Kisah Para Rasul 2:1-47

  • Kuasa suci Tuhan dicurahkan semasa Pentakosta (1-13)

  • Ucapan Petrus (14-36)

  • Orang ramai menerima kata-kata Petrus (37-41)

    • 3,000 orang dibaptis (41)

  • Pergaulan Kristian (42-47)

2  Pada hari Perayaan Pentakosta,+ semua murid Yesus berkumpul di tempat yang sama. 2  Semasa mereka sedang duduk, tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti tiupan angin kencang. Bunyi itu memenuhi seluruh rumah.+ 3  Selepas itu, mereka melihat sesuatu seperti lidah-lidah api yang tersebar dan hinggap di atas kepala setiap orang. 4  Lalu mereka semua dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan+ dan mula bercakap dalam pelbagai bahasa, menurut apa yang diberikan oleh kuasa suci itu kepada mereka untuk diucapkan.+ 5  Pada masa itu, terdapat banyak orang Yahudi yang alim di Yerusalem. Mereka datang dari setiap negeri di bawah langit.+ 6  Jadi apabila orang ramai mendengar bunyi itu, mereka mula berkumpul. Mereka bingung kerana mendengar murid-murid Yesus bertutur dalam bahasa ibunda mereka masing-masing. 7  Orang ramai sangat terpesona dan berkata, “Lihatlah, orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea,+ bukan? 8  Jadi mengapakah kita mendengar mereka bertutur dalam bahasa ibunda kita masing-masing? 9  Kita dari Partia, Media,+ Elam,+ Mesopotamia, Yudea, Kapadokia, Pontus, daerah Asia,+ 10  Frigia, Pamfilia, Mesir, dan kawasan-kawasan Libia dekat Kirene. Ada juga penduduk sementara dari Roma, orang Yahudi, pemeluk agama Yahudi,+ 11  orang Kreta, dan orang Arab. Namun, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita tentang perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.” 12  Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah makna semua ini?” 13  Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan mereka dan berkata, “Semua orang ini mabuk!” 14  Tetapi Petrus berdiri bersama 11 orang rasul yang lain+ dan mula bercakap dengan suara yang lantang, “Orang Yudea dan semua penduduk Yerusalem! Ketahuilah dan dengarlah kata-kataku dengan teliti. 15  Semua orang ini tidak mabuk seperti yang kamu sangka, kerana kini baru kira-kira jam sembilan pagi.* 16  Sebaliknya, hal ini telah dinubuatkan melalui Nabi Yoel yang berkata, 17  ‘Tuhan berfirman, “Pada hari-hari terakhir, Aku akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang, lalu anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat, anak muda kamu akan mendapat penglihatan, dan orang tua dalam kalangan kamu akan mendapat mimpi.+ 18  Pada hari itu, Aku juga akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku, lalu mereka akan bernubuat.+ 19  Aku akan menunjukkan mukjizat di langit, dan tanda di bumi: Darah, api, dan kepulan asap. 20  Matahari akan menjadi gelap, dan bulan akan menjadi merah seperti darah sebelum hari Yehuwa* yang mulia dan besar itu datang. 21  Tetapi, semua orang yang menyeru nama Yehuwa* akan diselamatkan.”’+ 22  “Orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus, orang Nasaret itu, diutus oleh Tuhan. Kamu sendiri tahu tentang mukjizat, tanda, dan keajaiban, yang dilakukan oleh Tuhan melaluinya dalam kalangan kamu.+ 23  Kamu telah menyerahkannya ke dalam tangan pendosa untuk digantungkan pada tiang dan dibunuh.+ Awal-awal lagi, Tuhan sudah tahu bahawa Yesus akan ditangkap, dan Dia menentukan bahawa hal itu akan berlaku.+ 24  Tetapi Tuhan membangkitkannya+ dan membebaskannya daripada cengkaman maut, kerana tidak mungkin dia tetap dibelenggu oleh kematian.+ 25  Daud berkata tentangnya, ‘Aku sentiasa melihat Yehuwa* di hadapanku. Dia ada di sebelah kananku agar aku tidak sekali-kali goyah. 26  Oleh itu, hatiku bergembira dan lidahku sangat bersukacita. Selain itu, aku akan hidup dengan penuh harapan 27  kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di Kuburan,* atau membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia untuk reput.+ 28  Engkau telah menunjukkan jalan kehidupan kepadaku. Engkau akan memenuhi aku dengan sukacita yang besar di hadirat-Mu.’+ 29  “Saudara-saudara, izinkanlah aku untuk bercakap dengan terus terang* tentang Daud, nenek moyang kita. Dia sudah meninggal dan dikuburkan,+ dan makamnya masih ada antara kita sehingga hari ini. 30  Daud seorang nabi, dan dia tahu bahawa Tuhan telah berjanji dan bersumpah kepadanya bahawa salah seorang daripada keturunannya akan duduk di atas takhtanya.+ Oleh itu, 31  awal-awal lagi Daud sudah mengetahui dan bercakap tentang pembangkitan Kristus. Dia berkata bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan Kristus di Kuburan* dan tubuhnya tidak akan reput.+ 32  Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Tuhan, dan kami semua menjadi saksi dalam hal ini.+ 33  Oleh sebab dia ditinggikan ke sebelah kanan Tuhan+ dan sudah menerima kuasa suci yang dijanjikan oleh Bapa,+ dia mencurahkan kuasa suci itu yang kamu nampak dan dengar sekarang. 34  Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku 35  sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.”’+ 36  Oleh itu, hendaklah semua orang Israel tahu dan yakin bahawa Yesus yang kamu hukum bunuh pada tiang itu+ telah dilantik oleh Tuhan sebagai Tuan+ dan Kristus.” 37  Setelah mendengar hal itu, hati orang ramai terhiris. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?” 38  Petrus berkata kepada mereka, “Bertaubatlah,+ dan hendaklah kamu masing-masing dibaptis+ atas nama Yesus Kristus agar dosa kamu diampunkan.+ Kemudian, kamu akan menerima kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma, iaitu kuasa suci-Nya. 39  Janji ini+ bukan sahaja diberikan kepada kamu dan anak-anak kamu, tetapi juga kepada semua orang di tempat-tempat yang jauh, iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Yehuwa,* Tuhan kita.”+ 40  Banyak lagi yang dikatakan oleh Petrus untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh. Dia menggalakkan mereka dengan berkata, “Selamatkanlah dirimu daripada generasi yang jahat ini.”+ 41  Maka mereka yang menerima kata-katanya dengan senang hati telah dibaptis.+ Pada hari itu juga, bilangan murid Yesus bertambah sebanyak kira-kira 3,000 orang.+ 42  Mereka terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul, bergaul* dengan satu sama lain, dan makan+ serta berdoa bersama-sama.+ 43  Banyak keajaiban dan mukjizat dilakukan oleh para rasul.+ Semua orang yang menyaksikan hal-hal itu dipenuhi rasa takut akan Tuhan. 44  Semua murid baharu berkumpul dan mengongsi segala milik mereka. 45  Mereka menjual harta milik mereka+ dan membahagi-bahagikan wang yang diperoleh kepada semua orang menurut keperluan masing-masing.+ 46  Dengan sehati, mereka berkumpul di Rumah Tuhan setiap hari. Mereka makan di rumah satu sama lain dengan sukacita yang besar, dan melakukan segala sesuatu dengan tulus hati. 47  Mereka memuji Tuhan dan mereka disenangi oleh semua orang. Pada masa yang sama, tiap-tiap hari Yehuwa* terus membawa lebih banyak orang yang diselamatkan oleh-Nya untuk menyertai mereka.+

Nota Kaki

Harfiah, “jam yang ke-3.”
Lihat Kamus.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Lihat Kamus.
Atau “berkongsi apa yang dimiliki.”