SOALAN 3
Bagaimanakah Saya Dapat Berkomunikasi dengan Ibu Bapa Saya?
APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?
Bayangkan situasi ini: Waktu: Hari Rabu, petang. Jeff, yang berusia 17 tahun, baru habis buat kerja rumahnya. “Akhirnya saya dapat relaks!” kata Jeff. Dia memasang TV lalu duduk di kerusi kesukaannya.
Ketika itu, Ayah muncul di depan pintu. Nampaknya dia tidak gembira.
“Jeffrey! Kamu ni asyik tonton TV saja! Kan saya suruh kamu ajar Adik buat kerja rumah. Kamu selalu tidak dengar cakap!”
“Ish, membebel lagi!” bisik Jeff, tetapi cukup kuat untuk didengari.
Ayah membongkok ke depan. “Apa kamu kata?”
Jeff mengeluh. “Tiada apa-apa,” jawabnya dengan selamba.
Sekarang, Ayah sudah naik marah. “Jangan kurang ajar!”
Jika anda ialah Jeff, bagaimanakah anda dapat mencegah situasi yang tegang ini daripada berlaku?
FIKIRLAH SEJENAK!
Komunikasi dengan ibu bapa bagaikan memandu kereta. Jika ada sekatan jalan, carilah jalan yang lain.
SEBAGAI CONTOH:
Seorang gadis bernama Leah berkata, “Saya berasa susah untuk berkomunikasi dengan Ayah. Apabila saya sedang beritahu Ayah sesuatu, dia akan tanya, ‘Kamu sedang cakap dengan sayakah?’”
LEAH ADA SEKURANG-KURANGNYA TIGA PILIHAN.
-
Menengking bapanya.
Leah menjerit, “Dengarlah! Apa yang saya cakap ini penting!”
-
Tidak mahu bercakap lagi.
Leah putus asa dan tidak mahu memberitahu bapanya tentang masalahnya.
-
Cari masa yang lebih sesuai.
Leah mencari masa lain untuk bercakap dengan bapanya, atau menulis sepucuk surat kepadanya.
Pilihan manakah yang akan anda cadangkan kepada Leah?
FIKIRKAN: Bapa Leah tidak memberikan perhatian, jadi dia tidak sedar Leah tengah geram. Jika Leah memilih A, bapanya mungkin tidak faham mengapa dia tiba-tiba mengamuk. Hal ini mungkin menyebabkan bapanya tidak sudi mendengarnya. Pilihan ini juga menunjukkan bahawa Leah tidak menghormati bapanya. (Efesus 6:2) Jadi, Leah bagaikan mencencang air kerana pilihan ini tidak bermanfaat bagi sesiapa pun.
Pilihan B nampaknya mudah, tetapi bukanlah pilihan yang bijak. Mengapa? Jika Leah mahu menyelesaikan masalahnya, dia perlu bercakap dengan bapanya. Barulah bapanya faham apa yang telah berlaku dan dapat membantunya. Dengan berdiam diri, tiada apa-apa yang tercapai.
Dengan memilih C, Leah berusaha mengatasi masalah komunikasi dengan bapanya. Jadi, dia mencari masa yang lebih sesuai untuk bercakap. Jika dia meluahkan perasaannya dalam surat, dia mungkin berasa lebih tenang selepas itu.
Dengan menulis surat, dia dapat memikirkan terlebih dahulu apa yang ingin dikatakannya. Hal ini dapat membantu bapanya lebih memahami perasaan dan masalah yang dihadapinya. Maka, pilihan C bermanfaat bagi Leah dan bapanya. Sama ada Leah berjumpa dengan bapanya atau menulis surat, pilihan ini selaras dengan nasihat Bible untuk “melakukan perkara yang membawa perdamaian.”—Roma 14:19.
Apakah perkara lain yang dapat dilakukan oleh Leah?
Berikan satu cadangan dan fikirkan apa yang mungkin berlaku jika cadangan itu digunakan.
ELAKKAN KEKELIRUAN
Ingatlah, semasa anda mengatakan sesuatu, ibu bapa anda mungkin tidak memahami apa yang ingin anda luahkan.
SEBAGAI CONTOH:
Ibu bapa anda ingin tahu mengapa angin anda tidak baik. Anda menjawab, “Malas saya mahu cakap.”
Namun, ibu bapa anda mungkin fikir inilah yang anda maksudkan: “Saya tidak mahu beritahu kamu sebab saya belum cukup yakin pada kamu. Saya lebih sudi meluahkan perasaan saya kepada kawan-kawan.”
Bayangkan anda menghadapi masalah besar, dan ibu bapa anda ingin membantu anda. Tetapi anda berkata, “Jangan risau. Saya dapat selesaikannya.”
-
Apakah yang mungkin difikirkan ibu bapa anda?
-
Apakah jawapan yang lebih sesuai?