Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kamulah Saksi-Ku”

“Kamulah Saksi-Ku”

“Kamulah saksi-Ku.”—YES. 43:10.

1, 2. (a) Apakah maksudnya untuk menjadi seorang saksi, dan media massa gagal melakukan apa? (b) Mengapakah Yehuwa tidak bergantung pada media massa?

APAKAH maksudnya untuk menjadi seorang saksi? Sebuah kamus menerangkan bahawa seorang saksi ialah “orang yang melihat suatu peristiwa dan melaporkan kejadian tersebut.” Contohnya, di Afrika Selatan, sebuah akhbar yang bernama The Witness (Saksi) telah diterbitkan selama 160 tahun. Namanya memang sesuai kerana tujuan akhbar tersebut adalah untuk melaporkan apa yang benar sahaja. Pemilik akhbar ini telah bersumpah untuk selalu bercakap benar.

2 Malangnya, media massa dunia tidak selalunya melaporkan berita dengan tepat. Mereka juga tidak melaporkan kebenaran tentang Tuhan. Namun, Pemerintah Yang Agung tidak bergantung pada media massa. Melalui nabi Yehezkiel, Tuhan berkata, ‘Bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’ (Yeh. 39:7) Yehuwa mempunyai sekitar lapan juta Saksi yang memberitakan kebenaran mengenai-Nya, tentang apa yang telah Dia lakukan serta yang sedang Dia lakukan bagi umat manusia. Mereka juga menyebarkan janji Tuhan bagi umat manusia pada masa depan. Dengan mengutamakan kerja ini, kita membuktikan bahawa kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Yehuwa berkata di Yesaya 43:10, “Kamulah saksi-Ku; Aku memilih kamu menjadi hamba-Ku.”

3, 4. (a) Bilakah Pelajar Bible mula menggunakan nama Saksi-Saksi Yehuwa, dan apakah perasaan mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

3 Menyandang nama Yehuwa merupakan penghormatan yang besar. Dia ialah “Raja yang kekal.” Dia berkata, “Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang.” (1 Tim. 1:17; Kel. 3:15) Pada 1931, Pelajar Bible berasa teruja kerana mula menggunakan nama Saksi-Saksi Yehuwa. Ramai di antara mereka telah menulis surat penghargaan. Sebuah sidang di Kanada menulis bahawa nama baru ini telah mendorong mereka untuk hidup dalam cara yang memuliakan Yehuwa.

4 Bagaimanakah anda dapat menunjukkan penghargaan atas peluang untuk menyandang nama Tuhan? Mengapakah Yehuwa memanggil kita Saksi-Nya seperti yang tercatat dalam buku Yesaya?

SAKSI TUHAN PADA ZAMAN LAMPAU

5, 6. (a) Bagaimanakah ibu bapa pada zaman lampau memberikan kesaksian mengenai Yehuwa? (b) Apakah lagi yang harus dilakukan oleh orang Israel, dan mengapakah ibu bapa hari ini perlu meniru teladan mereka?

5 Yehuwa memilih bangsa Israel untuk menjadi saksi-Nya. Mereka semua bertanggungjawab untuk memberikan kesaksian mengenai-Nya (Yes. 43:10) Contohnya, ibu bapa perlu memberikan kesaksian mengenai Yehuwa kepada anak-anak. Yehuwa memberitahu mereka untuk menceritakan kepada anak-anak mengenai perayaan Paska. Dia berkata, ‘Apabila anak-anak kamu bertanya, “Apakah makna upacara ini?” Kamu harus menjawab, “Inilah korban Paska untuk menghormati Yehuwa, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.”’ (Kel. 12:26, 27, ABB) Ibu bapa mungkin menceritakan cara Musa menghadapi Firaun dan meminta izin supaya orang Israel boleh menyembah Tuhan di padang belantara. Tetapi Firaun membalas, ‘Siapakah Yehuwa itu? Mengapakah beta harus mendengarkan Dia dan membenarkan orang Israel pergi?’ (Kel. 5:2) Ibu bapa juga memberitahu anak-anak bagaimana Yehuwa menjawab soalan Firaun itu. Dia telah mendatangkan sepuluh tulah dan menyelamatkan orang Israel di Laut Merah. Orang Israel telah menjadi saksi bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar yang menunaikan semua janji-Nya.

6 Sudah pasti orang Israel yang menyandang nama Yehuwa telah menceritakan peristiwa menakjubkan ini kepada anak serta orang asing yang menjadi hamba di kalangan mereka. Mereka juga tahu bahawa kelakuan mereka harus tetap suci. Yehuwa telah memberitahu, ‘Kamu harus suci kerana Aku Yehuwa, Tuhan kamu suci.’ (Im. 19:2; Ul. 6:6, 7) Ibu bapa hari ini juga patut meneladani orang Israel. Mereka harus mengajar anak untuk hidup dalam cara yang akan memuliakan nama Tuhan!—Baca Amsal 1:8; Efesus 6:4.

Mengajar anak tentang Yehuwa membawa kemuliaan kepada nama-Nya (Lihat perenggan 5, 6)

7. (a) Apabila orang Israel setia kepada Yehuwa, apakah pandangan bangsa di sekeliling mereka? (b) Apakah tanggungjawab kita yang mewakili Yehuwa?

7 Apabila orang Israel setia kepada Yehuwa, mereka diberkati. Oleh itu, bangsa-bangsa di sekeliling mereka nampak bahawa Yehuwa melindungi mereka. (Ul. 28:10) Malangnya, orang Israel tidak selalu setia kepada Yehuwa. Mereka berulang kali menyembah berhala. Bahkan mereka menyembah dewa dewi Kanaan yang menyebabkan mereka menjadi kejam sehingga rela mengorbankan anak sendiri dan menganiaya orang miskin. Teladan buruk mereka merupakan suatu pengajaran yang penting bagi kita. Kita harus sentiasa hidup suci kerana kita mewakili Tuhan Yang Maha Suci.

“PERHATIKANLAH PERKARA BARU YANG AKAN SEGERA KULAKUKAN”

8. Apakah tugas yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yesaya, dan apakah reaksi Yesaya?

8 Yehuwa telah menubuatkan bahawa Dia akan menyelamatkan orang Israel daripada tawanan dengan cara yang menakjubkan. (Yes. 43:19) Enam bab pertama dalam buku Yesaya mengandungi amaran mengenai bencana yang akan melanda kota Yerusalem dan kota-kota lain di sekelilingnya. Yehuwa tahu bahawa orang Israel tidak akan bertaubat. Namun, Dia mengutus Yesaya untuk terus memberikan amaran. Tetapi, Yesaya ingin mengetahui berapa lama bangsa Israel akan tidak setia kepada Yehuwa. Apakah jawapan Tuhan? “Sehingga kota-kota runtuh dan musnah tanpa penghuni, rumah-rumah tidak didiami lagi dan tanah menjadi kosong serta tandus.”—Baca Yesaya 6:8-11.

9. (a) Bilakah nubuat Yesaya mengenai Yerusalem digenapi? (b) Hari ini, kita harus berikan perhatian kepada amaran apa?

9 Yesaya menerima tugasnya pada tahun terakhir pemerintahan Raja Uzia, iaitu sekitar 778 SM. Dia berkhidmat sebagai nabi lebih daripada 46 tahun sehingga tahun 732 SM, iaitu semasa pemerintahan Raja Hizkia. Selepas itu, Yehuwa masih memberikan amaran kepada umat-Nya sehingga tahun 607 SM. Pada tahun itulah, kota Yerusalem dibinasakan. Jadi, orang Israel diberi amaran selama bertahun-tahun tentang apa yang bakal berlaku. Hari ini, Yehuwa menggunakan umat-Nya untuk memberikan amaran kepada orang lain tentang apa yang akan berlaku pada masa depan. Selama 135 tahun, majalah The Watchtower memberitakan bahawa sistem dunia Syaitan akan berakhir tidak lama lagi dan akan digantikan dengan Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.—Why. 20:1-3, 6.

10, 11. Apakah penggenapan nubuat Yesaya yang disaksikan oleh orang Israel di Babilon?

10 Ramai orang Yahudi yang setia selamat apabila kota Yerusalem dibinasakan. Mereka mematuhi arahan Yehuwa untuk menyerah diri dan dibawa sebagai tawanan ke kota Babilon. (Yer. 27:11, 12) Selepas 70 tahun, umat Tuhan menyaksikan satu lagi penggenapan nubuat Yesaya, ‘Tuhan Israel, Tuhan yang suci, Yehuwa yang menyelamatkan kamu berfirman, “Aku akan mengirim tentera untuk menyelamatkan kamu dari Babel; Aku akan merobohkan pintu-pintu gerbang.”’—Yes. 43:14.

11 Nubuat ini telah menjadi kenyataan dengan cara yang menakjubkan. Pada suatu malam bulan Oktober 539 SM, raja Babilon bersama para bangsawan berpesta dan memuji dewa dewi mereka. Mereka bahkan minum daripada cawan yang dirampas dari Rumah Tuhan. Pada malam itu juga, tentera Media dan Persia yang diketuai oleh Raja Kores, menawan kota Babilon. Sekitar dua tahun kemudian, Raja Kores memberikan perintah kepada orang Yahudi untuk kembali ke Yerusalem dan membina semula Rumah Tuhan. Yehuwa memastikan perjalanan mereka selamat. Semua peristiwa ini telah dinubuatkan oleh Yesaya. Tuhan berkata, “Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.” (Yes. 43:21, ABB; 44:26-28) Setelah mereka kembali dan membina semula Rumah Tuhan, mereka menjadi saksi bahawa Yehuwa memang Tuhan yang benar dan sentiasa menunaikan janji-Nya.

12, 13. (a) Apakah yang berlaku semasa orang Israel kembali untuk membina semula Rumah Tuhan? (b) Apakah yang perlu dilakukan oleh “domba-domba lain,” dan apakah harapan mereka?

12 Semasa orang Israel kembali untuk membina semula Rumah Tuhan, ribuan orang asing menyertai mereka. Tidak lama kemudian, lebih ramai orang asing mula menyertai orang Israel untuk menyembah Tuhan. (Ezr. 2:58, 64-67; Est. 8:17) Hari ini, orang Kristian terurap ialah “Israel milik Tuhan,” dan kumpulan besar “domba-domba lain” menyertai mereka dalam ibadat sejati. (Gal. 6:16, NW; Yoh. 10:16; Why. 7:9, 10) Kedua-dua kumpulan ini menyandang nama Saksi-Saksi Yehuwa.

13 Sewaktu Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, kumpulan besar manusia akan menikmati peluang yang istimewa. Mereka akan menceritakan pengalaman mereka sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada hari-hari terakhir di dunia Syaitan kepada orang yang dibangkitkan. Maka, untuk menikmati peluang ini, kita harus tetap suci sampai akhir. Selain itu, kita harus memohon pengampunan daripada Yehuwa setiap hari kerana kita manusia yang berdosa dan sering melakukan kesilapan. Dengan terus hidup suci, kita menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan yang diberikan oleh Yehuwa untuk mewakili-Nya.—Baca 1 Yohanes 1:8, 9.

MAKSUD NAMA TUHAN

14. Apakah maksud nama Tuhan?

14 Untuk lebih menghargai nama Tuhan, kita harus menyelami maksud nama-Nya. Nama Yehuwa berasal daripada kata kerja bahasa Ibrani yang bermaksud “menjadi.” Maka, nama Yehuwa boleh difahami sebagai “Dia Menyebabkan Menjadi.” Nama ini memang sesuai kerana Dialah yang menciptakan alam semesta dan segala makhluk hidup. Selain itu, apabila Yehuwa mengatakan bahawa Dia akan melakukan sesuatu, tiada sesiapa pun yang dapat menghalang-Nya, bahkan Syaitan.

15. Apakah yang kita pelajari mengenai nama Tuhan melalui kata-kata-Nya kepada Musa? (Lihat kotak “ Nama yang Penuh Makna.”)

15 Semasa Yehuwa memberikan perintah kepada Musa untuk memimpin umat-Nya keluar dari Mesir, Yehuwa telah menerangkan lagi tentang maksud nama-Nya. Bible menyatakan, “Tuhan memberitahu Musa, ‘Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.’ Dia menambah, ‘Inilah yang harus engkau katakan kepada orang Israel: “Aku Akan Menjadi telah mengutusku kepada kamu.”’” (Kel. 3:14, NW) Hal ini bermaksud Yehuwa akan menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Contohnya, Dia telah menjadi Penyelamat, Pelindung, Pembimbing, dan Pemberi kepada umat Israel.

MENUNJUKKAN PENGHARGAAN

16, 17. (a) Bagaimanakah kita menunjukkan penghargaan atas peluang istimewa untuk menyandang nama Yehuwa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

16 Hari ini, Yehuwa masih tidak berubah. Dia terus memenuhi segala keperluan rohani dan jasmani kita. Namun, nama Yehuwa juga merangkumi satu lagi perkara. Nama-Nya menunjukkan bahawa Yehuwa mampu menyebabkan makhluk ciptaan-Nya menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Jika kita merenungkan hal ini, kita akan terus berusaha untuk menyandang nama-Nya dalam cara yang mulia. Kåre dari Norway yang sudah berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersemangat selama 70 tahun berkata, “Saya diberikan penghormatan besar kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa, Raja yang Kekal, dan menjadi sebahagian daripada umat yang menyandang nama-Nya. Saya menikmati peluang istimewa untuk menerangkan kebenaran Bible kepada orang lain dan melihat penghargaan mereka terhadap Bible. Contohnya, saya berasa puas hati apabila memberitahu orang lain tentang makna korban Yesus dan cara mereka boleh menikmati kehidupan kekal di dunia baru.”

17 Di sesetengah tempat, adalah sangat susah untuk mencari orang yang ingin belajar tentang Tuhan. Namun, seperti Kåre, kita berasa gembira jika ada seorang yang ingin belajar tentang nama Tuhan. Tetapi bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa juga menjadi saksi kepada Yesus? Hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.