Surat kepada Sidang di Roma 10:1-21
10 Saudara-saudara, aku ingin agar orang Israel diselamatkan, dan aku merayu kepada Tuhan tentang hal itu.+
2 Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar.+ Tetapi mereka berbuat demikian tanpa pengetahuan yang tepat.
3 Oleh sebab mereka tidak mengetahui piawaian Tuhan yang adil,+ mereka berusaha membuktikan bahawa mereka diperkenankan Tuhan menurut cara mereka sendiri,+ dan mereka tidak menurut piawaian Tuhan yang adil.+
4 Kristus sudah menyebabkan Hukum tidak lagi berkuat kuasa.+ Oleh itu, semua orang yang beriman dapat diperkenankan Tuhan.+
5 Musa menulis tentang orang yang diperkenankan Tuhan kerana mereka mematuhi Hukum: “Orang yang mematuhi Hukum akan hidup.”+
6 Tetapi sebenarnya seseorang boleh mendapat perkenan Tuhan melalui imannya, kerana Ayat-Ayat Suci menyatakan, “Janganlah bertanya dalam hatimu,+ ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’+ iaitu, untuk membawa Kristus turun;
7 atau, ‘Siapakah yang akan turun ke jurang yang dalam?’+ iaitu, untuk membawa Kristus naik daripada kalangan orang mati.”
8 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Ayat-Ayat Suci menyatakan, “Perkhabaran itu sangat dekat dengan kamu, seolah-olah di dalam mulut kamu dan dalam hati kamu.”+ “Perkhabaran” itu diterima melalui iman, dan kami sedang menyebarkan perkhabaran itu.
9 Jika kamu mengisytiharkan dengan mulut kamu bahawa Yesus ialah Tuan,+ dan jika kamu beriman dalam hati kamu bahawa Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian, kamu akan diselamatkan.
10 Dengan hati, seseorang beriman untuk mendapat perkenan Tuhan. Namun dengan mulut, seseorang mengisytiharkan perkhabaran itu di hadapan umum+ untuk mendapat penyelamatan.
11 Ada tertulis dalam ayat suci, “Sesiapa yang beriman kepadanya tidak akan dikecewakan.”+
12 Tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani.+ Mereka semua mempunyai Tuan* yang sama, yang murah hati terhadap semua orang yang berseru kepada-Nya.
13 Hal ini demikian kerana “semua orang yang menyeru nama Yehuwa* akan diselamatkan.”+
14 Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada-Nya jika mereka belum beriman kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat beriman kepada-Nya jika mereka tidak mengenal-Nya? Bagaimanakah mereka dapat mengenal-Nya jika tiada orang yang menyebarkan perkhabaran tentang-Nya?
15 Bagaimanakah orang dapat menyebarkan perkhabaran tentang-Nya jika mereka tidak diutus?+ Sebagaimana yang tertulis, “Betapa indahnya kaki orang yang mengkhabarkan berita baik tentang hal-hal yang baik!”+
16 Tetapi, bukan semua orang patuh kepada berita baik. Yesaya berkata, “Yehuwa,* siapakah yang mempercayai perkhabaran* yang kami sampaikan?”+
17 Sebenarnya, orang hanya dapat beriman selepas mendengar perkhabaran itu,+ dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang menyampaikan berita tentang Kristus.
18 Namun aku bertanya, Adakah hal itu bermaksud bahawa mereka tidak mendengar perkhabaran itu? Sudah tentu mereka mendengarnya, kerana ada tertulis, “Berita itu telah sampai ke hujung bumi, dan perkhabaran itu telah mencapai seluruh dunia.”+
19 Namun aku bertanya: Adakah orang Israel tidak memahaminya?+ Tidak, mereka memang memahaminya. Musa pernah berkata, “Aku akan membuat kamu cemburu melalui bangsa yang lain. Aku akan membuat kamu marah melalui bangsa yang bodoh.”+
20 Kemudian, Yesaya mengucapkan firman Tuhan dengan penuh keberanian, “Aku dijumpai oleh mereka yang tidak mencari Aku.+ Aku menyingkapkan diri kepada mereka yang tidak bertanya tentang Aku.”+
21 Namun, mengenai orang Israel, Tuhan berfirman, “Sepanjang hari, Aku menghulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang ingkar dan degil.”+
Nota Kaki
^ Yunani, Kyʹri·os. Dalam konteks ini, gelaran “Tuan” boleh merujuk kepada Tuhan atau Yesus.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Atau “laporan.”