Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 4

Cara untuk Mengurus Wang

Cara untuk Mengurus Wang

“Mintalah nasihat supaya berjaya.”​—Amsal 20:18

Kita semua memerlukan wang untuk menyediakan keperluan keluarga. (Amsal 30:8) Lagipun, wang dapat “memberikan jaminan.” (Pengkhutbah 7:12) Berbincang tentang wang mungkin tidak mudah bagi anda, tetapi jangan biarkan wang menyebabkan masalah dalam perkahwinan anda. (Efesus 4:32) Suami isteri harus saling percaya dan bekerjasama semasa menentukan cara menggunakan wang.

1 RANCANG DENGAN TELITI

NASIHAT BIBLE: “Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.” (Lukas 14:28) Merancang bersama-sama tentang cara menggunakan wang adalah penting. (Amos 3:3) Tentukan apa yang anda perlu beli dan jumlah yang anda mampu belanja. (Amsal 31:16) Mempunyai wang untuk membeli sesuatu tidak bererti anda perlu mendapatkannya. Elakkan daripada berhutang. Jangan belanja di luar kemampuan anda.​—Amsal 21:5; 22:7.

ANDA BOLEH:

  • Jika mempunyai wang lebihan pada hujung bulan, bincanglah tentang cara menggunakan wang tersebut

  • Jika anda kekurangan wang, rancanglah dengan teliti untuk kurangkan perbelanjaan. Contohnya, masaklah sendiri dan bukannya makan di luar

2 BERSIKAP JUJUR DAN MUNASABAH

NASIHAT BIBLE: ‘Lakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Yehuwa, tetapi juga di hadapan manusia.’ (2 Korintus 8:21) Anda patut bersikap jujur dengan pasangan anda tentang pendapatan dan perbelanjaan anda.

Bincanglah dengan pasangan anda sebelum membuat keputusan yang penting tentang penggunaan wang anda. (Amsal 13:10) Berbincang tentang penggunaan wang dapat membantu mengekalkan kedamaian dalam perkahwinan anda. Anggaplah pendapatan anda sebagai wang keluarga dan bukannya wang peribadi.​—1 Timotius 5:8.

ANDA BOLEH:

  • Bincang dengan pasangan anda jumlah wang yang anda boleh belanja tanpa memerlukan persetujuan

  • Berbincang terlebih dahulu sebelum masalah kewangan timbul