Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Dunia Ini Bebas daripada Keganasan?

Dapatkah Dunia Ini Bebas daripada Keganasan?

Pernahkah anda atau ahli keluarga menjadi mangsa keganasan? Adakah anda berasa risau bahawa anda akan menjadi mangsa yang seterusnya? Keganasan dikatakan seperti “masalah kesihatan umum yang meningkat di serata dunia.” Perhatikan beberapa contoh.

KEGANASAN RUMAH TANGGA DAN KEGANASAN SEKSUAL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, “Satu daripada tiga wanita merupakan mangsa keganasan fizikal atau seksual oleh teman hidup mereka.” Sedihnya, “dianggarkan bahawa di serata dunia satu daripada lima wanita akan menjadi mangsa rogol atau hampir dirogol.”

JENAYAH JALANAN: Menurut laporan, terdapat lebih daripada 30,000 kumpulan ganas di Amerika Syarikat. Di Amerika Latin, hampir 1 daripada 3 orang menjadi mangsa jenayah ganas.

PEMBUNUHAN: Menurut anggaran, hampir setengah juta orang dibunuh pada tahun 2012, jumlah ini lebih banyak daripada mangsa peperangan. Bahagian selatan di Afrika dan Amerika Tengah mempunyai purata pembunuhan yang tertinggi, iaitu empat kali ganda lebih daripada purata dunia. Lebih daripada 100,000 orang dibunuh di Amerika Latin dan sekitar 50,000 di Brazil dalam satu tahun. Adakah masalah keganasan dapat diselesaikan?

DAPATKAH KEGANASAN DIHENTIKAN?

Mengapakah keganasan berleluasa? Terdapat banyak sebab: ketidakadilan sosial dan ekonomi, kebencian, masalah alkohol, penyalahgunaan dadah, kanak-kanak dipengaruhi oleh orang dewasa yang ganas, dan penjenayah yang nampaknya tidak dihukum.

Memang, langkah-langkah telah diambil untuk menghentikan keganasan di sesetengah tempat. Di São Paulo, Brazil yang padat dengan penduduk, jumlah kes pembunuhan menurun sebanyak 80 peratus dalam dekad lalu. Namun, pelbagai jenayah ganas berleluasa di sana, dan 10 daripada setiap 100,000 penduduk masih menjadi mangsa kes pembunuhan. Jadi, apakah yang harus dilakukan untuk menghentikan keganasan buat selama-lamanya?

Untuk menyelesaikan masalah keganasan, sikap dan tingkah laku individu perlu berubah. Seseorang yang ganas harus mengubah sifat sombong, tamak, dan mementingkan diri kepada sifat baik seperti mengasihi, menghormati, dan mementingkan keperluan orang lain.

Apakah yang boleh mendorong seseorang untuk berbuat demikian? Fikirkan ajaran Bible:

  • “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya.”​—1 Yohanes 5:3.

  • ‘Menghormati Yehuwa bererti membenci kejahatan.’​—Amsal 8:13.

Jika seseorang benar-benar mengasihi Tuhan dan tidak ingin mengecewakan-Nya, dia boleh mengubah haluan hidupnya yang ganas. Perubahan ini tidak berlaku secara luaran sahaja, tetapi merangkumi keperibadian dalam diri seseorang. Namun, bolehkah hal ini benar-benar berlaku?

Perhatikan Alex, * yang telah dipenjarakan selama 19 tahun di Brazil kerana melakukan jenayah ganas. Dia telah menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2000 setelah mempelajari Bible dengan para Saksi. Adakah sikap ganasnya benar-benar berubah? Ya, Alex sangat menyesal atas segala hal jahat yang dilakukannya. Dia berkata, “Saya mengasihi Tuhan kerana saya sedar Tuhan benar-benar mengampuni saya. Perasaan syukur dan kasih kepada Yehuwa telah membantu saya untuk mengubah haluan hidup saya.”

César yang juga dari Brazil terlibat dalam kes pencurian dan rompakan bersenjata selama 15 tahun. Mengapakah dia dapat berubah? Semasa di penjara, dia belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. César menjelaskan, “Saya telah menemui tujuan dalam hidup buat pertama kali. Saya belajar untuk mengasihi Tuhan. Saya juga belajar takut kepada-Nya, iaitu takut untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan Yehuwa berasa sedih. Saya tidak ingin melupakan segala kebaikan hati Tuhan. Kasih yang disertai perasaan takut itulah yang mendorong saya untuk berubah.”

Belajar lebih banyak tentang cara untuk hidup di dunia tanpa keganasan

Apakah yang kita pelajari daripada contoh-contoh ini? Bible mempunyai kuasa untuk mengubah hidup orang dengan menukar cara pemikiran mereka. (Efesus 4:23) Alex yang disebut tadi berkata, “Apa yang saya pelajari daripada Bible adalah seperti air yang membersihkan fikiran saya daripada perkara yang jahat secara perlahan-lahan. Dahulu, saya fikir hal ini mustahil berlaku.” Apabila minda kita diisi dengan ajaran Bible yang murni, kita boleh menyingkirkan fikiran jahat. Ya, Firman Tuhan dapat menyucikan kita. (Efesus 5:26) Hasilnya, orang yang kejam dan mementingkan diri dapat menjadi baik hati dan suka berdamai. (Roma 12:18) Mereka dapat menikmati keamanan kerana menerapkan prinsip Bible.​—Yesaya 48:18.

Lebih daripada lapan juta Saksi-Saksi Yehuwa di 240 negara dan kawasan telah menjumpai rahsia untuk membasmi keganasan. Orang dari segala latar belakang, tahap masyarakat, dan bangsa telah belajar untuk mengasihi Tuhan dan takut kepada-Nya serta mengasihi satu sama lain. Mereka membentuk sebuah persaudaraan sedunia yang damai. (1 Petrus 4:8) Merekalah bukti bahawa dunia yang bebas daripada keganasan bukanlah sekadar impian.

DUNIA TANPA KEGANASAN MENDEKAT!

Bible menjanjikan bahawa Tuhan akan menghentikan keganasan di bumi ini. Dunia ini akan menghadapi “hari penghakiman dan pembinasaan orang yang tidak menghormati Tuhan.” (2 Petrus 3:5-7) Maka orang yang ganas tidak akan mencederakan orang lain. Namun, mengapakah kita boleh pasti bahawa Tuhan akan menghentikan keganasan?

Tuhan “sangat membenci orang yang mencintai keganasan.” (Mazmur 11:5) Pencipta kita suka kedamaian dan keadilan. (Mazmur 33:5; 37:28) Itulah sebabnya Dia tidak akan mengizinkan keganasan untuk berterusan.

Ya, dunia baru yang penuh kedamaian akan tiba tidak lama lagi. (Mazmur 37:11; 72:14) Inginkah anda belajar lebih banyak tentang cara untuk hidup di dunia baru yang tiada keganasan?

^ per. 14 Nama-nama telah diubah.