Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 17:1-27
17 Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, iaitu saudara kandung Yakobus, ke atas sebuah gunung yang tinggi. Hanya mereka berempat berada di situ.+
2 Rupa Yesus berubah di depan mereka; wajahnya bersinar seperti matahari dan jubah luarnya menjadi terang* seperti cahaya.+
3 Tiba-tiba, Musa dan Elia muncul di depan mereka dan berbual-bual dengan Yesus.
4 Maka Petrus berkata kepada Yesus, “Tuan, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Jika Tuan mahu, aku akan mendirikan tiga buah khemah di sini: Satu untuk Tuan, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.”
5 Semasa Petrus masih bercakap, sekepul awan yang bersinar terang meliputi mereka. Kedengaran suara dari awan itu yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.+ Dengarkanlah dia.”+
6 Apabila murid-murid Yesus mendengar suara itu, mereka berasa sangat takut lalu meniarap di tanah.
7 Yesus menghampiri mereka dan menyentuh mereka lalu berkata, “Bangunlah. Jangan berasa takut.”
8 Apabila mereka mendongakkan kepala, mereka tidak nampak sesiapa pun di situ kecuali Yesus.
9 Semasa mereka turun dari gunung, Yesus berkata kepada mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun tentang penglihatan tadi sehingga Anak Manusia dibangkitkan daripada kematian.”+
10 Tetapi murid-muridnya bertanya, “Jika begitu, mengapakah para jurutulis hukum mengatakan bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?”+
11 Dia menjawab, “Elia memang akan datang dan dia akan memulihkan segala sesuatu.+
12 Namun demikian, aku berkata kepada kamu bahawa Elia sudah datang tetapi orang tidak mengenalinya. Mereka memperlakukannya dengan sesuka hati.+ Dalam cara yang sama, Anak Manusia akan menderita dalam tangan mereka.”+
13 Barulah murid-muridnya sedar bahawa dia sedang bercakap tentang Yohanes Pembaptis.
14 Apabila mereka menghampiri orang ramai,+ seorang lelaki datang dan berlutut di depan Yesus.
15 Dia berkata, “Tuan, kasihanilah anak lelaki aku. Dia menghidap penyakit sawan dan keadaannya sangat teruk. Dia sering kali jatuh ke dalam api dan air.+
16 Jadi aku membawanya kepada murid-muridmu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.”
17 Yesus berkata, “Hai generasi yang tidak beriman dan yang berdosa,+ berapa lamakah aku mesti terus bersama kamu? Berapa lamakah aku mesti bersabar dengan kamu? Bawalah dia kepadaku.”
18 Yesus menegur roh jahat itu dan roh jahat itu pun keluar. Pada masa itu juga, budak itu sembuh.+
19 Kemudian, semasa tiada orang lain di situ, murid-muridnya datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?”
20 Dia menjawab, “Kamu tidak dapat melakukannya kerana iman kamu terlalu kecil. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dari sini ke sana,’ lalu gunung ini akan beralih. Tiada apa-apa pun yang mustahil bagi kamu.”+
21 * ——
22 Semasa murid-muridnya berkumpul di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan musuhnya.+
23 Mereka akan membunuh dia, dan pada hari ketiga, dia akan dibangkitkan.”+ Oleh itu, murid-muridnya berasa sangat sedih.
24 Selepas mereka tiba di Kapernaum, orang yang memungut cukai Rumah Tuhan* menghampiri Petrus dan bertanya, “Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?”+
25 Dia menjawab, “Ya.” Tetapi apabila Petrus masuk ke dalam rumah, Yesus bertanya kepadanya terlebih dahulu, “Simon, pada pendapatmu, raja-raja di bumi memungut cukai barangan dan cukai kepala daripada siapa? Daripada anak mereka atau daripada orang asing?”
26 Petrus menjawab, “Daripada orang asing.” Maka Yesus berkata, “Jadi sebenarnya, anak mereka tidak perlu membayar cukai.
27 Tetapi supaya kita tidak menyebabkan sesiapa pun tersandung,+ pergilah ke tasik, dan pancinglah ikan. Dalam mulut ikan pertama yang kamu tangkap, kamu akan menjumpai sekeping duit perak.* Ambillah duit itu dan berikannya kepada mereka untuk kita berdua.”
Nota Kaki
^ Atau “putih.”
^ Lihat Lampiran A3.
^ Harfiah, “2 drakma.” Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “wang stater,” yang dianggap sebagai 1 tetradrakma. Lihat Lampiran B14.