Lompat ke kandungan

Bible—Buku yang Mengandungi Nubuat yang Tepat, Bahagian 1

Bible—Buku yang Mengandungi Nubuat yang Tepat, Bahagian 1

“Aku Akan Membuat Keturunanmu Menjadi Bangsa yang Besar”

Majalah “Sedarlah!” akan membincangkan satu ciri yang istimewa dalam Bible, iaitu nubuat atau ramalan. Siri ini mengandungi lapan rencana yang akan menjawab soalan-soalan berikut: Adakah Bible sekadar hasil karya manusia yang bijak? Adakah Bible diilhami oleh Tuhan? Pertimbangkanlah bukti-buktinya.

BANYAK orang hari ini memiliki keraguan dan ada yang mempunyai pandangan yang sama terhadap Bible. Sedihnya, banyak orang tidak meluangkan masa untuk mengkaji Bible dengan teliti. Pandangan mereka selalunya dipengaruhi oleh apa yang orang lain katakan. Kami harap anda mengkaji bukti-buktinya sendiri. Marilah kita belajar apa yang berlaku pada zaman lampau yang akan membantu kita lihat fakta-fakta yang membuktikan bahawa Bible boleh dipercayai.

Mula-mula, kita akan mengkaji tentang seorang lelaki yang masih dihormati oleh orang Kristian, orang Yahudi, dan orang Muslim. Dia seorang Ibrani dan hidup dari tahun 2018 hingga 1843 SM. a Namanya ialah Abraham. b

Sesetengah nubuat paling awal yang dicatatkan dalam Bible bertumpu kepada Abraham dan nubuat-nubuat ini bahkan berkaitan dengan kita hari ini. Menurut buku Kejadian, nubuat-nubuat ini merangkumi: (1) Keturunan Abraham akan menjadi bangsa yang besar. (2) Sebelum hal itu terjadi, mereka akan menjadi hamba di negeri asing. (3) Mereka akan dibebaskan dan menakluki negeri Kanaan. Mari kita pertimbangkan kenyataan-kenyataan ini dengan lebih lanjut.

Tiga Nubuat Bible yang Menonjol

Nubuat 1: “Aku akan membuat keturunanmu [Abraham] menjadi bangsa yang besar.”—Kejadian 12:2.

Pelaksanaan: Ishak dan Yakub (yang juga dipanggil Israel) ialah keturunan Abraham. Keturunan mereka menjadi bangsa Israel kuno yang mempunyai kerajaan dan raja sendiri.

Bukti sejarah:

● Bible menyebut secara terperinci tentang salasilah keluarga Abraham, termasuk keturunannya menerusi Ishak, Yakub, dan 12 anak lelaki Yakub. Salasilah ini juga merangkumi banyak raja yang memerintah di Israel atau Yehuda. Antara raja-raja itu, terdapat 17 orang yang disebut dalam sumber yang bukan daripada Bible. Sumber-sumber itu selaras dengan catatan Bible tentang bagaimana keturunan Abraham menerusi Ishak dan Yakub menjadi sebuah bangsa. c

Nubuat 2: “Keturunanmu [Abraham] akan menjadi orang asing di negeri lain. Mereka akan menjadi hamba . . . Generasimu yang keempat akan kembali ke sini.”​—Kejadian 15:13, 16.

Pelaksanaan: Disebabkan kebuluran yang berlaku di Kanaan, empat generasi Abraham tinggal di Mesir, mula-mula sebagai orang asing tetapi kemudiannya sebagai hamba yang ditugaskan untuk membuat batu bata daripada tanah liat dan jerami. Perhatikan garis keturunan Lewi yang merupakan cicit Abraham. Selepas Lewi berpindah ke Mesir bersama bapanya yang sudah tua, empat generasi yang menetap di sana ialah (1) Lewi, (2) anaknya Kehat, (3) cucunya Amram, dan (4) cicitnya Musa. (Keluaran 6:16, 18, 20) Pada tahun 1513 SM, Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir.

Bukti sejarah:

● Menurut James K. Hoffmeier, iaitu profesor Perjanjian Lama dan Arkeologi Timur Dekat, tulisan-tulisan orang Mesir dan bukti arkeologi menunjukkan bahawa orang Semitik (seperti orang Ibrani kuno) telah dibenarkan untuk memasuki Mesir dan membawa ternakan mereka semasa kebuluran. Tetapi, adakah orang Israel menjadi hamba di situ dan membuat batu bata?

● Walaupun catatan orang Mesir tidak menyebut tentang orang Israel secara spesifik, lukisan-lukisan di makam dan gulungan-gulungan orang Mesir membuktikan bahawa orang Mesir menggunakan orang asing untuk membuat batu bata daripada lumpur dan jerami. Seperti yang dinyatakan dalam Bible, catatan orang Mesir juga menunjukkan bahawa para pengawas mencatatkan penghasilan batu bata. (Keluaran 5:14, 19) Hoffmeier berkata, “Sumber-sumber Mesir mengesahkan bahawa orang asing dipaksa untuk menjadi hamba . . . sepanjang tempoh semasa orang Israel dianiaya. Sebagai kesimpulan, orang Ibrani kuno yang memasuki Mesir . . . semasa kebuluran dan kemudiannya menjadi hamba nampaknya adalah benar.”

Nubuat 3: ‘Aku berikan kepada keturunanmu seluruh negeri Kanaan.’​—Kejadian 17:8.

Pelaksanaan: Walaupun Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir, Yosua anak Nun telah memimpin orang Israel memasuki negeri Kanaan pada tahun 1473 SM.

Bukti sejarah:

● Biarpun ahli arkeologi tidak sependapat tentang bila peristiwa itu berlaku, K. A. Kitchen, iaitu profesor emeritus kaji purba Mesir menulis, “Kita boleh katakan bahawa orang Israel telah memasuki negeri Kanaan dan menetap di situ.”

● Bible menyatakan bahawa Yosua “membakar kota Hazor [kota orang Kanaan].” (Yosua 11:10, 11) Di kawasan reruntuhan kota itu, ahli arkeologi telah menggali tiga kuil orang Kanaan yang dimusnahkan dengan sepenuhnya. Mereka juga menemui bukti yang menunjukkan bahawa kota itu telah dibakar pada tahun 1400-an SM. Maklumat tersebut selaras dengan catatan Bible.

● Sebuah lagi kota Kanaan yang menarik ialah Gibeon, yang terletak kira-kira 9.6 km dari Yerusalem. Ahli arkeologi telah kenal pasti kota itu apabila mereka menemui 30 tembikar yang ada ukiran nama kota itu. Tidak seperti penduduk Hazor, orang Gibeon kuno membuat perjanjian damai dengan Yosua. Yosua kemudiannya menugaskan mereka untuk “menimba air.” (Yosua 9:3-7, 23) Mengapakah Yosua memberikan tugasan ini? Catatan di 2 Samuel 2:13 dan Yeremia 41:12 menunjukkan bahawa terdapat banyak air di Gibeon. Maka, selaras dengan catatan Bible, Archaeological Study Bible, New International Version menyatakan, “Ciri yang paling menonjol tentang Gibeon ialah sumber airnya yang berlimpah-limpah, iaitu satu mata air yang utama dan tujuh mata air yang kecil.”

● Terdapat catatan sejarah yang lain dapat membuktikan bahawa banyak orang yang disebut dalam Bible memang wujud. Mereka merangkumi 17 raja yang disebut pada awal rencana yang merupakan keturunan Abraham dan memerintah di Israel atau Yehuda. Antaranya ialah Ahab, Ahas, Daud, Hizkia, Manasye, dan Uzia. Jelaslah, kewujudan raja-raja ini ialah bukti yang kukuh bahawa bangsa Israel memang wujud dan mereka telah memasuki negeri Kanaan dan menetap di sana.

● Pada 1896, para penyelidik telah menemui ukiran Merneptah di Thebes, Mesir. Ukiran ini membangga-banggakan Firaun Merneptah dan tenteranya yang menakluki negeri Kanaan kira-kira pada tahun 1210 SM. Ukiran ini merupakan rujukan pertama yang bukan daripada Bible yang menyebut tentang Israel dan yang memberikan bukti tambahan tentang kewujudan bangsa ini.

Perincian Bible yang Spesifik Membuktikan Ketepatannya

Seperti yang kita sudah lihat, terdapat banyak maklumat yang spesifik dalam Bible tentang orang, tempat, dan peristiwa. Maklumat sebegini membolehkan kita membandingkan kandungan Bible dengan rujukan lain. Dengan itu, kita dapat pasti bahawa nubuat Bible telah menjadi kenyataan. Mengenai Abraham dan keturunannya, bukti menunjukkan bahawa janji-janji Tuhan telah ditunaikan, iaitu keturunan Abraham memang menjadi sebuah bangsa, menjadi hamba di Mesir, dan mereka kemudiannya menetap di negeri Kanaan. Semua ini mengingatkan kita tentang kata-kata penulis Bible, iaitu Petrus yang dengan rendah hati menulis, “Nubuat tidak pernah dihasilkan menurut kehendak manusia, tetapi manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.”​—2 Petrus 1:21.

Berabad-abad selepas orang Israel tinggal di Kanaan, bangsa tersebut mengalami penderitaan. Penderitaan mereka ini juga telah dinubuatkan dalam Bible seperti yang akan dibincangkan dalam terbitan yang seterusnya.

[Nota kaki]

a “SM” bermaksud “Sebelum Masihi.”

b Mula-mula Abraham dipanggil sebagai Abram.

c Lihat 1 Tawarikh 1:27-34; 2:1-15; 3:1-24. Semasa pemerintahan Rehabeam, iaitu anak Raja Salomo, bangsa Israel terbahagi kepada kerajaan di utara dan di selatan. Sejak itu, dua raja memerintah di Israel pada masa yang sama.​—1 Raja-Raja 12:1-24.

[Kotak]

ABRAHAM—SEORANG YANG BENAR-BENAR WUJUD

● Batu-batu bersurat dari awal tahun 2000 SM menyenaraikan nama kota-kota yang sama dengan nama-nama saudara-mara Abraham. Kota-kota ini termasuk Peleg, Serug, Nahor, Terah, dan Haran.​—Kejadian 11:17-32.

● Di Kejadian 11:31, kita membaca bahawa Abraham dan keluarganya telah meninggalkan “Ur, kota orang Kasdim.” Reruntuhan kota ini ditemui di tenggara Iraq. Bible juga menyatakan bahawa bapa Abraham iaitu Terah, meninggal di kota Haran, yang barangkali terletak di Turkiye hari ini, manakala isteri Abraham, iaitu Sara, meninggal di Hebron, salah sebuah kota tertua di Timur Tengah yang masih ada penduduk hari ini.​—Kejadian 11:32; 23:2.