Lompat ke kandungan

Surat daripada Tuan-Tuan Rumah

Surat daripada Tuan-Tuan Rumah

Baru-baru ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah menyelesaikan projek untuk meluaskan kemudahan Watchtower Farms di Wallkill, New York. Projek itu telah berlangsung selama enam tahun. Pada dua tahun terakhir, kerja pembinaan telah dipercepat. Oleh itu, lebih banyak tempat tinggal diperlukan untuk para pekerja sukarela. Maka, sebanyak 25 buah rumah telah disewa di kawasan berhampiran tapak pembinaan.

Para Penyewa

Apakah perasaan tuan rumah terhadap Saksi-Saksi Yehuwa yang menyewa rumah mereka?

  • Seorang pemilik rumah berkata, “Kami gembira dengan penyewa kami. Saya dan suami tinggal bersebelahan dengan rumah yang disewa. Kami selalu melihat kerjasama dan sikap ramah mereka yang tinggal di sana.”

  • Pemilik rumah lain, yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang disewa oleh para Saksi, berkata, “Kami senang hati dengan mereka. Kami sering jemput mereka untuk berenang di kolam air di belakang rumah kami. Apabila mereka datang, mereka bertimbang rasa dan menunjukkan sikap hormat. Mereka juga selalu berlari di padang. Kami pasti akan merindui mereka kerana kami suka bergaul dengan mereka. Kami sangat bersyukur mendapat penyewa seperti mereka.”

  • “Betapa bagusnya kerana mereka bukan sahaja penyewa, tetapi juga merupakan jiran yang baik,” kata seorang lagi tuan rumah.

Rumah yang Disewa

Apakah perasaan para pemilik mengenai keadaan rumah selepas penyewa berpindah?

  • “Mereka tidak pernah lewat membayar sewa. Rumah juga dijaga dengan baik dan dikembalikan dalam keadaan yang bagus sekali.”

  • Seorang pemilik rumah, yang disebutkan sebelum ini, berkata, “Terima kasih organisasi Watchtower, kerana kamu telah menjaga rumah kami dengan baik.” Dia juga tidak menyangka bahawa para Saksi akan membersihkan rumah itu dengan “teliti sekali.”

  • Seorang wanita berkata, “Organisasi kamu sangat jujur. Jadi kami tidak minta deposit. Kedua-dua rumah yang disewa dikembalikan dalam keadaan yang sempurna.”

  • “Bolehkah saya mengupah kamu?” tanya seorang pemilik rumah selepas para Saksi membaiki rumahnya. Dia juga berkata, “Apabila kamu berjanji untuk buat kerja pada hari yang ditetapkan, kamu memang menepatinya. Pekerja yang biasa saya upah itu selalu tidak menepati janji.”

Tanggapan Terakhir

  • Sebelum kontrak sewa sebuah rumah tamat, pemilik rumah itu telah menulis surat kepada para Saksi. Dia berkata bahawa jika mereka membaharui kontrak sewa, dia akan memberikan “tawaran yang istimewa” dengan kadar sewa yang rendah.

  • Seorang lagi tuan rumah berkata, “Jika ada peluang, kami gembira untuk menyewakan rumah kepada organisasi Watchtower lagi.”