Zakharia 14:1-21
14 “Lihatlah! Hari Aku, Yehuwa, akan tiba. Pada hari itu, musuh akan merampas hartamu* dan membahagi-bahagikannya di hadapan matamu.
2 Hai kota Yerusalem, Aku akan mengumpulkan semua bangsa untuk memerangimu. Engkau akan ditawan, harta di dalam rumah-rumahmu akan dirampas, dan kaum wanitamu akan dirogol. Setengah daripada pendudukmu akan dibuang negeri, tetapi yang selebihnya tidak akan dipindahkan.
3 “Aku, Yehuwa, akan pergi untuk berperang melawan bangsa-bangsa+ tersebut, sebagaimana Aku melawan musuh-musuh-Ku pada masa lampau.+
4 Pada hari itu, Aku akan berdiri di Gunung Zaitun+ yang terletak di sebelah timur Yerusalem. Kemudian, Gunung Zaitun akan terbelah dua, dari timur ke barat. Sebuah lembah yang sangat besar akan terbentuk; setengah daripada gunung itu akan bergerak ke utara dan setengah lagi ke selatan.
5 Pendudukmu akan melarikan diri ke lembah yang terletak di antara dua buah gunung itu kerana lembah itu akan sampai ke Azel. Mereka akan lari sebagaimana orang melarikan diri ketika gempa bumi pada zaman Uzia, raja Yehuda itu.+ Aku, Yehuwa, akan datang bersama semua hamba-Ku yang suci.+
6 “Pada hari itu, tidak akan ada cahaya yang bersinar.+ Segala sesuatu akan membeku.
7 Hari itu akan dikenali sebagai hari Yehuwa.+ Pada masa itu, tidak akan ada perbezaan antara siang dengan malam. Pada waktu senja pun, hari itu masih terang.
8 Air kehidupan+ akan mengalir dari Yerusalem+ pada hari itu; separuh akan mengalir ke laut di sebelah timur* dan separuh lagi mengalir ke laut di sebelah barat.*+ Hal ini akan berlaku pada musim panas dan musim sejuk.+
9 Aku, Yehuwa, akan menjadi Raja yang berkuasa atas seluruh bumi.+ Pada hari itu, semua orang akan menyembah Aku, Yehuwa, sahaja+ dan mereka akan memuji nama-Ku sahaja.+
10 “Dari Geba+ hingga Rimon+ yang terletak di selatan Yerusalem, seluruh negeri akan menjadi seperti Araba.+ Yerusalem akan menjulang tinggi di tempat asalnya,+ dan akan dihuni dari Pintu Gerbang Benyamin+ hingga kawasan di Pintu Gerbang Pertama sampai ke Pintu Gerbang Sudut, serta dari Menara Hananel+ hingga tempat pemerasan buah anggur milik raja.
11 Yerusalem tidak akan dikutuk lalu dibinasakan lagi.+ Kota itu akan didiami dan penduduknya akan tinggal dengan selamat.+
12 “Berikut merupakan penyakit yang akan Aku, Yehuwa, datangkan kepada semua bangsa yang berperang melawan Yerusalem:+ Daging mereka akan reput sewaktu mereka masih hidup. Mata mereka akan reput dalam rongga mata dan lidah mereka akan reput dalam mulut.
13 “Pada hari itu, Aku, Yehuwa, akan mengacau-bilaukan mereka. Mereka akan melawan dan menyerang satu sama lain.+
14 Penduduk Yehuda juga akan terlibat dalam peperangan di Yerusalem. Kekayaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, termasuk emas, perak, serta pakaian akan dikumpulkan dalam jumlah yang sangat banyak.+
15 “Penyakit yang sama juga akan menimpa kuda, baghal, unta, keldai, dan semua ternakan di perkhemahan musuh.
16 “Semua orang daripada bangsa-bangsa yang masih hidup, yang menyerang Yerusalem, akan datang ke Yerusalem setiap tahun+ untuk menyembah Aku, Yehuwa, iaitu Raja yang merupakan ketua angkatan syurga,+ dan untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.+
17 Namun, jika ada sesiapa daripada bangsa mana pun di bumi ini yang tidak mahu datang ke Yerusalem untuk menyembah Aku, Yehuwa, iaitu Raja yang merupakan ketua angkatan syurga, hujan tidak akan turun bagi mereka.+
18 Jika penduduk Mesir tidak datang dan masuk ke dalam kota Yerusalem, hujan pun tidak akan turun untuk mereka. Sebaliknya, mereka akan ditimpa penyakit yang Aku, Yehuwa, datangkan kepada bangsa-bangsa lain yang tidak datang untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.
19 Itulah hukumannya jika penduduk Mesir dan bangsa-bangsa lain melakukan dosa dengan tidak datang untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.
20 “Pada hari itu, ungkapan ‘Kesucian milik Yehuwa!’+ akan diukir pada loceng-loceng kuda. Periuk*+ di rumah milik Aku, Yehuwa, juga akan digunakan seperti mangkuk-mangkuk+ di hadapan mazbah.
21 Semua periuk* yang ada di Yerusalem dan di Yehuda akan menjadi suci dan menjadi milik Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga. Semua orang yang datang untuk mempersembahkan korban akan menggunakan beberapa buah periuk itu untuk merebus daging. Pada hari itu, tidak akan ada lagi orang Kanaan* di rumah milik Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”+
Nota Kaki
^ Iaitu, kota yang disebut di ayat 2.
^ Iaitu, Laut Mediterranean.
^ Iaitu, Laut Mati.
^ Atau “Periuk bermulut lebar.”
^ Atau “periuk bermulut lebar.”
^ Atau mungkin, “pedagang.”