TIRULAH IMAN MEREKA | TIMOTIUS
“Anak Kesayanganku yang Mengikut Tuan Yesus dengan Setia”
TIMOTIUS mula berjalan meninggalkan rumahnya dan matanya tertumpu ke hadapan. Dia dan rakannya berjalan di kawasan yang dikenal baik oleh Timotius. Di belakang mereka ialah kota Listra yang terletak di atas bukit di sebuah lembah. Timotius memikirkan ibu dan neneknya yang melihatnya berangkat. Walaupun mereka sedih, mereka tersenyum dengan bangga. Patutkah dia berpaling dan melambai buat kali terakhir?
Sekali-sekala, Paulus memandang Timotius dan tersenyum untuk menggalakkannya. Dia tahu bahawa Timotius perlu mengatasi perasaan malu. Tetapi dia gembira melihat semangat remaja ini. Timotius masih muda, kemungkinan dia berumur belasan tahun atau awal 20-an. Dia menghormati Paulus dengan mendalam. Dia akan meninggalkan rumahnya lalu mengikut lelaki yang bersemangat dan setia ini ke tempat yang jauh. Mereka akan berjalan kaki, menaiki kapal, dan menghadapi pelbagai bahaya. Timotius tidak pasti sama ada dia akan kembali ke rumahnya lagi.
Apakah yang mendorong Timotius menempuh haluan ini? Adakah pengorbanannya berbaloi? Bagaimanakah iman Timotius mempengaruhi kita?
“SEJAK BAYI LAGI”
Mari kita kembali dua atau tiga tahun sebelumnya. Kemungkinan Listra ialah kampung Timotius. Listra ialah kota kecil yang terletak di lembah. Penduduk di sana mungkin memahami bahasa Yunani, namun mereka bertutur dalam bahasa tempatan, iaitu Likaonia. Pada suatu hari, sesuatu yang menggemparkan berlaku. Dua orang mubaligh, iaitu Paulus dan Barnabas, tiba di sana. Mereka datang dari kota Ikonium yang berdekatan. Sewaktu menginjil di tempat umum, Paulus nampak seorang lelaki yang lumpuh tetapi mempunyai iman yang kuat. Maka Paulus menyembuhkan lelaki itu secara mukjizat.—Kisah 14:5-10.
Ramai orang Listra percaya bahawa dewa-dewa menjadi seperti manusia dan turun ke bumi pada masa lampau. Maka mereka menyangka bahawa Paulus ialah dewa Hermes, dan Barnabas ialah dewa Zeus! Dua orang lelaki Kristian ini hampir tidak dapat mencegah orang daripada mempersembahkan korban kepada mereka.—Kisah 14:11-18.
Namun beberapa orang di Listra tahu bahawa dua orang itu bukanlah dewa, melainkan orang biasa yang membawa berita baik. Contohnya, Eunike, seorang wanita Yahudi yang berkahwin dengan seorang lelaki Yunani, * serta ibu Eunike, iaitu Lois, telah mendengar mesej Paulus dan Barnabas dengan sukacita. Akhirnya mereka menerima berita yang dinanti-nantikan oleh orang Yahudi, iaitu bahawa Mesias sudah tiba dan banyak nubuat mengenainya telah menjadi kenyataan!
Bayangkan perasaan Timotius selepas lawatan Paulus. Timotius dilatih “sejak bayi lagi” untuk mengasihi Kitab Ibrani. (2 Timotius 3:15) Seperti ibunya dan neneknya, Timotius sedar bahawa Paulus dan Barnabas menerangkan kebenaran mengenai Mesias. Fikirkan juga tentang lelaki lumpuh yang disembuhkan oleh Paulus. Sejak kecil lagi, Timotius mungkin selalu melihat lelaki itu di kota Listra. Sekarang, lelaki itu dapat berjalan! Hal-hal ini mendorong Timotius, serta Eunike dan Lois, untuk menjadi orang Kristian. Lois dan Eunike telah menetapkan teladan baik bagi datuk, nenek, serta ibu bapa hari ini. Bolehkah anda menjadi teladan baik bagi orang muda?
“MENGALAMI BANYAK KESENGSARAAN”
Mereka yang menjadi orang Kristian di Listra tentu gembira mengetahui harapan cerah yang menanti mereka. Namun, mereka sedar bahawa mereka perlu membuat pengorbanan. Orang Yahudi yang fanatik dari Ikonium dan Antiokhia datang lalu menghasut penduduk Listra supaya menentang Paulus dan Barnabas. Dalam masa yang singkat, sekumpulan perusuh datang untuk merejam Paulus. Kemudian, mereka mengheret Paulus ke luar kota. Mereka menyangka bahawa dia sudah mati.—Kisah 14:19.
Namun, orang Kristian di Listra datang dan berkumpul di sekeliling Paulus. Betapa leganya mereka apabila melihat Paulus berdiri semula. Kemudian Paulus dengan berani kembali ke Listra! Pada keesokan hari, dia dan Barnabas pergi ke kota Derbe untuk menginjil. Setelah membantu orang menjadi pengikut Kristus, mereka dengan berani mengharungi bahaya dan kembali ke Listra. Mengapa? Mereka “menguatkan hati murid-murid di situ dan menggalakkan mereka supaya terus beriman.” Bayangkan Paulus dan Barnabas mengajar tentang harapan cerah bagi orang Kristian yang rela membuat pengorbanan. Timotius yang muda mendengar semua ini dengan teliti. Paulus dan Barnabas berkata, “Kita mesti mengalami banyak kesengsaraan untuk masuk ke dalam Kerajaan Tuhan.”—Kisah 14:20-22.
Timotius melihat bahawa Paulus hidup selaras dengan kata-kata tersebut. Paulus sanggup menghadapi banyak kesengsaraan demi mengkhabarkan berita baik. Maka Timotius tahu bahawa jika dia mengikut contoh Paulus, dia akan ditentang oleh penduduk Listra dan mungkin bapanya sendiri. Namun, Timotius tidak membenarkan tentangan itu mempengaruhi keputusannya untuk menyembah Tuhan. Kini, ramai kaum muda mengikut teladan Timotius. Mereka dengan bijak mencari sahabat yang memiliki iman yang teguh dan yang akan menggalakkan mereka. Biarpun mereka menghadapi tentangan, mereka bertekad untuk menyembah Tuhan yang benar!
“DIPUJI OLEH SAUDARA-SAUDARA”
Seperti yang disebutkan tadi, Paulus sekali lagi mengunjungi Listra kemungkinan dua atau tiga tahun 2 Timotius 1:5) Bagaimana pula dengan Timotius?
kemudian. Bayangkan betapa terujanya keluarga Timotius apabila Paulus tiba bersama Silas. Paulus juga tentu bersukacita. Dia dapat melihat hasil baik daripada benih kebenaran yang ditanamnya. Paulus memuji Lois dan Eunike kerana mereka merupakan wanita yang setia dan memiliki ‘iman yang tulus.’ (Paulus mengetahui bahawa pemuda itu telah membuat kemajuan sejak kunjungannya sebelum ini. Timotius “dipuji oleh saudara-saudara,” bukan sahaja di Listra, malahan di Ikonium yang terletak kira-kira 32 km dari Listra. (Kisah 16:2) Bagaimanakah dia membina reputasi baik itu?
Ibu dan nenek Timotius telah mengajarnya tulisan-tulisan suci “sejak bayi lagi.” Tulisan-tulisan itu mengandungi nasihat yang bijak bagi kaum muda. (2 Timotius 3:15) Salah satu nasihat tersebut ialah: “Ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda.” (Pengkhutbah 12:1) Kata-kata tersebut lebih menyentuh hati Timotius selepas dia menjadi orang Kristian. Dia sedar bahawa cara terbaik untuk mengingat Penciptanya adalah dengan mengkhabarkan berita baik tentang Anak Tuhan, iaitu Kristus. Secara bertahap, Timotius belajar untuk mengatasi perasaan malu yang menghalangnya daripada mengkhabarkan berita baik dengan berani.
Para saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang nampak kemajuan Timotius. Sudah tentu mereka sangat gembira melihat bagaimana remaja ini membina dan menggalakkan orang di sekelilingnya. Yang paling penting, Yehuwa melihat kemajuan Timotius. Tuhan telah mengucapkan beberapa nubuat mengenainya, mungkin berkenaan khidmat yang akan dilakukannya bagi banyak sidang. Apabila Paulus datang, dia sedar bahawa Timotius dapat membantu dalam perjalanannya. Para saudara di Listra juga setuju dengan hal itu. Maka, mereka meletakkan tangan ke atas Timotius sebagai tanda bahawa dia dilantik untuk tugas yang istimewa bagi Yehuwa.—1 Timotius 1:18; 4:14.
Timotius tentu gembira, namun dia tetap rendah hati sewaktu menerima tanggungjawab yang besar ini. Dia bersedia untuk berangkat. * Namun, bapa Timotius bukan seorang pengikut Kristus. Maka, apakah reaksinya berkenaan tugas yang diterima anaknya? Kemungkinan dia mempunyai rancangan lain bagi masa depan anaknya. Bagaimana pula dengan ibu dan nenek Timotius? Sudah tentu mereka bangga namun khuatir tentang keselamatan Timotius.
Seperti yang disebutkan di awal rencana, Timotius memulakan perjalanan bersama rasul Paulus. Setiap langkah yang diambil, setiap batu dan rumput yang dipijak, membuat dia semakin jauh dari rumahnya. Dia tidak pasti apa yang bakal ditempuhnya. Selepas berjalan sehari suntuk, tiga orang lelaki itu tiba di Ikonium. Timotius memperhatikan bagaimana Paulus dan Silas menyampaikan arahan terkini daripada badan pimpinan di Yerusalem. Mereka juga membina iman saudara saudari di sana. (Kisah 16:4, 5) Namun, itu barulah permulaan.
Selepas melawat sidang di Galatia, mereka meninggalkan jalan raya Roma dan berjalan ratusan kilometer di dataran tinggi Frigia, menuju ke arah utara kemudian ke barat. Dengan mengikut bimbingan daya aktif Tuhan, mereka meneruskan perjalanan ke Troas, lalu belayar ke Makedonia. (Kisah 16:6-12) Paulus semakin percaya akan Timotius. Maka dia meninggalkan Timotius bersama Silas di Berea. (Kisah 17:14) Paulus juga mengutus Timotius seorang diri ke Tesalonika. Di sana, Timotius dapat menerapkan apa yang sudah dipelajarinya dan menguatkan rakan seiman.—1 Tesalonika 3:1-3.
Paulus menulis tentang Timotius: “Dia benar-benar mengambil berat tentang kamu semua, dan aku tidak mempunyai sesiapa lagi yang bersikap sepertinya.” (Filipi 2:20) Timotius mendapat reputasi baik melalui kerja keras, kerendahan hati, dan kesetiaannya semasa menghadapi cabaran. Dia memang teladan yang baik bagi kaum muda hari ini! Ingatlah bahawa reputasi anda banyak bergantung kepada diri anda sendiri. Sewaktu muda, anda mempunyai peluang untuk mengukir nama yang baik. Oleh itu, utamakanlah Yehuwa dalam kehidupan anda serta tunjukkanlah kebaikan hati dan hormat kepada semua orang.
‘BERUSAHALAH UNTUK DATANG KEPADAKU’
Selama kira-kira 14 tahun, Timotius meluangkan banyak masa bekerja bersama sahabatnya, rasul Paulus. Walaupun menghadapi banyak bahaya, mereka juga menikmati sukacita bersama. (2 Korintus 11:24-27) Timotius juga pernah dipenjarakan kerana imannya. (Ibrani 13:23) Seperti Paulus, dia juga sangat mengasihi dan mengambil berat akan saudara saudari. Itulah sebabnya Paulus menulis kepada Timotius, “Aku teringat akan tangisanmu.” (2 Timotius 1:4) Melalui teladan Paulus, Timotius belajar untuk ‘menangis bersama orang yang menangis.’ Dia berusaha untuk memahami perasaan mereka agar dapat menggalakkan dan melegakan hati mereka. (Roma 12:15) Semoga kita juga berbuat demikian!
Tidak hairanlah, pada kemudian hari Timotius menjadi penyelia Kristian yang sangat baik. Paulus mengamanahkan Timotius dengan tanggungjawab untuk melawat sidang-sidang bagi menggalakkan dan menguatkan mereka. Selain itu, Timotius juga diberi tanggungjawab untuk melantik saudara-saudara yang layak sebagai penatua atau pembantu sidang.—1 Timotius 5:22.
Paulus sangat menyayangi Timotius. Seperti seorang bapa, dia memberikan nasihat yang berguna kepada remaja ini. Paulus menggesa Timotius agar terus menggunakan kurniaan Tuhan dengan baik dan membuat kemajuan. (1 Timotius 4:15, 16) Ada kalanya, Timotius mungkin berasa kurang yakin atau berasa dirinya terlalu muda. Namun, Paulus menggalakkan Timotius agar tidak membiarkan hal itu menghalangnya daripada berpegang teguh kepada kebenaran. (1 Timotius 1:3; 4:6, 7, 11, 12) Selain itu, Paulus menasihati Timotius tentang masalah kesihatan yang sering dihadapinya, kemungkinan tentang masalah perutnya.—1 Timotius 5:23.
Apabila Paulus tahu bahawa dia akan dihukum mati tidak lama lagi, dia pun mengirim surat yang terakhir kepada Timotius. Suratnya mengandungi kata-kata yang menyentuh hati: “Berusahalah dengan sedaya upaya untuk datang kepadaku secepat mungkin.” (2 Timotius 4:9) Dia juga memanggil Timotius sebagai “anak kesayanganku yang mengikut Tuan Yesus dengan setia.” (1 Korintus 4:17) Jelaslah Paulus amat menyayangi Timotius dan sudah pasti Paulus ingin sahabatnya berada di sisinya pada saat-saat akhir kehidupannya! Tanyalah diri, “Sewaktu orang menghadapi kesusahan, adakah mereka akan mencari saya untuk mendapatkan kelegaan?”
Adakah Timotius sempat berjumpa dengan Paulus untuk kali terakhir? Kita tidak pasti. Namun, kita pasti bahawa Timotius cuba sedaya upaya untuk menggalakkan dan melegakan hati Paulus serta orang lain. Timotius hidup selaras dengan namanya yang bermaksud, “Dia yang Menghormati Tuhan.” Dia sangat beriman dan telah menetapkan teladan yang menonjol kepada semua, tidak kira yang tua mahupun yang muda.
^ per. 9 Lihat “Tahukah Anda?” dalam terbitan ini.
^ per. 20 Timotius rela disunat mengikut permintaan Paulus. Hal ini tidak wajib bagi orang Kristian. Namun, orang Yahudi tahu bahawa bapa Timotius berbangsa Yunani, dan Paulus tidak mahu mereka mempunyai apa-apa alasan untuk menolak kehadiran Timotius.—Kisah 16:3.