagi.