Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Johannes Rauthe menyertai aktiviti penyebaran pada sekitar tahun 1920-an

KHAZANAH ROHANI KITA

“Saya Menuai Hasil yang Memuliakan Yehuwa”

“Saya Menuai Hasil yang Memuliakan Yehuwa”

“SEMUA perang sebelum ini . . . tidak setanding dengan pergolakan yang sedang berlaku sekarang di Eropah,” kata The Watch Tower terbitan 1 September 1915. Perang Dunia Pertama pada masa itu melibatkan sekitar 30 buah negara. Oleh itu, The Watch Tower melaporkan, “Kerja [Kerajaan] tergendala, terutamanya di Jerman dan Perancis.”

Semasa konflik ini berlaku di serata dunia, Pelajar Bible tidak memahami prinsip keneutralan dengan sepenuhnya. Namun, mereka bertekad untuk menyebarkan berita baik. Untuk melakukan hal ini, Wilhelm Hildebrandt yang berbangsa Jerman mendapatkan naskhah The Bible Students Monthly dalam bahasa Perancis. Walaupun dia diutus sebagai askar ke Perancis dan bukannya seorang peneraju (penginjil sepenuh masa), dia menyebarkan berita kedamaian kepada orang Perancis sambil berpakaian askar.

Surat yang diterbitkan dalam The Watch Tower menunjukkan bahawa beberapa Pelajar Bible Jerman terdorong untuk mengongsi berita baik tentang Kerajaan semasa menjadi tentera. Saudara Lemke yang berkhidmat sebagai tentera laut mempunyai lima orang rakan sekerja yang berminat terhadap kebenaran. Dia berkata, “Walaupun di atas kapal, saya menuai hasil yang memuliakan Yehuwa.”

Georg Kayser diutus sebagai seorang askar, tetapi pulang sebagai seorang hamba Tuhan. Apakah yang berlaku? Dia menerima bahan bacaan daripada seorang Pelajar Bible, memeluk kebenaran dengan hati terbuka, lalu enggan berpegang senjata lagi. Kemudian, dia melakukan kerja yang tidak melibatkan penggunaan senjata. Selepas peperangan, dia berkhidmat sebagai seorang perintis yang bersemangat untuk masa yang lama.

Walaupun Pelajar Bible belum memahami isu keneutralan dengan sepenuhnya, sikap dan tingkah laku mereka sangat berbeza dengan pandangan dan tindakan orang lain yang menyokong peperangan. Ahli politik dan pemimpin gereja menyokong peperangan, Pelajar Bible pula menyokong “Raja Damai.” (Yes. 9:5) Walaupun sesetengah Pelajar Bible tidak berpendirian tegas terhadap keneutralan, mereka berpegang teguh pada hukum Bible. Konrad Mörtter berkata, “Saya faham dengan jelas daripada Firman Tuhan bahawa orang Kristian tidak patut membunuh.”​—Kel. 20:13. *

Hans Hölterhoff menggunakan gerobak untuk mengiklankan majalah The Golden Age

Di Jerman, tiada pengecualian bagi mereka yang enggan melibatkan diri dalam khidmat tentera. Lebih daripada 20 Pelajar Bible enggan melibatkan diri dalam tentera. Ada yang dikategorikan sebagai menghidapi sakit mental, seperti Gustav Kujath yang ditempatkan di institusi mental dan diberikan ubat. Hans Hölterhoff yang enggan berperang dipenjarakan. Di sana, dia menolak segala kerja yang melibatkan peperangan. Para pengawal mengikat tangan dan kakinya dengan baju pasung sehingga menjadi kebas. Namun dia tetap berpendirian teguh. Para pengawal bahkan memperdayanya bahawa dia akan dihukum mati untuk mematahkan semangatnya. Tetapi iman Hans tetap kuat sepanjang tempoh peperangan.

Beberapa saudara lain telah dipilih sebagai askar. Namun mereka meminta untuk melakukan kerja yang tidak menggunakan senjata. * Johannes Rauthe memiliki pendirian sedemikian dan ditugaskan bekerja di landasan kereta api. Konrad Mörtter ditugaskan di bahagian perubatan dan Reinhold Weber bertugas sebagai jururawat. August Krafzig sangat bersyukur kerana tugasnya untuk menjaga bagasi tidak melibatkan pertempuran. Kesemua Pelajar Bible dan mereka yang mempunyai pendirian sedemikian bertekad berkhidmat kepada Yehuwa berdasarkan pemahaman mereka tentang kasih dan kesetiaan kepada Yehuwa.

Oleh sebab pendirian mereka, pelajar Bible dikawal rapi oleh pihak berkuasa. Selama beberapa tahun, Pelajar Bible di Jerman menghadapi beribu-ribu kes mahkamah disebabkan kerja penyebaran. Untuk membantu mereka, pejabat cawangan Jerman di Magdeburg telah membentuk bahagian perundangan.

Saksi-Saksi Yehuwa secara beransur-ansur mengemaskinikan pemahaman mereka tentang isu keneutralan Kristian. Apabila Perang Dunia Kedua tercetus, saudara saudari mengekalkan keneutralan dengan tidak menyertai tentera. Oleh itu, mereka dianggap sebagai musuh oleh negara Jerman dan dianiaya dengan teruk. Tetapi kisah itu akan diceritakan dalam bahagian “Khazanah Rohani Kita” pada masa depan.​—Dari khazanah rohani kita di Eropah Tengah.

^ per. 7 Lihat kisah Pelajar Bible dari Britain semasa Perang Dunia Pertama dalam rencana “Khazanah Rohani Kita​—Mereka Berteguh pada ‘Masa Kesusahan,’” majalah Menara Pengawal terbitan 15 Mei 2013.

^ per. 9 Pendirian sebegini dicadangkan dalam buku Millennial Dawn (1904) Jilid VI dan juga dalam majalah Zion’s Watch Tower terbitan Ogos 1906 edisi Jerman. Majalah The Watch Tower terbitan September 1915 mengemaskinikan pemahaman kita dan mencadangkan para Pelajar Bible untuk mengelakkan diri daripada menyertai tentera. Namun, rencana ini tidak terdapat dalam edisi Jerman.