Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 124

Kristus Dikhianati dan Ditangkap

Kristus Dikhianati dan Ditangkap

MATIUS 26:47-56 MARKUS 14:43-52 LUKAS 22:47-53 YOHANES 18:2-12

  • YUDAS MENGKHIANATI YESUS DI TAMAN GETSEMANI

  • PETRUS MENGERAT TELINGA SEORANG LELAKI

  • YESUS DITANGKAP

Sekarang sudah larut malam. Sebelum ini, para imam bersetuju untuk memberi Yudas 30 keping wang perak supaya dia mengkhianati Yesus. Maka sekarang Yudas membawa para ketua imam dan orang Farisi untuk mencari Yesus. Mereka juga disertai oleh askar-askar Roma dan seorang ketua pasukan tentera.

Nampaknya Yudas terus pergi kepada para ketua imam setelah dia meninggalkan jamuan Paska. (Yohanes 13:27) Mereka mengumpulkan para pengawal dan askar-askar. Mula-mula, Yudas mungkin membawa mereka ke bilik tingkat atas tempat Yesus dan para rasul menyambut Perayaan Paska. Tetapi sekarang mereka pergi ke Taman Getsemani sambil membawa pelita, obor, dan senjata, untuk mencari Yesus.

Memandangkan Yesus dan para rasul selalu singgah di taman itu, Yudas pergi ke situ. Tetapi sekarang sudah larut malam, dan taman itu ada banyak pokok zaitun. Jadi askar-askar itu mungkin tidak dapat mengenal Yesus. Maka Yudas berkata kepada mereka, “Sesiapa yang aku cium, dialah orang yang kamu cari. Tangkaplah dia dan bawalah dia dengan kawalan yang ketat.”​—Markus 14:44.

Apabila Yudas dan orang yang bersamanya memasuki taman itu, dia nampak Yesus bersama para rasul yang lain. Dia terus menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Rabbi!” lalu menciumnya. Yesus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu datang?” (Matius 26:49, 50) Yesus menjawab soalannya sendiri dengan berkata, “Yudas, adakah kamu mengkhianati Anak Manusia dengan ciuman?” (Lukas 22:48) Selepas itu, Yesus tidak mempedulikan Yudas lagi.

Yesus melangkah ke depan dan bertanya, “Siapakah yang sedang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu.” Dengan berani, Yesus berkata, “Akulah orang yang kamu cari.” (Yohanes 18:4, 5) Jawapan Yesus mengejutkan mereka, maka mereka rebah ke tanah.

Yesus tidak mengambil peluang itu untuk melarikan diri, sebaliknya dia menanya mereka sekali lagi, “Siapakah yang sedang kamu cari?” Apabila mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu,” dia berkata dengan tenang, “Aku sudah memberitahu kamu bahawa akulah orang yang kamu cari. Jika akulah orang yang kamu cari, biarlah mereka pergi.” Biarpun menghadapi saat genting ini, Yesus tidak lupa akan kata-kata yang diucapkannya dahulu, “Aku tidak kehilangan seorang pun.” (Yohanes 6:39; 17:12) Yesus melindungi rasul-rasulnya yang setia dan tiada seorang pun yang akan dimusnahkan, “kecuali dia yang akan dimusnahkan itu,” iaitu Yudas. (Yohanes 18:7-9) Itulah sebabnya dia meminta mereka untuk melepaskan para rasulnya.

Kemudian askar-askar itu berdiri dan menghampiri Yesus. Para rasul nampak apa yang berlaku dan berkata kepada Yesus, “Tuan, haruskah kami menyerang mereka dengan pedang?” (Lukas 22:49) Sebelum Yesus sempat menjawab, Petrus menghunus pedangnya dan menyerang Malkhus, seorang hamba imam agung, dan mengerat telinga kanannya.

Yesus menyentuh telinga Malkhus dan menyembuhkannya. Kemudian dia berkata kepada Petrus dengan tegas, “Sarungkanlah pedangmu. Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang.” Yesus rela ditangkap. Mengapa? Dia berkata, “Bagaimanakah Ayat-Ayat Suci yang menyatakan bahawa perkara ini mesti berlaku dapat menjadi kenyataan?” (Matius 26:52, 54) Dia menyambung, “Bukankah aku harus minum daripada cawan yang diberikan oleh Bapa kepadaku?” (Yohanes 18:11) Ya, Yesus sanggup menyerahkan nyawanya untuk melakukan kehendak Tuhan.

Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap aku seperti menangkap seorang perompak? Tiap-tiap hari aku duduk sambil mengajar di Rumah Tuhan. Namun, kamu tidak menangkap aku. Tetapi semua ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi menjadi kenyataan.”​—Matius 26:55, 56.

Kemudian askar-askar, ketua pasukan tentera, dan para pengawal orang Yahudi, menangkap Yesus dan mengikatnya. Apabila para rasul nampak apa yang berlaku, mereka pun melarikan diri. Namun “ada seorang lelaki muda,” mungkin Markus, tinggal bersama orang ramai supaya dia dapat mengikut Yesus. (Markus 14:51) Tetapi apabila mereka mengecam mukanya dan mencuba menangkapnya, dia meninggalkan jubah linennya lalu melarikan diri.