Sebanyak 3,000 Buah Dewan Perjumpaan Dibina di Nigeria
Pada hari Sabtu, 1 Mac 2014, seramai 823 orang telah berkumpul di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa di Kota Benin untuk mengingati suatu peristiwa bersejarah di Nigeria. Pada tahun 1999, Saksi-Saksi Yehuwa telah memulakan aturan untuk membina Dewan Perjumpaan bagi negara dengan sumber terhad. Hasilnya, sebanyak 3,000 buah Dewan Perjumpaan telah dibina di Nigeria.
Dalam perhimpunan khas itu, sejarah tentang bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa berhimpun di Nigeria sejak tahun 1920-an telah ditonjolkan. Pada mulanya, mereka berkumpul di rumah atau dewan yang disewa. Sekitar tahun 1935, mereka mula menggunakan sebuah dewan yang dikhaskan untuk perjumpaan di kota Ilesa. Dari tahun 1938 hingga 1990, bilangan sidang bertambah sebanyak 200 kali ganda, iaitu daripada 14 buah sidang kepada 2,681 buah sidang. Maka mereka tidak mempunyai Dewan Perjumpaan yang mencukupi. Ada sesetengah Dewan Perjumpaan yang dikongsi oleh enam buah sidang. Ada pula sidang yang mempunyai terlalu banyak hadirin sehingga ada orang terpaksa berdiri di luar dan mendengar perjumpaan menerusi tingkap-tingkap. Banyak sidang juga terpaksa mengadakan perjumpaan di rumah atau bilik darjah kerana mereka tiada Dewan Perjumpaan yang mencukupi.
Pada tahun 1990, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa mula memberikan pinjaman kepada sidang-sidang untuk membina dewan perjumpaan menerusi Tabung Dewan Perjumpaan. Maka pada tahun 1997, Jawatankuasa Pembinaan Serantau telah membantu 105 buah sidang untuk membina atau mengubah suai dewan mereka. Dari tahun 1997 hingga 1999, sebanyak 13 buah dewan telah dibina dalam masa 7 hingga 15 hari.
Biarpun begitu banyak dewan telah dibina, mereka masih tidak dapat menampung keperluan bilangan Saksi-Saksi Yehuwa di Nigeria yang bertambah dengan pesat. Pada April 1998, pejabat cawangan menganggarkan bahawa mereka masih memerlukan 1,114 buah Dewan Perjumpaan.
Don Trost, salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Nigeria, telah memberikan sebuah ceramah semasa perhimpunan khas di Kota Benin. Dia berkata, “Kerja pembinaan ini memang tidak mudah! Kami tertanya-tanya, ‘Bagaimanakah kerja ini dapat diselesaikan?’” Pertanyaan ini telah dijawab pada tahun 1999, apabila Kumpulan Pembinaan Dewan Perjumpaan, yang dianggotai oleh enam hingga lapan orang, ditugaskan untuk membantu sidang-sidang di seluruh Nigeria. Dengan menggunakan reka bentuk yang dipermudah, sepanjang 14 tahun yang lalu, mereka telah membina sebanyak 17 buah dewan setiap bulan secara purata.
Saudara Trost memuji para sukarelawan di situ dan menyatakan bahawa kerja mereka belum lagi selesai. Pada tahun 2013, bilangan Saksi-Saksi Yehuwa di Nigeria telah bertambah sebanyak lebih daripada 8,000 orang. “Untuk memenuhi keperluan pada masa depan, sebanyak 100 buah Dewan Perjumpaan diperlukan setiap tahun,” katanya. Pada tahun 2013, angka tertinggi bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Nigeria ialah 351,000 orang dalam lebih daripada 5,700 buah sidang.