Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Kehidupan Bermula?

Bagaimanakah Kehidupan Bermula?

Apakah pilihan anda untuk melengkapi ayat berikut?

KEHIDUPAN MERUPAKAN HASIL . . .

  1. EVOLUSI

  2. PENCIPTAAN

 Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa orang yang berfikiran sains akan memilih evolusi manakala orang yang berpaut pada agama akan memilih penciptaan.

 Tetapi hal itu tidak semestinya.

 Hakikatnya, ramai orang yang berpendidikan tinggi, termasuk beberapa saintis mempersoalkan ketepatan teori evolusi.

 Contohnya, seorang profesor entomologi yang bernama Gerard diajar teori evolusi semasa di kolej. Dia berkata, “Semasa ujian, saya akan memberikan jawapan yang diinginkan oleh profesor. Tetapi saya sendiri tidak percaya apa yang diajarkan.”

 Mengapakah sesetengah orang yang berfikiran sains berasa susah untuk menerima teori evolusi sebagai permulaan kehidupan? Untuk mencari jawapannya, pertimbangkan dua soalan yang membingungkan para penyelidik: (1) Apakah permulaan kehidupan? dan (2) Bagaimanakah hidupan terbentuk?

Apakah Permulaan Kehidupan?

 JAWAPAN SESETENGAH ORANG. Kehidupan muncul secara spontan daripada benda yang tidak hidup.

 MENGAPA JAWAPAN INI TIDAK MEYAKINKAN. Berbanding sebelumnya, para saintis mempunyai lebih banyak pengetahuan mengenai kimia dan struktur molekul hidupan. Biarpun begitu, mereka masih tidak dapat menjelaskan bagaimana kehidupan boleh wujud. Terdapat perbezaan yang sangat besar antara benda yang tidak bernyawa dengan sel hidup yang paling ringkas.

 Ahli sains hanya dapat membuat andaian tentang keadaan bumi berbilion tahun dahulu. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza tentang asal kehidupan. Ada yang percaya bahawa kehidupan bermula dari sebuah gunung berapi atau dasar lautan. Yang lain pula percaya bahawa unsur-unsur hidupan terbentuk di angkasa dan tiba di bumi melalui meteor. Namun, teori ini tidak menjawab persoalan tentang permulaan kehidupan, tetapi hanya mengandaikan bahawa kehidupan bermula di tempat lain.

 Menurut andaian para saintis, bahan genetik dalam benda hidup dibentuk oleh molekul-molekul tertentu. Molekul-molekul ini kemungkinannya terhasil secara rawak daripada bahan yang tidak bernyawa dan dapat menghasilkan molekul yang baharu. Namun, sains tidak dapat membuktikan kewujudan molekul sebegini, bahkan para saintis pun tidak dapat menciptakannya di makmal.

 Benda yang hidup dapat menyimpan dan memproses maklumat dalam cara yang unik. Sel dapat menyampaikan, mentafsirkan, dan melaksanakan arahan yang terkandung dalam kod genetiknya. Sesetengah ahli sains menggambarkan kod genetik seperti perisian komputer dan struktur kimia dalam sel seperti perkakasan komputer. Namun, evolusi tidak dapat menjelaskan sumber maklumat yang terkandung dalam kod genetik.

 Sel memerlukan molekul protein untuk berfungsi. Satu molekul protein merangkumi ratusan asid amino yang dirangkaikan menurut urutan yang tertentu. Selain itu, molekul protein perlu dipintal menjadi bentuk tiga dimensi yang tertentu agar dapat berfungsi. Sesetengah ahli sains menyimpulkan bahawa kebarangkalian bagi satu molekul protein untuk membentuk secara spontan adalah sangat tipis. Paul Davies, seorang ahli fizik, menulis, “Satu sel yang berfungsi memerlukan ribuan protein yang berlainan. Jadi tidak masuk akal jika sel-sel terbentuk secara kebetulan.”

 KESIMPULAN. Selama puluhan tahun, kajian telah dilakukan dalam hampir semua bidang sains. Namun, hakikatnya tetap sama bahawa kehidupan hanya dapat wujud daripada sesuatu yang bernyawa.

Bagaimanakah Hidupan Terbentuk?

 JAWAPAN SESETENGAH ORANG. Melalui proses mutasi rawak dan pemilihan semula jadi, benda hidup yang pertama berkembang secara beransur-ansur untuk membentuk pelbagai benda hidup, termasuk manusia.

 MENGAPA JAWAPAN INI TIDAK MEYAKINKAN. Sesetengah sel lebih rumit berbanding sel yang lain. Menurut sebuah rujukan, persoalan tentang bagaimana sel yang lebih ringkas berkembang menjadi sel yang lebih rumit “merupakan misteri kedua terbesar tentang evolusi. Misteri yang pertama ialah bagaimana kehidupan bermula.”

 Para saintis mendapati bahawa di dalam setiap sel, terdapat molekul-molekul bagaikan mesin yang terbentuk daripada molekul protein. Mesin-mesin ini bekerjasama untuk melaksanakan tugas-tugas yang rumit. Contohnya, menghantar zat dan mengubahnya menjadi tenaga, membaiki bahagian-bahagian sel, dan menyampaikan maklumat dalam sel. Adakah semua ini hasil daripada mutasi secara rawak dan pemilihan semula jadi? Banyak orang tidak setuju dengan konsep ini.

 Haiwan dan manusia dibentuk daripada satu sel telur yang disenyawakan. Dalam embrio itu, sel-sel akan berganda lalu mula mengambil bentuk dan fungsi yang berlainan untuk menjadi bahagian-bahagian tubuh. Evolusi tidak dapat menjelaskan bagaimana setiap sel “tahu” melakukan semua ini.

 Kini para saintis sedar bahawa perubahan dalam sel perlu berlaku pada tahap molekul supaya sejenis binatang dapat berubah menjadi binatang yang lain. Sehingga kini, ahli sains gagal membuktikan bahawa evolusi dapat menghasilkan sel yang “paling ringkas.” Oleh itu, adakah munasabah untuk mengatakan bahawa segala jenis binatang dalam planet ini wujud kerana mutasi rawak atau pemilihan semula jadi? Michael Behe, seorang profesor sains biologi, berkata bahawa para saintis “telah menemui hal-hal yang rumit dan mengagumkan ketika mengkaji tentang tubuh haiwan. Namun mereka masih tidak faham bagaimana struktur haiwan yang rumit dapat wujud melalui evolusi, sebuah proses yang tidak dirancang.

 Manusia mempunyai kesedaran, mampu berfikir dan menaakul, mempunyai nilai-nilai moral seperti kemurahan hati, rela berkorban, dan mempunyai keupayaan untuk membezakan apa yang betul dan salah. Mutasi secara rawak dan pemilihan semula jadi tidak dapat menjelaskan mengapa manusia mempunyai sifat-sifat yang unik seperti itu.

 KESIMPULAN. Ramai orang menegaskan bahawa asal usul kehidupan adalah berasaskan teori evolusi, namun ada juga yang masih tidak dapat menerima penjelasan teori itu mengenai asal usul kehidupan dan bagaimana hidupan terbentuk.

Jawapan yang Wajar Dipertimbangkan

 Selepas mempertimbangkan bukti-bukti yang ada, banyak orang menyimpulkan bahawa kehidupan merupakan hasil daripada kebijaksanaan yang unggul. Fikirkan contoh Antony Flew, seorang profesor falsafah yang pernah menjadi penyokong utama ateisme. Pandangan Flew berubah setelah mempelajari betapa rumitnya kehidupan dan hukum fizik alam semesta. Dengan memetik pandangan para falsafah pada zaman kuno, dia menulis: “Kita harus menerima kesimpulan yang disokong oleh bukti-bukti yang kukuh.” Bagi Profesor Flew, semua bukti yang ditemuinya menunjukkan adanya Pencipta.

 Gerard, yang disebutkan dalam awal rencana ini, juga mencapai kesimpulan yang sama. Walaupun berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya dalam kajian serangga, dia berkata, “Tiada bukti yang menunjukkan bahawa kehidupan wujud secara kebetulan daripada benda yang tidak bernyawa. Ketertiban dan kerumitan benda-benda hidup meyakinkan saya akan wujudnya Pengatur dan Pereka.”

 Sepertimana seseorang dapat mengetahui tentang seorang ahli seni dengan meneliti karyanya, Gerard dapat mengenali sifat-sifat Pencipta dengan mengkaji alam semula jadi. Gerard juga mengambil masa untuk mengkaji sebuah buku yang berasal daripada Pencipta, iaitu Bible. (2 Timotius 3:​16) Melalui Bible, dia dapat mencari jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan tentang sejarah manusia dan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh manusia hari ini. Dia juga diyakinkan bahawa Bible berasal daripada Individu yang jauh lebih bijak.

 Gerard mendapati bahawa jawapan Bible sangat masuk akal. Kami juga menggalakkan anda mengkajinya sendiri.