Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Baik Hati kepada Orang yang Tidak Dikenali

Baik Hati kepada Orang yang Tidak Dikenali

“Janganlah lupa menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang tidak dikenali.”​IBR. 13:2, nota kaki.

LAGU: 124, 79

1, 2. (a) Apakah cabaran yang dihadapi oleh orang asing pada hari ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah peringatan yang diberikan oleh Bible? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

LEBIH daripada 30 tahun dahulu, Osei [1] yang belum menjadi Saksi pada masa itu, tiba di Eropah dari Ghana. Dia berkata, “Saya sedar bahawa kebanyakan orang tidak pedulikan saya. Saya berasa susah dengan perubahan cuaca. Apabila keluar dari lapangan terbang, itulah kali pertama saya merasai kesejukan. Saya mula menangis.” Oleh sebab dia bergelut dengan bahasa baharu, Osei tidak mempunyai pekerjaan selama setahun. Dia berasa sunyi dan rindu akan keluarga.

2 Fikirkan bagaimana anda ingin dilayan jika anda berada dalam situasi yang serupa. Tidakkah anda menghargai orang yang menyambut anda dengan mesra di Dewan Perjumpaan tanpa mengira bangsa atau warna kulit? Sebenarnya, Bible menggalakkan orang Kristian sejati, “Janganlah lupa menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang tidak dikenali.” (Ibr. 13:2, nota kaki) Marilah kita mengkaji soalan-soalan ini: Apakah pandangan Yehuwa terhadap orang yang tidak dikenali? Mengapakah kita mungkin perlu mengubah pandangan kita terhadap mereka? Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang datang dari negara lain untuk berasa selesa dalam sidang kita?

PANDANGAN YEHUWA TERHADAP ORANG YANG TIDAK DIKENALI

3, 4. Menurut Keluaran 23:9, bagaimanakah umat Tuhan harus memperlakukan orang asing, dan mengapa?

3 Apabila umat Tuhan keluar dari Mesir, orang bukan Israel juga mengikut mereka. Oleh itu, Tuhan memberikan undang-undang kepada umat-Nya supaya menunjukkan kebaikan hati kepada orang bukan Israel. (Kel. 12:38, 49; 22:21) Memandangkan orang asing sering menghadapi kesusahan, Yehuwa telah menjaga mereka. Contohnya, mereka diberikan hak untuk mengumpulkan hasil tuaian yang tertinggal.​—Im. 19:9, 10.

4 Yehuwa tidak pernah memberitahu orang Israel untuk menghormati orang asing. Sebaliknya, Dia mengingatkan umat-Nya tentang keadaan mereka di Mesir kerana mereka “tahu rasanya menjadi orang asing.” (Baca Keluaran 23:9.) Sebenarnya, sebelum orang Israel menjadi hamba, orang Mesir berprasangka terhadap mereka. (Kej. 43:32; 46:34; Kel. 1:11-14) Orang Israel pernah dilayan buruk apabila mereka menjadi orang asing. Yehuwa ingin mereka mengingati hal itu dan terus memperlakukan orang asing yang hidup dalam kalangan mereka dengan baik.​—Im. 19:33, 34.

5. Bagaimanakah kita boleh mencerminkan belas kasihan Yehuwa kepada orang yang tidak dikenali?

5 Hari ini, Yehuwa masih mengambil berat tentang orang dalam kalangan kita daripada latar belakang yang berbeza. (Ul. 10:17-19; Mal. 3:5, 6) Jika kita berfikir tentang cabaran yang dihadapi mereka seperti diskriminasi atau masalah bahasa, kita akan menunjukkan belas kasihan terhadap mereka.​—1 Ptr. 3:8.

ADAKAH PANDANGAN KITA HARUS BERUBAH?

6, 7. Apakah yang menunjukkan bahawa orang Kristian pada abad pertama mengatasi sikap prasangka yang berleluasa?

6 Orang Kristian abad pertama mengatasi sikap prasangka yang berleluasa dalam kalangan orang Yahudi. Pada Pentakosta 33 M, orang Kristian Yahudi di Yerusalem menyambut orang yang baru memeluk agama Kristian yang datang dari pelbagai tempat. (Kis. 2:5, 44-47) Kasih yang ditunjukkan oleh mereka kepada rakan seiman yang berasal dari tempat lain menunjukkan bahawa mereka memahami maksud “menyambut orang dengan ramah,” iaitu dengan “menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang tidak dikenali.”

7 Seraya sidang Kristian pada masa awal berkembang maju, terdapat masalah diskriminasi yang timbul. Orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani mula bersungut-sungut bahawa balu-balu mereka tidak dilayan dengan adil. (Kis. 6:1) Bagaimanakah masalah ini diselesaikan? Para rasul melantik tujuh orang lelaki untuk memastikan agar tiada orang diabaikan. Ketujuh-tujuh lelaki yang dipilih mempunyai nama Yunani, nampaknya para rasul ingin meredakan ketegangan yang timbul.​—Kis. 6:2-6.

8, 9. (a) Apakah soalan-soalan yang membantu kita mengenal pasti sama ada kita bersikap prasangka? (b) Apakah sikap yang harus dibasmi daripada hati kita? (1 Ptr. 1:22)

8 Sama ada kita sedar atau tidak, kita dipengaruhi oleh budaya sendiri. (Rm. 12:2) Tambahan lagi, kita mungkin pernah mendengar jiran-jiran, rakan sekerja, atau rakan sekolah memberikan komen-komen yang menghina tentang latar belakang, kaum, atau warna kulit orang lain. Adakah kita dipengaruhi oleh pandangan sebegini? Apakah reaksi kita semasa orang lain mengolok-olokkan bangsa kita?

9 Rasul Petrus pernah berprasangka terhadap orang bukan Yahudi. Namun, dia menyingkirkan pandangan negatif itu daripada hatinya secara beransur-ansur. (Kis. 10:28, 34, 35; Gal. 2:11-14) Begitu juga, jika kita berprasangka terhadap orang lain atau terlalu bangga dengan kaum kita, kita harus membasmi sikap sebegini. (Baca 1 Petrus 1:22.) Ingatlah, kita semua tidak sempurna tidak kira apa bangsa kita, dan tiada sesiapa pun yang layak diselamatkan. (Rm. 3:9, 10, 21-24) Jadi patutkah kita menganggap diri lebih bagus daripada orang lain? (1 Kor. 4:7) Kita harus mempunyai pandangan Rasul Paulus. Dia memberitahu orang Kristian terurap bahawa mereka “bukan lagi orang asing,” tetapi mereka ialah “anggota keluarga Tuhan.” (Ef. 2:19) Maka, kita perlu berusaha mengatasi sikap prasangka dan mengenakan keperibadian baharu.​—Kol. 3:10, 11.

BAIK HATI KEPADA ORANG YANG TIDAK DIKENALI

10, 11. Bagaimanakah Boas meniru teladan Yehuwa sewaktu berurusan dengan orang yang tidak dikenali?

10 Boas meniru teladan Yehuwa sewaktu berurusan dengan orang yang tidak dikenali. Sewaktu Boas memeriksa ladangnya pada musim menuai, dia memerhatikan seorang wanita asing yang bekerja keras di sana. Wanita itu ialah Rut yang berbangsa Moab. Boas mendapat tahu bahawa Rut telah meminta kebenaran sebelum memungut sisa tuaian walaupun Rut berhak berbuat demikian. Oleh itu, Boas memberitahu pekerjanya untuk mencabut hasil tuaian dan biarkannya untuk dipungut oleh Rut.​—Baca Rut 2:5-7, 15, 16.

11 Boas mengambil berat tentang Rut dan keadaannya sebagai orang asing. Dia menjemput Rut untuk menuai hasil tuaian bersama pekerja wanita muda agar tidak diganggu oleh pekerja lelaki. Boas juga memastikan Rut dilayan seperti pekerjanya sendiri dengan mempunyai makanan dan minuman yang mencukupi. Tambahan lagi, Boas tidak memandang rendah wanita asing yang miskin itu malahan memberinya galakan.​—Rut 2:8-10, 13, 14.

12. Apakah kesan positif perbuatan baik kita terhadap orang yang tidak dikenali?

12 Boas bukan sahaja tergerak oleh kasih Rut yang mendalam terhadap ibu mertuanya, Naomi, tetapi juga kagum kerana dia telah menjadi penyembah Yehuwa. Kebaikan hati Boas sebenarnya mencerminkan kasih setia Yehuwa terhadap Rut yang ‘datang untuk berlindung kepada Tuhan.’ (Rut 2:12, 20; Ams. 19:17) Hari ini, perbuatan baik kita juga boleh membantu “segala macam orang” untuk mengenali kebenaran dan merasai kasih Yehuwa terhadap mereka.​—1 Tim. 2:3, 4.

Adakah kita menyambut orang baharu di Dewan Perjumpaan dengan mesra? (Lihat perenggan 13, 14)

13, 14. (a) Mengapakah kita perlu berusaha untuk menyapa orang yang tidak dikenali di Dewan Perjumpaan? (b) Bagaimanakah anda boleh mengatasi perasaan kurang selesa apabila bercakap dengan orang daripada bangsa lain?

13 Kita boleh menunjukkan kebaikan hati kepada orang baharu yang tidak dikenali dengan menyapa mereka secara mesra di Dewan Perjumpaan. Kita mungkin sedar bahawa terdapat orang asing yang pemalu dan duduk bersendirian. Cara mereka dibesarkan atau kedudukan sosial yang berbeza mungkin menyebabkan mereka berasa kurang yakin berbanding dengan orang yang berbangsa lain. Jadi, kita perlu berinisiatif untuk menunjukkan keprihatinan terhadap mereka. Jika aplikasi JW Language terdapat dalam bahasa anda, gunakanlah aplikasi itu untuk mempelajari cara menyapa orang baharu dalam bahasa mereka.​—Baca Filipi 2:3, 4.

14 Anda mungkin berasa kurang selesa semasa bercakap dengan orang yang berbangsa lain. Untuk mengatasi perasaan ini, anda boleh mengongsi sesuatu tentang diri anda. Lama-kelamaan, anda akan sedar bahawa terdapat lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Selain itu, setiap budaya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

BANTULAH MEREKA BERASA SELESA

15. Bagaimanakah kita boleh berusaha memahami orang yang sedang menyesuaikan diri dengan negara kita?

15 Untuk membantu orang lain berasa selesa dalam sidang kita, tanyalah diri, “Bagaimanakah saya ingin orang melayan saya jika saya di negara asing?” (Mat. 7:12) Kita harus sabar dengan orang yang masih menyesuaikan diri dengan negara kita. Pada mulanya, kita mungkin tidak memahami pemikiran atau reaksi mereka. Tetapi kita tidak patut memaksa mereka mengikut budaya kita. Tidakkah kita patut menerima mereka seadanya?​—Baca Roma 15:7.

16, 17. (a) Apakah yang boleh kita lakukan untuk lebih mengenali orang asing? (b) Bagaimanakah kita boleh membantu orang asing dalam sidang secara praktikal?

16 Jika kita belajar tentang negara asal dan budaya orang asing, kita akan berasa lebih senang untuk berbual dengan mereka. Semasa mengadakan penyembahan keluarga, kita boleh menyelidiki budaya orang asing dalam sidang kita. Selain itu, kita boleh lebih mengenali mereka dengan menjemput mereka untuk makan bersama. Memandangkan Yehuwa telah “membuka jalan supaya orang daripada bangsa lain pun dapat beriman kepada Yesus,” kita juga boleh membuka hati kita kepada orang asing, “terutamanya kepada saudara saudari kita yang seiman.”​—Kis. 14:27; Gal. 6:10; Ayb. 31:32.

Adakah kita menyambut orang asing dari negara lain dengan mesra? (Lihat perenggan 16, 17)

17 Dengan meluangkan masa bersama orang asing, kita akan menghargai usaha mereka untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan. Kita mungkin sedar bahawa mereka memerlukan bantuan untuk belajar bahasa tempatan. Selain itu, bolehkah kita membantu mereka mencari pekerjaan atau tempat tinggal yang sesuai? Langkah-langkah sebegini banyak membantu kehidupan rakan seiman tersebut.​—Ams. 3:27.

18. Bagaimanakah orang asing boleh meniru teladan Rut?

18 Sudah tentu, orang asing harus berusaha untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan. Rut telah menetapkan teladan yang baik. Pertama, dia menghormati adat tempatan dengan meminta izin untuk memungut sisa tuaian. (Rut 2:7) Walaupun dia berhak berbuat demikian, dia tidak terus memungutnya. Kedua, dia menghargai kebaikan yang ditunjukkan kepadanya. (Rut 2:13) Apabila orang asing meniru teladan Rut, mereka akan dihormati oleh orang tempatan dan rakan seiman.

19. Mengapakah kita harus menyambut orang yang tidak dikenali?

19 Kita gembira kerana Yehuwa baik hati dan mengizinkan orang daripada semua latar belakang untuk mendengar berita baik. Orang asing mungkin tidak dapat belajar Bible atau bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa di negara asal mereka. Tetapi sekarang mereka dapat bergaul dengan kita, tidakkah kita harus membantu mereka untuk berasa selesa dalam sidang? Walaupun kita mungkin tidak dapat banyak membantu mereka dari segi kewangan atau secara praktikal, kebaikan hati yang kita tunjukkan sebenarnya mencerminkan kasih Yehuwa kepada mereka. Oleh itu, “ikutlah teladan Tuhan” dan berusahalah menyambut orang yang tidak dikenali dengan mesra!​—Ef. 5:1, 2.

^ [1] (perenggan 1) Nama telah diubah.