Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

SOALAN 5

Adakah Masuk Akal untuk Mempercayai Bible?

Adakah Masuk Akal untuk Mempercayai Bible?

Pernahkah anda mempunyai tanggapan yang salah terhadap seseorang? Mungkin orang lain cakap hal buruk tentangnya. Jadi anda pun mula tidak suka dia. Tetapi selepas anda lebih mengenali dia, anda mendapati bahawa apa yang orang kata tentangnya tidak benar. Begitulah perasaan banyak orang tentang Bible.

Sesetengah orang yang terpelajar juga ada pandangan yang negatif tentang Bible. Mengapa? Hal ini kerana ada orang menjelaskan Bible dalam cara yang membuatnya kelihatan tidak masuk akal, tidak tepat dari segi sains, atau mengandungi maklumat yang palsu.

Selepas membaca brosur ini dan mengetahui bahawa Bible tepat dari segi sains, apakah perasaan anda? Ramai orang terkejut apabila mengetahui bahawa banyak agama mengajar hal-hal yang tidak selaras dengan Bible. Sebagai contoh, ramai fikir Bible ajar bahawa Tuhan mencipta alam semesta dan semua kehidupan dalam masa enam hari yang masing-masing panjangnya 24 jam. Tetapi itu bukan apa yang diajarkan Bible. Sebenarnya, ajaran Bible tidak bercanggah dengan anggaran ahli sains tentang usia alam semesta atau bumi. *

Tambahan lagi, penjelasan Bible tentang bagaimana Tuhan menciptakan kehidupan di bumi cukup umum sehingga seseorang dapat membuat kajian sains untuk lebih memahami proses-prosesnya. Meskipun demikian, Bible mengatakan dengan jelas bahawa Tuhan menciptakan semua makhluk hidup “mengikut jenisnya.” (Kejadian 1:11, 21, 24) Biarpun ajaran Bible ini bercanggah dengan sesetengah teori sains, hal itu sebenarnya disokong oleh bukti yang kukuh. Teori sains sering berubah, tetapi fakta yang terbukti tetap sama.

Ramai orang teragak-agak untuk mengkaji Bible kerana melihat banyak organisasi agama melakukan hal yang jahat dan bahkan menyokong peperangan. Tapi, wajarkah seseorang membuat kesimpulan tentang Bible berdasarkan tingkah laku mereka? Fikirkan hal ini: Sesetengah orang menggunakan teori evolusi sebagai alasan untuk melakukan hal-hal ganas yang bersifat perkauman. Wajarkah seseorang menolak teori evolusi hanya berdasarkan hal itu? Memang tidak. Langkah yang terbijak adalah untuk menyiasat teori itu dan membandingkannya dengan bukti-bukti yang ada.

Maka, berusahalah untuk berpandangan terbuka semasa mengkaji Bible. Anda akan mendapati bahawa ajarannya sangat berbeza dengan ajaran kebanyakan agama. Bible bukan sahaja mengajar kita untuk menjauhi peperangan dan keganasan kaum tetapi bahkan mengajar kita pentingnya untuk menyingkirkan perasaan benci yang merupakan akar keganasan. (Yesaya 2:2-4; Matius 5:43, 44; 26:52) Selain itu, Bible mengajar bahawa iman sejati adalah berdasarkan bukti yang kukuh. Maka, seseorang yang ingin menyembah Tuhan harus menggunakan daya pemikirannya dan bukannya mempercayai sesuatu secara membabi buta. (Roma 12:1; Ibrani 11:1) Bible juga menggalakkan kita untuk menyelidiki dan mencari jawapan kepada soalan-soalan yang penting tentang kehidupan.

Contohnya, pernahkah anda tanya, “Jika Tuhan benar-benar wujud, mengapakah Dia mengizinkan hal-hal yang jahat untuk berlaku?” Bible ada jawapan yang memuaskan untuk soalan itu dan banyak soalan lain. * Jika anda tidak berputus asa, anda akan menemui kebenaran yang dapat dipercayai dan berdasarkan bukti yang kukuh.

^ per. 5 Untuk maklumat lanjut, lihat brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 9 Lihat bab 11 buku Apakah yang Diajarkan Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.