Bagaimanakah Seharusnya Anda Mendisiplinkan Anak?
“Saya menunggu sambil mendengar bunyi kereta lalu-lalang di luar. Inilah kali ketiga Jordan tidak balik pada masa yang kami tetapkan. Saya berfikir, ‘Di mana dia? Adakah dia dalam kesusahan? Adakah dia tahu bahawa kami sedang risau?’ Apabila dia balik, saya berasa sangat marah.”—GEORGE.
“Anak perempuan saya menjerit sekuat hati. Saya berasa cemas. Saya menoleh dan nampak dia memegang kepalanya sambil menangis. Adik lelakinya yang berumur empat tahun baru sahaja memukulnya.”—NICOLE.
“Dengan wajah yang tidak bersalah, Natalie, anak kami yang berumur enam tahun berkata, ‘Saya tidak mencuri cincin itu, saya hanya menjumpainya!’ Kami tahu dia sedang menipu. Namun, dia tidak mengaku. Kami berasa sangat sedih hingga menangis.”—STEPHEN.
SEBAGAI ibu bapa, dapatkah anda memahami perasaan mereka di atas? Dalam situasi sedemikian, pernahkah anda berfikir tentang soalan-soalan ini: Adakah saya perlu mendisiplinkan anak? Apakah caranya? Adakah salah untuk mendisiplinkan anak saya?
APAKAH MAKSUD DISIPLIN?
Dalam Bible, perkataan disiplin bukan sama maksud dengan perkataan hukuman. Disiplin berkait dengan arahan, ajaran, dan pembetulan. Perkataan disiplin tiada kaitan dengan penderaan atau kekejaman.—Amsal 4:1, 2.
Disiplin boleh disamakan dengan cara pekebun menjaga tanaman. Dia akan menyediakan tanah, menyiram, membaja, dan melindungi tanaman itu. Apabila tanaman itu tumbuh, dia mungkin perlu mencantas tanaman itu agar dapat tumbuh dengan baik. Pekebun tahu bahawa dengan menggunakan gabungan beberapa kaedah, tanaman akan tumbuh dengan sihat. Begitu juga, ibu bapa perlu menjaga anak dalam banyak cara. Namun, seperti tanaman yang dicantas, ada kalanya anak perlu didisiplinkan. Hal ini membetulkan kecenderungan yang salah dan membantu mereka membesar dengan baik. Walaupun demikian, kerja mencantas perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tanaman tidak rosak. Begitu juga, disiplin perlu diberikan dengan kasih sayang.
Seperti yang dikatakan dalam Bible, Yehuwa memberikan teladan yang baik bagi ibu bapa. Disiplin yang Dia berikan kepada umat-Nya sangat berkesan. Mereka bahkan “suka ditegur ajar” atau didisiplinkan. (Amsal 12:1) Mereka ‘berpegang pada disiplin’ dan ‘tidak melepaskannya.’ (Amsal 4:13, NW) Agar anak meraih manfaat daripada disiplin, anda perlu meniru tiga faktor utama disiplin daripada Tuhan, iaitu: (1) kasih, (2) seimbang, dan (3) konsisten.
DISIPLIN DENGAN KASIH
Disiplin yang diberikan Tuhan didorong oleh kasih. Bible berkata, ‘Yehuwa menegur ajar orang yang dikasihi-Nya seperti seorang bapa menegur ajar anak yang disayanginya.’ (Amsal 3:12, ABB) Selain itu, ‘Yehuwa penuh dengan rahmat dan belas kasihan; tidak cepat murka.’ (Keluaran 34:6) Maka, Yehuwa tidak sekali-kali bertindak kejam atau menindas orang. Dia juga tidak menggunakan kata-kata yang kasar, mengkritik, atau menyindir orang kerana hal itu dapat “melukai hati seperti tikaman pedang.”—Amsal 12:18.
Sudah tentu ibu bapa tidak dapat meniru Yehuwa dengan sempurna. Sesekali kesabaran anda mungkin diuji. Hal itu memang tidak senang. Namun, ingatlah bahawa hukuman yang diberikan semasa anda sedang marah biasanya keterlaluan dan tidak berkesan. Hukuman yang disebabkan oleh kemarahan bukanlah disiplin, tetapi menunjukkan bahawa anda hilang kawalan diri.
Sebaliknya, disiplin yang diberikan dengan kasih dan secara terkawal membawa hasil yang baik. Fikirkan apa yang dilakukan oleh George dan Nicole, bapa dan ibu yang disebut pada permulaan rencana.
“Apabila Jordan akhirnya pulang, saya dan isteri berasa sangat marah. Namun kami mendengar alasannya dengan tenang. Oleh sebab sudah lewat, kami memutuskan untuk berbincang tentang hal itu pada pagi esok. Kami berdoa bersama dan kemudian tidur. Keesokan pagi, kami berasa lebih tenang dan dapat berbincang dalam cara yang menyentuh hati anak. Dia mengaku bersalah dan menerima larangan yang kami tetapkan. Kami sedar bahawa disiplin yang diberikan semasa marah tidak berkesan. Jika kami mendengar dahulu, hasilnya lebih baik.”—George.
“Saya sangat marah apabila saya nampak anak lelaki saya memukul kakaknya. Tetapi saya tidak mengambil tindakan dengan segera. Saya hanya suruh dia pergi ke biliknya kerana pada masa itu saya terlalu marah untuk bertindak dengan wajar. Kemudian, apabila saya lebih tenang, saya menerangkan kepadanya bahawa keganasan tidak diizinkan dan kakaknya telah cedera teruk. Cara ini berkesan. Dia telah meminta maaf dan memeluk kakaknya.”—Nicole.
Ya, disiplin serta hukuman yang diberikan seharusnya didorong oleh kasih.
DISIPLIN YANG SEIMBANG
Yehuwa selalu memberikan disiplin dengan “adil.” (Yeremia 30:11; 46:28) Dia mengambil kira semua faktor, termasuk faktor yang tidak ketara. Bagaimanakah ibu bapa dapat berbuat demikian? Menurut Stephen, “Walaupun pada mulanya kami sakit hati dan tidak faham mengapa Natalie enggan mengaku tentang cincin yang dicurinya, kami cuba mengambil kira umur dan tahap kematangannya.”
Suami Nicole, Robert, juga cuba mengambil kira semua faktor. Apabila anak-anak berbuat salah, dia berulang kali bertanya kepada dirinya, “Adakah hal ini berlaku sekali sahaja, atau berterusan? Mungkinkah anak itu penat atau sakit? Adakah perbuatannya menunjukkan bahawa dia ada masalah lain?”
Ibu bapa perlu faham bahawa anak-anak bukan seperti orang dewasa. Rasul Paulus mengaku, “Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap, bersikap, dan berfikir seperti kanak-kanak.” (1 Korintus 13:11) Robert berkata, “Satu perkara yang membantu saya agar tidak keterlaluan adalah dengan mengingati kelakuan saya ketika masih kanak-kanak.”
Adalah penting untuk berpandangan seimbang, tetapi pada masa yang sama tidak mengizinkan perbuatan yang salah. Dengan mempertimbangkan keupayaan dan keterbatasan anak, serta faktor lain, anda dapat memastikan bahawa disiplin yang diberikan adalah seimbang dan wajar.
DISIPLIN YANG KONSISTEN
Kita berasa yakin terhadap Tuhan kerana Dia berkata, ‘Akulah Yehuwa; Aku tidak berubah.’ (Maleakhi 3:6) Begitu juga, anak-anak akan berasa yakin jika ibu bapa bertindak dengan konsisten. Jika disiplin yang anda berikan berubah-ubah mengikut perasaan, anak akan berasa bingung dan marah.
Ingatlah kata-kata Yesus, “Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak.’” Maksudnya ibu bapa perlu melaksanakan apa yang dikatakan. (Matius 5:37) Fikirlah masak-masak dahulu. Jangan katakan sesuatu tetapi kemudian tidak melakukannya. Sekiranya anda memberikan amaran bahawa anak akan dihukum jika dia melakukan kesalahan, maka laksanakanlah hukuman itu.
Ibu bapa perlu berkomunikasi dengan baik jika ingin memberikan disiplin dengan konsisten. Contohnya, anak-anak mungkin mendapat kebenaran daripada bapa untuk melakukan sesuatu yang sudah pun dilarang oleh ibu. Jika situasi ini berlaku, Robert berkata, “Saya akan mengubah keputusan saya supaya dapat menyokong keputusan isteri.” Sekiranya ibu bapa tidak setuju dalam hal tertentu, adalah baik bagi mereka berdua untuk berbincang tentangnya secara bersendirian.
DISIPLIN MEMANG DIPERLUKAN
Dengan meniru Yehuwa yang memberikan disiplin dengan kasih, seimbang, dan konsisten, anak akan mendapat manfaat. Bimbingan anda akan membantu mereka untuk menjadi orang dewasa yang matang, seimbang, dan bertanggungjawab. Bible pun berkata, “Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian.”—Amsal 22:6, ABB.