Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Bible Membantu Anda Mengatasi Ketagihan Dadah?

Dapatkah Bible Membantu Anda Mengatasi Ketagihan Dadah?

 Setiap tahun, jutaan orang meninggal akibat penyalahgunaan dadah. Sedihnya, masalah ini semakin melarat semasa pandemik COVID-19. Tetapi, nasihat Bible telah membantu banyak orang mengatasi ketagihan dadah. Jika anda sedang bergelut dengan masalah ini, Bible juga dapat membantu anda. a

Dalam rencana ini

 Mengapakah Bible dapat membantu anda mengatasi masalah ketagihan?

 Para pakar mendapati bahawa ramai orang ketagihan dadah kerana berasa sunyi, tertekan, risau, dan murung. Tetapi, Bible dapat membantu anda memupuk persahabatan dengan Tuhan dan membina iman terhadap-Nya. (Mazmur 25:14) Dengan itu, anda dapat melawan perasaan yang negatif dan menangani masalah yang nampaknya mustahil diatasi dengan kekuatan sendiri.—Markus 11:22-24.

 Empat langkah daripada Bible untuk mengatasi ketagihan anda

  1.  1. Mengenali Tuhan Yehuwa. b (Yohanes 17:3) Yehuwa ialah Pencipta, Tuhan Yang Maha Kuasa, dan Bapa kita yang pengasih. Dia mahu menjalin hubungan yang rapat dengan anda dan ingin menggunakan kuasa-Nya untuk membantu anda. (Yesaya 40:29-31; Yakobus 4:8) Dia juga menjanjikan masa depan yang baik bagi orang yang memilih untuk mengasihi-Nya.—Yeremia 29:11; Yohanes 3:16.

  2.  2. Meminta bantuan Yehuwa. Berdoalah kepada Tuhan dan mohon bantuan-Nya agar anda dapat mengatasi ketagihan anda. Dengan demikian, anda akan tetap ‘suci atau bersih, dan menyenangkan hati Tuhan.’ (Roma 12:1) Melalui kuasa suci-Nya, Tuhan dapat memberi anda kekuatan, atau “kuasa luar biasa.” (2 Korintus 4:7; Lukas 11:13) Kuasa ini dapat membantu anda melawan ketagihan anda dan memupuk “keperibadian baharu” yang Tuhan inginkan.—Kolose 3:9, 10.

  3.  3. Mengisi minda dengan fikiran Tuhan. (Yesaya 55:9) Tuhan dapat membantu anda mengubah atau ‘membaharui cara anda berfikir’ supaya anda dapat bebaskan diri daripada ketagihan anda. (Efesus 4:23) Melalui Bible, anda dapat mengetahui fikiran Tuhan. Jadi, anda harus membacanya secara tetap. (Mazmur 1:1-3) Anda juga akan mendapat manfaat jika seseorang membantu anda memahami ajaran Bible. (Kisah 8:30, 31) Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan kursus perbincangan Bible yang percuma. Anda juga dialu-alukan untuk menghadiri perjumpaan kami supaya anda dapat belajar tentang Bible dan cara untuk mengikut ajarannya.

  4.  4. Memilih pergaulan yang baik. Kawan-kawan dapat menjadi pengaruh yang baik atau buruk. (Amsal 13:20) Mereka dapat membantu anda membebaskan diri atau menyebabkan anda terus terperangkap dalam ketagihan anda. Tuhan mahu anda bergaul dengan penyembah-Nya kerana mereka ialah pengaruh yang baik bagi anda. (Mazmur 119:63; Roma 1:12) Berhati-hatilah semasa memilih hiburan anda. Apa yang anda lihat, dengar, atau baca dapat memberi kesan kepada anda. Jauhilah apa-apa saja yang dapat melemahkan tekad anda untuk melakukan apa yang benar.—Mazmur 101:3; Amos 5:14.

 Ayat Bible yang dapat bantu anda mengatasi ketagihan anda

 Mazmur 27:10: “Ya Yehuwa, walaupun ibu bapa kandungku meninggalkan aku, Engkau pasti akan memelihara aku.”

 “Saya tidak kenal siapa bapa kandung saya. Jadi saya rasa ada kekosongan dalam hidup saya. Tetapi setelah saya kenal Tuhan Yehuwa dan sedar bahawa Dia benar-benar mengasihi saya, hidup saya lebih bermakna dan saya dapat melawan ketagihan saya.”—Wilby, dari Haiti.

 Mazmur 50:15: “Kamu seharusnya berseru kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkan kamu.”

 “Walaupun saya pernah menyerah kepada godaan, ayat ini banyak kali membantu saya untuk tidak putus asa. Yehuwa selalu menunaikan janji-Nya.”—Serhiy, dari Ukraine.

 Amsal 3:5, 6: “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.”

 “Ayat ini bantu saya untuk percaya kepada Yehuwa dan bukannya diri sendiri. Dengan bantuan-Nya, saya berjaya mengubah hidup saya.”—Michele, dari Itali.

 Yesaya 41:10: “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.”

 “Saya sangat resah apabila saya tidak mengambil dadah. Tapi ayat ini meyakinkan saya bahawa Tuhan akan membantu saya mengatasi perasaan itu. Dan itulah yang Dia lakukan.”—Andy, dari Afrika Selatan.

 1 Korintus 15:33: “Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”

 “Kawan-kawan yang buruk mengajak saya untuk mengambil dadah. Akhirnya, saya pun ketagih. Saya hanya dapat membebaskan diri daripada ketagihan dadah selepas memutuskan hubungan dengan mereka. Saya juga berkawan dengan orang yang bersih di mata Tuhan.”—Isaac, dari Kenya.

 2 Korintus 7:1: “Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.”

 “Ayat ini menguatkan azam saya untuk menyingkirkan apa-apa yang memudaratkan tubuh saya. Saya juga bertekad untuk mengatasi ketagihan saya.”—Rosa, dari Colombia.

 Filipi 4:13: “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”

 “Saya sedar saya tidak dapat melawan masalah ketagihan dadah dengan kuasa sendiri. Jadi saya berdoa kepada Tuhan dan Dia memberi saya kekuatan yang saya perlukan.”—Patrizia, dari Itali.

 Kisah benar: Mengatasi ketagihan dengan bantuan Bible

 Joseph Ehrenbogen dibesarkan di kawasan yang terkenal dengan keganasan. Dia mula ketagih alkohol, rokok, ganja, dan heroin. Beberapa kali dia hampir mati kerana mengambil dadah berlebihan. Tetapi satu petikan Bible telah meyakinkannya bahawa dia dapat berubah. Bacalah kisahnya dalam rencana, “Saya Mula Menghormati Wanita dan Diri Sendiri.”

 Dmitry Korshunov telah berusaha keras untuk mengatasi ketagihan alkohol. Walaupun banyak kali dia gagal, lihatlah apa yang membantunya bebas daripada jerat alkohol dalam video, ‘Saya Jemu dengan Gaya Hidup Sendiri.’

 Adakah Bible melarang seseorang mendapatkan rawatan perubatan untuk mengatasi masalah ketagihan?

 Tidak. Bible kata, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.” (Matius 9:12) Institut Kebangsaan Penyalahgunaan Dadah Amerika Syarikat juga menyatakan, “Ketagihan dadah merupakan penyakit yang kompleks. Kadangkala, seseorang memerlukan bantuan dan bukan hanya keinginan atau azam yang kuat untuk mengatasinya.” Sudah tentu, bantuan daripada Tuhan dapat menguatkan tekad seseorang. Namun, ramai orang mengakui bahawa selain daripada mengikut nasihat Bible, mereka juga perlu mendapatkan bantuan perubatan. c Seorang lelaki bernama Allen berkata, “Semasa saya berhenti minum alkohol, badan saya rasa sangat sakit dan gejala-gejala yang saya alami sangat teruk. Biarpun saya ada bantuan dari segi rohani, saya sedar saya juga memerlukan bantuan perubatan.”

 Adakah Bible melarang penggunaan dadah dalam bidang perubatan?

 Tidak. Sebenarnya, Bible menyatakan bahawa alkohol dapat digunakan untuk merawat penyakit atau mengurangkan rasa sakit seseorang yang hampir mati. (Amsal 31:6; 1 Timotius 5:23) Tetapi seperti alkohol, dadah yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan boleh menyebabkan seseorang ketagih. Memandangkan terdapat risiko dalam penggunaan ubat tahan sakit, pastikan anda gunakannya dengan bijak dan berhati-hati.—Amsal 22:3.

a Walaupun rencana ini bertumpu kepada masalah ketagihan dadah, prinsip Bible yang dibincangkan juga dapat membantu orang menangani masalah pemakanan atau ketagihan alkohol, rokok, perjudian, pornografi, atau media sosial.

b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?

c Terdapat pusat rawatan, hospital, dan program pemulihan yang menyediakan bantuan untuk orang yang ketagihan dadah. Setiap orang harus mempertimbangkan pilihan yang ada dan memilih rawatan yang paling sesuai baginya.—Amsal 14:15.