BIBLE MENGUBAH HIDUP
“Saya Tidak Lagi Rasa Saya Harus Mengubah Dunia”
TAHUN LAHIR: 1966
NEGARA ASAL: FINLAND
LATAR BELAKANG: AKTIVIS SOSIAL
KISAH SILAM SAYA:
Saya membesar di Jyväskylä, Finland. Dekat rumah saya ada banyak tasik yang cantik dan hutan rimba. Jadi dari kecil, saya sangat suka alam semula jadi. Saya juga sangat suka binatang. Saya mahu peluk semua kucing dan anjing yang saya nampak. Semasa saya membesar, saya rasa sangat marah apabila orang mendera binatang. Jadi, saya menyertai pertubuhan yang melindungi hak binatang. Di sana, saya jumpa banyak orang yang mengasihi binatang seperti saya.
Kami memperjuangkan hak binatang. Kami juga mengedarkan maklumat dan mengadakan tunjuk perasaan terhadap kedai yang menjual barangan daripada bulu binatang dan makmal yang melakukan uji kaji haiwan. Kami bahkan menubuhkan organisasi sendiri untuk melindungi hak binatang. Namun cara yang kami gunakan agak melampau. Jadi saya pernah ditangkap dan harus pergi ke mahkamah beberapa kali.
Saya bukan sahaja memperjuangkan hak binatang, saya juga sangat risau tentang ketidakadilan yang berlaku di dunia. Oleh itu, saya mula menyokong beberapa organisasi termasuk Amnesti Antarabangsa dan Greenpeace. Saya mencurahkan banyak usaha untuk membantu orang yang hidup susah, contohnya orang miskin dan orang yang kebuluran.
Lambat laun saya mula sedar saya tidak dapat mengubah dunia. Walaupun organisasi yang saya sertai dapat membantu segelintir orang, masih ada banyak masalah di dunia ini yang tidak dapat diselesaikan. Saya rasa dunia ini dikuasai kejahatan dan saya tidak berdaya untuk mengubahnya. Hal ini buat saya rasa sangat kecewa.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Kekosongan yang saya rasai buat saya mula berfikir tentang Tuhan dan Bible. Dulu saya pernah belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka memang baik hati dan prihatin terhadap saya. Tetapi pada masa itu, saya tidak bersedia untuk mengubah gaya hidup saya. Sekarang pula, keadaan saya berbeza.
Saya mula membaca Bible saya dan kata-kata dalam Bible mengubati hati saya. Saya sedar ada banyak nasihat tentang cara untuk melayani binatang. Sebagai contoh Amsal 12:10 kata, “Orang baik memelihara ternakan mereka.” (Alkitab Berita Baik) Saya juga mula sedar Tuhan tidak menyebabkan masalah kita. Sebaliknya, manusia menderita kerana tidak mendengar nasihat-Nya. Saya juga sangat tersentuh semasa saya belajar bahawa Yehuwa sangat pengasih dan sabar.—Mazmur 103:8-14.
Sekitar masa itu, saya jumpa kupon bagi buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Saya mengisinya dan mengirimnya. Tidak lama kemudian, sepasang suami isteri Saksi telah melawat saya di rumah. Mereka menawarkan pembelajaran Bible dan saya pun terima. Saya juga mula menghadiri perjumpaan. Secara beransur-ansur, kebenaran mula berakar di hati saya.
Kebenaran Bible mendorong saya untuk membuat perubahan. Contohnya, dulu saya tidak bermoral dan tidak mengawal nafsu seks. Tetapi kini saya tidak lagi melakukan hal-hal sebegini yang dibenci Tuhan. Saya berhenti merokok dan tidak lagi minum berlebihan. Saya mengubah penampilan saya dan saya tidak lagi menggunakan kata-kata kesat. Selain itu, saya juga belajar untuk menghormati pihak berkuasa.—Roma 13:1.
Tapi hal yang paling susah bagi saya ialah untuk memupuk pandangan yang betul terhadap organisasi yang pernah saya anggotai. Hal itu telah mengambil masa yang lama, sebab saya rasa macam pengkhianat jika saya tidak menyertai atau menyokong usaha mereka. Seraya masa berlalu, saya sedar bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi manusia. Maka saya bertekad untuk curahkan segala usaha saya untuk menyokong Kerajaan itu dan mengajar orang lain tentangnya.—Matius 6:33.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Dulu saya selalu menghakimi orang. Jika saya menganggap seseorang jahat, saya akan membencinya dan mengambil tindakan terhadapnya. Tetapi selepas mempelajari Bible, saya tidak berpandangan sebegitu lagi. Saya berusaha untuk menunjukkan kasih kepada semua. (Matius 5:44) Satu cara saya berbuat demikian ialah melalui kerja menginjil. Kerja inilah yang membawa kebahagiaan, kedamaian, dan harapan kepada orang.
Kini hidup saya penuh makna dan saya rasa puas kerana saya sedar Tuhan tidak akan membiarkan binatang dan manusia untuk dianiaya selama-lamanya. Dia juga tidak akan mengizinkan manusia untuk memusnahkan bumi. Sebaliknya, Dia akan menggunakan Kerajaan-Nya untuk menjadikan bumi ini sebuah Firdaus. (Yesaya 11:1-9) Saya berasa sangat gembira kerana mempunyai harapan ini dan juga kerana dapat membantu orang lain untuk belajar tentangnya. Akhirnya saya tidak lagi rasa saya harus mengubah dunia.