Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menyelamatkan Persahabatan yang Terancam

Menyelamatkan Persahabatan yang Terancam

Gianni dan Maurizio sudah bersahabat selama 50 tahun. Namun, persahabatan mereka pernah diancam. “Ada suatu ketika, saya melakukan kesilapan besar yang membuat hubungan kami menjadi renggang,” kata Maurizio. Gianni menambah, “Maurizio ialah guru Bible saya, dan dia seperti pembimbing rohani saya. Jadi, saya tidak percaya dia akan bertindak sebegitu. Hati saya hancur luluh kerana saya tahu kami tidak dapat bersahabat lagi. Saya berasa seperti ditinggalkan.”

SAHABAT sejati amat berharga, dan persahabatan yang berkekalan tidak wujud secara kebetulan. Oleh itu, apakah yang dapat kita lakukan untuk menyelamatkan persahabatan yang terancam? Bible mengandungi kisah tentang beberapa orang sahabat sejati yang telah berjaya berbuat demikian. Mari kita belajar daripada mereka.

SEMASA SAHABAT KITA TERSILAP LANGKAH

Raja Daud mempunyai ramai sahabat yang baik, seperti Yonatan. (1 Sam. 18:1) Nabi Natan juga salah seorang kawan karib Daud. Kita tidak tahu bila mereka mula menjadi sahabat, tetapi Bible menyatakan bahawa Raja Daud pernah memberitahu Natan hasratnya yang tersimpan di sudut hati: Dia ingin membina sebuah rumah untuk Yehuwa. Daud menghargai pandangan Natan. Jelaslah bahawa Daud memandang Natan sebagai sahabatnya dan sebagai seorang nabi yang dipimpin daya aktif Yehuwa.2 Sam. 7:2, 3.

Namun, persahabatan itu kemudiannya diancam. Raja Daud telah berzina dengan Batsyeba dan merancang agar suaminya Uria dibunuh. (2 Sam. 11:2-21) Selama bertahun-tahun, Daud tetap setia kepada Yehuwa dan selalu menegakkan keadilan. Mengapakah raja yang setia itu sanggup melakukan dosa yang begitu berat? Tidakkah dia sedar betapa jahatnya perbuatan itu? Adakah dia sangka Tuhan tidak nampak perbuatannya?

Apakah yang akan dilakukan Natan? Adakah dia akan menunggu orang lain untuk menegur Daud? Dia boleh berfikir: “Orang lain pun tahu bagaimana Daud menyebabkan Uria dibunuh. Buat apa saya campur tangan dan merosakkan persahabatan kami? Daud telah membunuh Uria yang tidak bersalah. Jika saya bersuara, adakah saya sedang mencari nahas?”

Natan tidak berfikir demikian. Sebagai wakil daripada Tuhan, dia tahu bahawa jika dia berdiam diri, hubungannya dengan Daud akan terjejas dan hati nuraninya akan terganggu. Sahabatnya Daud telah tersilap langkah dan melukai hati Yehuwa, maka dia memerlukan bantuan seorang sahabat yang sejati untuk kembali ke pangkal jalan. Natan memang sahabat sejati Daud. Setelah menceritakan sebuah perumpamaan yang menyentuh hati Daud, Natan menyampaikan perkhabaran Tuhan dengan cara yang mendorong Daud untuk menyedari dosanya dan bertaubat.2 Sam. 12:1-14.

Jika sahabat anda melakukan kesilapan yang besar atau dosa yang serius, anda mungkin berasa bahawa jika anda menyatakan kesalahannya, anda sedang merosakkan persahabatan itu. Anda juga mungkin teragak-agak untuk memberitahu para penatua tentang kesalahannya kerana berasa bahawa anda sedang mengkhianatinya. Apakah yang akan anda lakukan?

Gianni yang disebut tadi berkata, “Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Maurizio tidak berterus terang lagi dengan saya seperti dahulu. Jadi saya memutuskan untuk bercakap dengannya tentang apa yang terjadi. Namun, hal itu sangat susah. Saya berfikir, “Apa lagi yang dapat saya katakan kepadanya? Dia mungkin tidak suka dengar!” Namun, setelah mengingat semula apa yang telah kami pelajari bersama-sama, saya mendapat kekuatan untuk bercakap dengannya. Dahulu, semasa saya memerlukan bantuan, Maurizio juga datang berjumpa dengan saya. Saya takut kehilangan seorang kawan, tetapi saya mengambil berat tentangnya dan mahu menolongnya.”

Maurizio berkata, “Apa yang dikatakan Gianni ikhlas dan benar. Saya tahu bahawa masalah saya berpunca daripada keputusan saya sendiri, bukannya Gianni atau Yehuwa. Maka saya menerima disiplin yang diberikan dan beransur-ansur pulih secara rohani.”

APABILA SEORANG SAHABAT MENGHADAPI KESUSAHAN

Daud juga mempunyai sahabat-sahabat lain yang setia, yang tidak meninggalkannya semasa dia menghadapi kesusahan. Husai ialah salah seorang ‘sahabat karib Daud.’ (2 Sam. 16:16; 1 Taw. 27:33) Dia mungkin seorang pegawai istana yang rapat dengan Raja Daud dan yang disuruh menjalankan tugas sulit dari masa ke masa.

Semasa Absalom merampas takhta ayahandanya Raja Daud, banyak orang Israel menyokong Absalom. Ketika itu, Daud sangat sedih kerana dikhianati anak kandungnya dan orang yang dipercayainya. Namun, Husai setia kepada Daud dan pergi mencarinya semasa Daud terpaksa melarikan diri. Husai rela mempertaruhkan nyawanya untuk menggagalkan muslihat Absalom. Dia sanggup berbuat demikian, bukan semata-mata kerana itulah tanggungjawabnya sebagai pegawai Daud, tetapi kerana dia ialah sahabat yang setia.2 Sam. 15:13-17, 32-37; 16:15–17:16.

Hari ini, saudara saudari kita menikmati perpaduan yang erat, bukan kerana tanggungjawab atau peranan mereka dalam sidang, tetapi kerana mereka benar-benar mengambil berat terhadap satu sama lain. Tidakkah kita menghargai sahabat sedemikian?

Seorang saudara yang bernama Federico sangat bersyukur kerana Antonio telah menjadi sahabatnya yang sejati. Dengan bantuan Antonio, dia berjaya mengharungi detik yang susah dalam kehidupannya. Federico berkata, “Apabila Antonio berpindah ke sidang kami, kami menjadi sahabat baik. Kami berdua berkhidmat bersama sebagai pembantu sidang. Tidak lama kemudian, Antonio dilantik sebagai penatua. Dia bukan sahaja kawan saya tetapi teladan yang baik bagi saya juga.” Namun Federico kemudiannya tersilap langkah. Meskipun dia segera mendapatkan bantuan rohani, dia tidak lagi layak berkhidmat sebagai perintis dan pembantu sidang. Apakah reaksi Antonio?

Semasa Federico menghadapi kesusahan, sahabatnya Antonio mendengarkan luahan hatinya dan menggalakkannya

Mengenang peristiwa itu, Federico berkata, “Saya dapat lihat bahawa Antonio merasai keperitan saya. Dia mencuba membantu saya secara emosi dan rohani, dan dia tidak meninggalkan saya. Dia menggalakkan saya untuk mendapatkan kekuatan rohani dan tidak berputus asa.” Antonio menjelaskan, “Saya meluangkan banyak masa dengan Federico. Saya mahu meyakinkannya bahawa dia boleh bercakap tentang apa-apa sahaja, bahkan tentang kesedihannya.” Secara beransur-ansur, Federico pulih secara rohani dan kemudiannya dilantik semula sebagai perintis dan pembantu sidang. “Walaupun kami berada di sidang yang berlainan sekarang, hubungan kami telah menjadi lebih rapat,” kata Antonio.

ADAKAH ANDA AKAN BERASA DIKHIANATI?

Jika anda ditinggalkan oleh seorang sahabat karib pada saat anda paling memerlukan bantuannya, adakah anda akan begitu terluka sehingga tidak dapat memaafkannya? Dapatkah persahabatan anda dibaiki?

Fikirkan pengalaman Yesus. Dia telah meluangkan banyak masa bersama rasul-rasulnya dan hubungan mereka sangat rapat. Yesus menganggap mereka sebagai sahabatnya. (Yoh. 15:15) Namun, semasa Yesus ditangkap, mereka semua melarikan diri. Petrus pernah berkata bahawa dia tidak mungkin meninggalkan Yesus, tetapi pada malam itu juga, dia menyangkal Yesus!Mat. 26:31-33, 56, 69-75.

Yesus sudah tahu bahawa dia akan menghadapi ujian itu seorang diri, tetapi dia memang ada alasan untuk berasa kecewa terhadap para rasulnya. Namun, perbualannya dengan mereka beberapa hari selepas dia dibangkitkan langsung tidak menunjukkan perasaan yang negatif. Yesus tidak mengorek kesalahan mereka, termasuk perbuatan mereka pada malam dia ditangkap.

Sebaliknya, Yesus meyakinkan Petrus dan rasul-rasul yang lain bahawa dia masih mempercayai mereka. Dia bahkan mengajar mereka cara untuk melaksanakan kerja pendidikan yang terpenting dalam sejarah. Yesus masih menganggap mereka sebagai sahabat. Kasihnya telah menyentuh hati mereka dan mendorong mereka untuk menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Tuan mereka dengan sepenuh jiwa dan raga.Kis. 1:8; Kol. 1:23.

Seorang saudari yang bernama Elvira pernah melukai perasaan sahabatnya Giuliana. Elvira berkata, “Semasa Giuliana memberitahu saya perasaannya, saya berasa kesal sekali. Namun, saya sangat kagum dengan Giuliana kerana dia tidak berfokus kepada perasaannya. Sebenarnya dia lebih risau akan kesejahteraan saya dan tidak mahu saya disakiti akibat kelakuan saya sendiri. Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi saya sahabat sebegini.”

Jadi, semasa persahabatan diancam, seorang sahabat yang sejati akan berterus terang tanpa menyinggung perasaan kita, seperti yang dilakukan Natan. Seperti Husai, dia juga akan setia kepada kita bahkan pada masa kesusahan. Dia juga akan sudi mengampuni seperti Yesus. Adakah anda sahabat sebegini?