Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BANTUAN UNTUK ORANG YANG BERKABUNG

Mengatasi Kesedihan​—Perkara yang Dapat Dilakukan Sekarang

Mengatasi Kesedihan​—Perkara yang Dapat Dilakukan Sekarang

Jika anda mencari petua untuk mengatasi kesedihan, anda mungkin menemui seribu satu cadangan. Sesetengah cadangan itu lebih berkesan berbanding yang lain, mungkin kerana setiap orang berkabung dengan cara yang berlainan. Petua yang berguna bagi seseorang, tidak semestinya akan membantu orang lain.

Meskipun begitu, terdapat beberapa panduan asas yang telah membantu ramai orang. Panduan sebegini sering digunakan oleh para kaunselor, dan selaras dengan prinsip daripada Bible, sebuah buku kuno yang nasihatnya tidak luput ditelan masa.

1: TERIMALAH BANTUAN KELUARGA DAN SAHABAT

  • Sesetengah pakar menganggap bahawa inilah faktor terpenting untuk mengatasi kesedihan. Namun, ada kalanya anda mungkin ingin bersendirian, dan bahkan berasa geram apabila orang lain mencuba membantu anda. Reaksi sedemikian memang normal.

  • Janganlah berfikir bahawa anda mesti selalu bersama orang lain. Pada masa yang sama, janganlah menjauhi mereka sama sekali, kerana anda mungkin memerlukan pertolongan mereka pada masa depan. Beritahulah mereka dengan sopan apa yang anda perlukan dan apa yang tidak anda perlukan ketika itu.

  • Berdasarkan keperluan anda, seimbangkan masa anda bersendirian dengan masa anda bersama orang lain.

PRINSIP: “Berdua lebih baik daripada seorang diri . . . Jika salah seorang jatuh, yang seorang lagi dapat membantunya.”​—Pengkhutbah 4:9, 10.

2: JAGALAH PEMAKANAN, DAN LUANGKAN MASA UNTUK BERSENAM

  • Pemakanan yang seimbang akan membantu anda menangani stres yang disebabkan kesedihan. Cubalah memakan pelbagai jenis buah-buahan, sayur, dan protein rendah lemak.

  • Minumlah air dan minuman berkhasiat yang secukupnya.

  • Jika anda tidak berselera, makanlah sedikit tetapi dengan lebih kerap. Anda juga boleh bertanya kepada doktor tentang makanan tambahan kesihatan (suplemen). *

  • Berjalan pantas atau senaman lain dapat mengurangkan emosi yang negatif. Sewaktu bersenam, anda boleh memikirkan kesedihan anda, atau mengetepikannya dan melapangkan minda anda.

PRINSIP: “Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya.”​—Efesus 5:29.

3: DAPATKAN TIDUR YANG CUKUP

  • Tidur amat penting, khasnya untuk orang yang berkabung, kerana kesedihan dapat membuat mereka bertambah penat.

  • Awasilah pengambilan kafein dan alkohol, kerana kedua-duanya dapat menjejaskan tidur anda.

PRINSIP: “Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.”​—Pengkhutbah 4:6.

4: BERSIKAP FLEKSIBEL

  • Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk berkabung. Anda perlu menentukan cara yang terbaik untuk diri anda.

  • Ramai orang berasa lebih lega setelah memberitahu orang lain tentang kesedihan mereka, manakala yang lain tidak ingin berbuat demikian. Pandangan pakar tentang faedah meluahkan perasaan juga berbeza-beza. Jika anda perlu mencurahkan isi hati tetapi teragak-agak untuk berbuat demikian, cubalah melakukannya secara beransur-ansur, mungkin kepada seorang sahabat karib.

  • Sesetengah orang berasa lebih lega selepas menangis, tetapi ada juga yang berjaya mengatasi kesedihan walaupun mereka kurang menangis.

PRINSIP: “Kedukaan seseorang dirasakannya sendiri.”—Amsal 14:10.

5: JAUHI AMALAN YANG MEMUDARATKAN

  • Sesetengah orang “melarikan diri” daripada kesedihan dengan mengambil dadah atau minum alkohol secara berlebihan. Perbuatan sebegini memudaratkan, kerana apa-apa rasa lega yang diraih hanya sementara dan membawa padah. Tenangkanlah hati anda melalui kegiatan yang sihat.

PRINSIP: “Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan.”​—2 Korintus 7:1.

6: AGIHKAN MASA ANDA

  • Ramai orang berasa lebih lega kerana menyelangi waktu sedih (berhadapan dengan emosi sendiri) dengan waktu rehat (kegiatan yang membantu mereka tidak bertumpu kepada kesedihan).

  • Anda dapat menggunakan “waktu rehat” itu untuk mencari sahabat baharu, mengukuhkan persahabatan lama, mempelajari kemahiran baharu, atau berekreasi.

  • Dengan berlalunya masa, anda mungkin mendapati bahawa “waktu rehat” anda akan menjadi lebih kerap dan lebih lama. Inilah sebahagian daripada proses pemulihan.

PRINSIP: “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu. . . . Ada waktu untuk menangis, dan ada waktu untuk ketawa; ada waktu untuk berkabung, dan ada waktu untuk menari.”​—Pengkhutbah 3:1, 4.

7: KEKALKAN RUTIN

  • Kembalilah kepada rutin biasa dengan secepat mungkin.

  • Apabila anda mengikut rutin untuk tidur, kerja, dan kegiatan lain, anda akan berasa kehidupan anda lebih normal.

  • Jika anda mengisi kehidupan sendiri dengan aktiviti yang positif, kepedihan anda dapat dikurangkan.

PRINSIP: “Dia tidak sedar bahawa kehidupannya berlalu dengan begitu cepat kerana Tuhan yang benar membuat hatinya penuh dengan sukacita.”​—Pengkhutbah 5:20.

8: TANGGUHKAN KEPUTUSAN BESAR

  • Ramai orang menyesal kerana membuat keputusan besar sejurus selepas kematian orang tersayang.

  • Seboleh-bolehnya, tunggulah seketika sebelum berpindah, menukar pekerjaan, atau membuang barang orang tersayang.

PRINSIP: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan, tetapi tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.”​—Amsal 21:5.

9: KENANGLAH ORANG TERSAYANG

  • Ramai orang yang berkabung berasa lebih lega semasa melakukan sesuatu yang membuat si mati tetap hidup dalam kenangan mereka.

  • Anda mungkin boleh membuat koleksi gambar atau barang kenangan, atau mencatatkan peristiwa atau kisah yang ingin anda ingati.

  • Simpan barang yang menggamit kenangan manis. Semasa anda bersedia, lihatlah barang itu.

PRINSIP: “Ingatlah akan masa lampau.”​—Ulangan 32:7, Alkitab Berita Baik.

10: BERCUTI

  • Anda mungkin boleh melancong.

  • Jika anda tidak dapat bercuti panjang, lakukanlah sesuatu yang menyeronokkan selama sehari dua, seperti mendaki, melawat muzium, atau memandu untuk makan angin.

  • Kegiatan yang berbeza daripada aktiviti seharian dapat membantu anda mengatasi kesedihan.

PRINSIP: “Marilah kita pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.”​—Markus 6:31.

11: MEMBANTU ORANG

  • Ingatlah bahawa waktu yang anda luangkan untuk membantu orang lain, dapat menenangkan hati anda.

  • Anda boleh membantu orang yang turut merasai pemergian orang tersayang anda, seperti sahabat atau saudara-mara yang memerlukan seseorang untuk mengongsi kesedihan mereka.

  • Menyokong dan melegakan orang lain dapat memberi anda sukacita dan kepuasan yang diperlukan.

PRINSIP: “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—Kisah 20:35.

12: MENELITI KEUTAMAAN ANDA

  • Kesedihan dapat membantu anda lebih memahami hal yang benar-benar penting.

  • Gunakanlah peluang itu untuk meneliti cara hidup anda.

  • Ubahlah keutamaan anda jika perlu.

PRINSIP: “Lebih baik pergi ke rumah orang yang berkabung daripada pergi ke rumah orang yang berpesta kerana akhirnya semua orang akan mati. Mereka yang masih hidup perlu ingat akan hal ini.”​—Pengkhutbah 7:2.

Hakikatnya, rasa sedih yang anda alami tidak dapat dilenyapkan sepenuhnya. Namun, ramai orang yang berkabung mengakui bahawa langkah-langkah positif, seperti yang disebut dalam rencana ini, telah membantu melegakan mereka. Sudah pasti, terdapat kaedah-kaedah lain juga, tetapi jika anda mencuba beberapa cadangan ini, anda dapat merasai kelegaan yang besar.

^ per. 13 Majalah ini tidak mengesyorkan rawatan tertentu.