Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Miliki Iman yang Teguh terhadap Kerajaan Tuhan

Miliki Iman yang Teguh terhadap Kerajaan Tuhan

“Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan.”IBR. 11:1.

1, 2. (a) Apakah yang boleh meyakinkan kita bahawa kehendak Tuhan akan terlaksana menerusi Kerajaan-Nya? (b) Bagaimanakah perjanjian-perjanjian menguatkan iman kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SEBAGAI Saksi-Saksi Yehuwa, kita selalu mengkhabarkan bahawa semua masalah kita akan diselesaikan oleh Kerajaan Tuhan. Namun adakah kita benar-benar yakin bahawa Kerajaan ini wujud? Adakah kita pasti bahawa Yehuwa akan menggunakan Kerajaan ini untuk melaksanakan kehendak-Nya? Mengapakah kita boleh memiliki iman yang teguh terhadap Kerajaan Tuhan?—Ibr. 11:1.

2 Menerusi Kerajaan Mesias, tujuan Yehuwa untuk manusia akan terlaksana. Kerajaan ini kukuh kerana didasarkan pada hak Yehuwa sebagai Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Maklumat penting mengenai Raja dan para pemerintah Kerajaan ini, serta kawasan pemerintahan mereka telah disingkapkan melalui beberapa perjanjian. Perjanjian, atau persetujuan yang sah ini telah dibuat oleh Yehuwa atau Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan meneliti perjanjian-perjanjian ini, kita akan lebih memahami bagaimana kehendak Tuhan akan terlaksana, dan mengapa kita boleh memiliki iman yang teguh terhadap Kerajaan Mesias.—Baca Efesus 2:12.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana seterusnya?

3 Dalam Bible, terdapat enam perjanjian yang berkait dengan Kerajaan Mesias yang akan diperintah oleh Yesus Kristus. Perjanjian ini ialah (1) perjanjian Abraham, (2) perjanjian Hukum Musa, (3) perjanjian Daud, (4) perjanjian untuk menjadi imam seperti Melkisedek, (5) perjanjian baru, dan (6) perjanjian Kerajaan. Marilah kita selidik bagaimana setiap perjanjian ini berkait dengan Kerajaan Mesias, serta cara perjanjian ini akan melaksanakan kehendak Tuhan bagi bumi dan penduduknya.—Lihat penerangan “ Bagaimana Yehuwa akan Melaksanakan Tujuan-Nya.”

JANJI YANG MENUNJUKKAN BAGAIMANA KEHENDAK TUHAN AKAN TERLAKSANA

4. Menurut buku Kejadian, apakah perintah mengenai manusia yang diberikan oleh Yehuwa?

4 Selepas Yehuwa menyediakan bumi sebagai tempat tinggal manusia, Dia memberikan perintah berikut: (1) Tuhan akan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. (2) Manusia yang setia akan memenuhi bumi dan menjadikannya sebuah firdaus. (3) Manusia dilarang untuk memakan buah daripada pokok yang memberikan pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. (Kej. 1:26, 28; 2:16, 17) Tiga perintah ini sudah pun mencukupi untuk menunjukkan bahawa tujuan Tuhan bagi bumi dan manusia akan terlaksana. Jadi, mengapakah Tuhan perlu membuat perjanjian-perjanjian lagi?

5, 6. (a) Bagaimanakah Syaitan mencuba menjejaskan kehendak Tuhan? (b) Bagaimanakah Yehuwa menangani pemberontakan di Taman Eden?

5 Syaitan memulakan pemberontakan untuk menentang Tuhan dan kehendak-Nya. Dia telah menggoda Hawa untuk memakan buah daripada pokok yang memberikan pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Dia ingin manusia mengingkari perintah Tuhan. (Kej. 3:1-5; Why. 12:9) Tindakan itu menunjukkan bahawa Syaitan mencabar hak Yehuwa sebagai Pemerintah Alam Semesta. Kemudian, Syaitan juga menuduh bahawa manusia menyembah Tuhan demi kepentingan sendiri.—Ayb. 1:9-11; 2:4, 5.

6 Bagaimanakah Yehuwa menangani pemberontakan ini? Jika Tuhan membinasakan semua pemberontak itu, tujuan-Nya untuk memenuhi bumi dengan manusia yang setia tidak akan terlaksana. Jadi, Yehuwa tidak membinasakan mereka. Sebaliknya, Dia memberikan satu nubuat yang dikenali sebagai janji di Taman Eden. Janji ini merupakan jaminan bahawa tujuan-Nya akan tercapai sepenuhnya.—Baca Kejadian 3:15.

7. Apakah yang ditunjukkan oleh janji di Taman Eden tentang Syaitan dan keturunannya?

7 Janji di Taman Eden menunjukkan bahawa Tuhan menjatuhkan hukuman mati kepada ular, iaitu Syaitan, serta keturunannya, iaitu mereka yang menyertai Syaitan untuk menentang kedaulatan Tuhan. Yehuwa akan memberikan kuasa kepada keturunan perempuan untuk menghancurkan semua pemberontak ini. Maka, janji di Taman Eden menunjukkan bagaimana Syaitan dan kesan pemberontakannya akan dilenyapkan.

8. Apakah yang kita pelajari tentang identiti perempuan itu dan keturunannya?

8 Siapakah keturunan perempuan itu? Keturunannya berbadan roh dan tidak kelihatan. Hal ini kerana keturunan itu akan “memusnahkan Iblis” yang juga merupakan makhluk roh. (Ibr. 2:14) Selain itu, perempuan yang melahirkan keturunan itu juga tidak kelihatan. Selama 4,000 tahun selepas janji di Taman Eden, keturunan ular semakin bertambah, tetapi identiti perempuan itu dan keturunannya masih tidak diketahui. Sementara itu, Yehuwa membuat perjanjian-perjanjian untuk menunjukkan identiti keturunan itu dan bagaimana Dia akan melenyapkan kesan buruk yang disebabkan oleh Syaitan.

PERJANJIAN UNTUK MENGENAL PASTI KETURUNAN PEREMPUAN

9. Apakah perjanjian Abraham? Bilakah perjanjian itu disahkan?

9 Hampir 2,000 tahun selepas janji di Taman Eden, Yehuwa memberitahu Abraham untuk meninggalkan rumahnya di kota Ur dan pergi ke tanah Kanaan. (Kis. 7:2, 3) Yehuwa berfirman kepada Abraham, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, dan rumah bapamu; pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu. Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, sehingga engkau menjadi berkat bagi bangsa-bangsa. Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau. Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.” (Kej. 12:1-3) Janji ini dikenali sebagai perjanjian Abraham. Kita tidak pasti bila Yehuwa mula membuat perjanjian ini dengan Abraham. Namun, perjanjian ini disahkan pada 1943 SM apabila Abraham yang berumur 75 tahun, keluar dari kota Haran dan menyeberangi Sungai Efrat.

10. (a) Bagaimanakah Abraham menunjukkan iman yang teguh terhadap janji Yehuwa? (b) Apakah maklumat lanjut yang Yehuwa berikan mengenai keturunan perempuan itu?

10 Yehuwa mengulangi janji-Nya kepada Abraham beberapa kali. Setiap kali Yehuwa menyebut janji-Nya itu, Dia memberikan maklumat tambahan. (Kej. 13:15-17; 17:1-8, 16) Abraham begitu beriman terhadap janji Yehuwa sehingga rela menyerahkan anaknya sendiri sebagai korban. Maka, Yehuwa memberikan jaminan bahawa perjanjian-Nya dengan Abraham akan terlaksana. (Baca Kejadian 22:15-18; Ibrani 11:17, 18.) Kemudian, secara beransur-ansur, Yehuwa memberikan maklumat penting mengenai keturunan perempuan. Keturunan itu akan datang menerusi garis keturunan Abraham, akan merangkumi banyak orang, akan memerintah sebagai raja, akan menghapuskan semua musuh Tuhan, dan akan membawa berkat kepada umat manusia.

Abraham menunjukkan iman yang teguh terhadap janji-janji Tuhan(Lihat perenggan 10)

11, 12. Bagaimanakah Bible menjelaskan bahawa perjanjian Abraham akan mendatangkan berkat yang lebih besar? Apakah manfaatnya bagi kita?

11 Perjanjian Abraham terlaksana apabila anak cucu Abraham menduduki Tanah yang Dijanjikan. Tetapi, Bible mengatakan bahawa perjanjian Abraham akan mendatangkan berkat yang lebih besar lagi. (Gal. 4:22-25) Paulus menjelaskan bahawa keturunan Abraham itu terdiri daripada dua bahagian. Bahagian yang pertama ialah Yesus Kristus, dan bahagian yang kedua ialah 144,000 orang Kristian terurap. (Gal. 3:16, 29; Why 5:9, 10; 14:1, 4) Perempuan yang dikatakan dalam janji di Taman Eden merupakan organisasi Tuhan di syurga. Perempuan ini dipanggil ‘Yerusalem di syurga,’ dan terdiri daripada semua malaikat yang setia. (Gal. 4:26, 31) Menurut perjanjian Abraham, keturunan perempuan akan membawa berkat yang berkekalan kepada umat manusia.

12 Perjanjian Abraham menjamin bahawa Kerajaan di syurga akan ditubuhkan dan Yesus bersama 144,000 orang Kristian terurap akan menjadi pemerintah Kerajaan itu. (Ibr. 6:13-18) Berapa lamakah perjanjian ini akan berlangsung? Kejadian 17:7 berkata bahawa “perjanjian itu abadi.” Perjanjian itu akan berlangsung sehingga Kerajaan Tuhan menghapuskan semua musuh Tuhan dan membawa berkat kepada semua bangsa di bumi. (1 Kor. 15:23-26) Berkat yang datang daripada perjanjian itu adalah berkekalan. Jadi, perjanjian Tuhan dengan Abraham membuktikan bahawa tujuan Yehuwa supaya manusia yang setia “menduduki seluruh muka bumi” akan tercapai.—Kej. 1:28.

PERJANJIAN UNTUK KERAJAAN YANG KEKAL

13, 14. Apakah yang dijamin oleh perjanjian Daud?

13 Janji di Taman Eden dan perjanjian Abraham mengajar kita bahawa Yehuwa selalu memerintah mengikut prinsip-Nya yang adil. Kerajaan Mesias yang ditubuhkan oleh Tuhan juga akan memerintah mengikut prinsip yang adil. (Mzm. 89:15) Adakah pemerintah Kerajaan Tuhan akan menjadi jahat dan perlu digantikan? Satu lagi perjanjian menjamin bahawa hal ini tidak akan berlaku.

14 Yehuwa telah membuat perjanjian dengan Daud yang dikenali sebagai perjanjian Daud. (Baca 2 Samuel 7:12, 16.) Yehuwa berjanji bahawa Mesias akan datang daripada garis keturunan Daud. (Luk. 1:30-33) Yehuwa memberikan maklumat tambahan bahawa keturunan Daud ini akan mempunyai hak untuk menjadi Raja Kerajaan Mesias. (Yeh. 21:25-27) Takhta Daud tidak akan berkesudahan kerana keturunannya, Yesus, akan memerintah Kerajaan Mesias selama-lamanya. Bible berkata, “Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan.” (Mzm. 89:35-38) Maka, kita boleh yakin bahawa Yesus tidak akan berubah menjadi jahat. Berkat daripada pemerintahannya akan kekal selama-lamanya!

PERJANJIAN UNTUK MENJADI IMAM

15-17. Menurut perjanjian untuk menjadi imam seperti Melkisedek, apakah tugas tambahan bagi keturunan perempuan, dan mengapa?

15 Perjanjian Abraham dan perjanjian Daud menjamin bahawa keturunan perempuan akan memerintah sebagai Raja. Namun, agar manusia meraih manfaat sepenuhnya, keturunan itu juga perlu menjadi imam. Hanya imam dapat mempersembahkan korban supaya manusia dibebaskan daripada dosa dan menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa. Untuk memastikan bahawa keturunan itu menjadi imam, Yehuwa membuat satu lagi perjanjian, iaitu perjanjian untuk menjadi imam seperti Melkisedek.

16 Raja Daud telah menulis bahawa Tuhan sendiri akan membuat perjanjian dengan Yesus. Perjanjian itu melibatkan dua perkara. Pertama, Yesus akan ‘duduk di sebelah kanan Tuhan’ dan diberikan kuasa untuk menakluki semua musuhnya. Kedua, Yesus akan “menjadi imam selama-lamanya, menurut keimaman Melkisedek.” (Baca Mazmur 110:1, 2, 4.) Mengapakah Yesus perlu menjadi imam seperti Melkisedek? Sebelum keturunan Abraham menduduki Tanah yang Dijanjikan, Melkisedek merupakan raja kota Salem dan ‘imam Tuhan Yang Maha Tinggi.’ (Ibr. 7:1-3) Yehuwa sendiri telah melantiknya untuk menjadi raja dan imam. Dalam catatan kitab Ibrani, hanya dialah yang disebut sebagai raja dan imam. Oleh sebab tiada orang yang menyandang kedudukan sepertinya, dia seolah-olah menjadi “imam selama-lamanya.”

17 Perjanjian ini mengesahkan bahawa Yesus telah dilantik oleh Yehuwa untuk menjadi imam. Yesus ‘akan menjadi imam selama-lamanya, seperti imam Melkisedek.’ (Ibr. 5:4-6) Hal ini jelas menunjukkan bahawa Yehuwa akan menggunakan Kerajaan Mesias untuk melaksanakan tujuan-Nya bagi manusia dan bumi.

PERJANJIAN-PERJANJIAN YANG MENJADI DASAR KERAJAAN TUHAN

18, 19. (a) Bagaimanakah perjanjian-perjanjian yang telah kita bincangkan berkait dengan Kerajaan Mesias? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

18 Kita telah belajar bagaimana setiap perjanjian ini berkait dengan Kerajaan Mesias. Kita juga belajar bagaimana setiap perjanjian ini menjadi dasar yang sah bagi Kerajaan tersebut. Janji di Taman Eden memberikan jaminan bahawa keturunan perempuan akan melaksanakan kehendak Yehuwa bagi bumi dan manusia. Perjanjian Abraham memberitahu kita identiti dan peranan keturunan itu.

19 Perjanjian Daud memberikan maklumat lanjut tentang garis keturunan Mesias dan menunjukkan bahawa Yesus berhak untuk memerintah selama-lamanya. Perjanjian untuk menjadi imam seperti Melkisedek mengesahkan bahawa keturunan itu akan berkhidmat sebagai imam. Tetapi, bukan Yesus sahaja yang akan membantu manusia mencapai kesempurnaan. Ada lagi yang akan dilantik menjadi raja dan imam. Siapakah mereka? Rencana seterusnya akan menjelaskan perkara ini.