Kisah Para Rasul 6:1-15

  • Tujuh lelaki dipilih untuk berkhidmat (1-7)

  • Tuduhan terhadap Stefanus (8-15)

6  Pada masa itu, bilangan murid Yesus semakin bertambah. Orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani mula bersungut-sungut tentang orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Ibrani. Hal ini demikian kerana balu-balu yang bertutur dalam bahasa Yunani diabaikan semasa pembahagian makanan seharian.+ 2  Jadi 12 orang rasul itu mengumpulkan murid-murid Yesus dan berkata, “Kami tidak patut berhenti mengajarkan firman Tuhan semata-mata untuk mengedarkan makanan.+ 3  Oleh itu, saudara sekalian, pilihlah tujuh orang lelaki dalam kalangan kamu yang mempunyai nama baik,+ dan yang penuh dengan kuasa suci Tuhan dan kebijaksanaan.+ Dengan ini, kami dapat melantik mereka untuk mengendalikan tugas penting tersebut.+ 4  Tetapi kami akan menggunakan masa dan tenaga kami untuk berdoa dan mengajarkan firman Tuhan.” 5  Semua murid berasa senang hati dengan apa yang dikatakan oleh para rasul. Maka, mereka memilih Stefanus, seorang lelaki yang sangat beriman dan penuh dengan kuasa suci Tuhan, Filipus,+ Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang pemeluk agama Yahudi. 6  Mereka membawa semua lelaki tersebut kepada para rasul. Selepas berdoa, para rasul meletakkan tangan ke atas mereka yang telah dipilih.+ 7  Hasilnya, firman Tuhan terus tersebar,+ dan bilangan murid Yesus di Yerusalem bertambah secara mendadak.+ Ramai imam juga mula percaya.+ 8  Stefanus penuh dengan kuasa Tuhan dan sangat diperkenankan-Nya. Dia melakukan mukjizat dan keajaiban dalam kalangan orang ramai. 9  Tetapi beberapa orang daripada Rumah Ibadat Orang Bebas tampil bersama beberapa orang dari Kirene, Aleksandria, Kilikia, dan Asia, untuk berdebat dengan Stefanus. 10  Tetapi mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya kerana dia didorong oleh kuasa suci Tuhan dan bercakap dengan bijaksana.+ 11  Kemudian secara rahsia, mereka menyuruh orang untuk berkata, “Kami mendengarnya mengucapkan kata-kata hinaan terhadap Musa dan Tuhan.” 12  Mereka juga menghasut orang ramai, para pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum. Semua orang ini datang secara tiba-tiba dan menangkap Stefanus. Mereka bertindak dengan kasar dan membawanya menghadap Majlis Orang Yahudi. 13  Beberapa orang saksi palsu yang dibawa oleh mereka berkata, “Lelaki ini tidak berhenti mengucapkan kata-kata yang menghina Hukum dan tempat suci ini. 14  Misalnya, kami mendengar dia berkata bahawa Yesus, orang Nasaret itu, akan merobohkan tempat ini dan mengubah adat istiadat yang diturunkan oleh Musa kepada kita.” 15  Semasa semua orang yang duduk di Majlis Orang Yahudi menatap Stefanus, mereka nampak wajahnya kelihatan seperti wajah malaikat.

Nota Kaki