PELAJARAN 6
Mementingkan Nilai-Nilai Moral
APAKAH ITU NILAI MORAL?
Orang yang mempunyai nilai moral dapat membezakan apa yang betul daripada apa yang salah, dan nilai moralnya tidak ditentukan oleh perasaannya. Sebaliknya, dia selalu bergantung pada prinsip yang membimbing segala perbuatannya, biarpun tiada orang yang sedang memerhatikannya.
MENGAPAKAH NILAI MORAL PENTING?
Kanak-kanak dibanjiri maklumat yang salah tentang nilai moral. Mereka mungkin dipengaruhi oleh rakan sekolah, muzik, dan wayang atau rancangan TV. Hal itu mungkin membuat mereka keliru dan mempersoalkan nilai moral yang diajarkan di rumah.
Hal ini merupakan masalah yang besar bagi kaum remaja. Menurut buku Beyond the Big Talk, kaum remaja suka menjadi popular dan diterima orang. Rakan mereka atau media massa akan memperalatkan keinginan ini untuk mempengaruhi mereka. Kaum remaja harus belajar untuk membuat keputusan dan mempunyai pendirian yang teguh biarpun dicemuh. Maka, ibu bapa harus memupuk nilai moral dalam diri anak mereka dari kecil lagi agar anak mereka dapat menghadapi tekanan sedemikian.
CARA MENGAJARKAN NILAI MORAL
Bantu anak anda membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.
PRINSIP BIBLE: ‘Orang matang menggunakan daya penilaian mereka yang sudah terlatih.’—Ibrani 5:14.
-
Berikan panduan moral yang jelas. Gunakan situasi harian untuk membantu anak anda membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. Contohnya, “ini contoh kejujuran; itu perbuatan yang tidak jujur.” “Ini contoh kesetiaan; itu perbuatan yang tidak setia.” Lama-kelamaan, anak anda akan mengetahui apa yang harus dilakukan dan apa yang harus dielakkan.
-
Berikan penjelasan. Sebagai contoh, tanyalah anak anda, “Apakah kebaikannya jika kita selalu jujur? Bagaimanakah penipuan akan menjejaskan persahabatan kamu? Mengapakah salah untuk mencuri?” Bantu anak anda untuk berfikir secara logik agar dia dapat membezakan apa yang baik daripada apa yang jahat.
-
Tonjolkan manfaat yang dapat diraih jika seseorang mempunyai nilai moral yang baik. Anda dapat berkata, “Jika kamu jujur, orang lain akan mempercayai kamu,” atau “Jika kamu baik hati, orang lain akan suka menjadi kawan kamu.”
Pastikan semua anggota keluarga anda mengikut nilai moral yang sama.
PRINSIP BIBLE: “Teruslah memeriksa keadaan kamu yang sebenarnya.”—2 Korintus 13:5.
-
Semua anggota keluarga anda patut mempunyai nilai moral yang sama. Dengan demikian, anda dapat berkata:
-
“Tiada orang dalam keluarga kami yang akan berbohong.”
-
“Kami tidak memukul orang lain atau berteriak-teriakan.”
-
“Kami tidak menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati atau kata-kata yang menghina.”
-
Lambat laun, anak anda akan tahu bahawa nilai moral keluarga anda merupakan sebahagian daripada identiti keluarga anda.
-
Gunakan setiap kesempatan untuk membincangkan nilai moral keluarga anda dengan anak anda. Gunakan situasi harian untuk mengajar anak anda. Anda mungkin dapat membandingkan nilai moral yang ditetapkan dalam keluarga anda dengan nilai moral yang diajarkan di sekolah atau dihebahkan oleh media massa. Tanyalah anak anda soalan seperti, “Jika kamu dalam situasi itu, apakah yang akan kamu lakukan?” “Jika keluarga kita mengalami situasi itu, apakah yang akan kita lakukan?”
Bantu anak anda untuk melakukan apa yang betul.
PRINSIP BIBLE: “Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih.”—1 Petrus 3:16.
-
Puji anak anda. Pujilah anak anda dan jelaskan mengapa anda berasa bangga dengannya. Sebagai contoh, anda dapat berkata, “Saya sangat bangga dengan kamu kerana kamu jujur.” Jika anak anda mengakui kesilapannya, pujilah dia kerana dia bersikap jujur sebelum anda menegur dia.
-
Tegur anak anda. Bantu anak anda untuk bertanggungjawab atas perbuatannya. Anak-anak harus tahu apa kesalahan mereka dan bagaimana perbuatan mereka melanggar nilai moral keluarga anda. Ada ibu bapa yang takut untuk menegur anak mereka kerana mereka menyangka hal itu akan membuat anak mereka menjadi tawar hati. Tetapi jika ibu bapa menjelaskan mengapa perbuatan anak mereka itu salah, hal itu dapat melatih hati nurani anak mereka dan membantu anak mereka agar tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.