Lompat ke kandungan

“Peranan Wanita dalam Kerja Pembinaan”

“Peranan Wanita dalam Kerja Pembinaan”

Sebuah organisasi pembinaan yang terkemuka di Britain telah memuji Saksi-Saksi Yehuwa kerana melatih para wanita untuk mengendalikan jentera berat bagi projek pembinaan pejabat cawangan baharu berdekatan Chelmsford, Essex. The Considerate Constructors Scheme a (CCS) menyebut latihan ini sebagai program “inovatif.” Program ini mendapat markah 10, iaitu markah yang tertinggi. Mengapakah para Saksi mendapat markah yang begitu tinggi?

Di Britain, kurang daripada 13 peratus pekerja pembinaan ialah wanita. Menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh sebuah syarikat di Britain, hanya sedikit wanita muda yang mempertimbangkan pekerjaan dalam bahagian pembinaan. Namun, dalam projek pembinaan di Chelmsford, 40 peratus daripada pekerjanya merupakan wanita, dan 60 peratus daripada pekerja yang mengendalikan jentera berat ialah wanita.

Para wanita bekerja bersama para lelaki di tapak pembinaan Chelmsford

Apakah yang membantu para wanita Saksi ini untuk berjaya? Latihan dan sokongan yang diterima mereka memainkan peranan penting. Dua faktor itu juga menjadi sebahagian daripada piawaian yang dikehendaki oleh CCS. Piawaian itu mendorong para pekerja pembinaan untuk “saling menghormati, menggalakkan, menyokong, bersikap adil” serta “mementingkan latihan.”

Melatih Wanita untuk Mengendalikan Jentera Berat

Jade, salah seorang wanita yang dilatih untuk mengendalikan mesin pengorek dan lori pembuang, berkata, “Hebat betul! Saya tidak sangka saya dapat lakukannya. Kadangkala kerja memang mencabar, tapi saya sentiasa diberi latihan dan dapat belajar perkara baharu.” Seperti Jade, Lucy juga kini merupakan operator bagi jentera berat. Dia berkata, “Pertama kali saya tiba di tapak pembinaan, saya rasa saya tidak ada apa-apa kemahiran untuk disumbangkan. Tapi sejak hari pertama itu, saya selalu terima latihan. Saya telah bekerja dengan lima kumpulan yang berbeza, jadi saya telah diberi banyak latihan!”

Sesi latihan sedang berlangsung

Para wanita dalam kumpulan itu bukan sahaja pandai mengendalikan mesin. Seorang penyelia yang bernama Eric berkata, “Jika dibandingkan dengan lelaki, wanita biasanya lebih pandai menjaga peralatan. Jika ada sesuatu yang rosak pada mesin, mereka akan segera menyedarinya dan melaporkannya.”

Menyokong Wanita dalam Projek Pembinaan

Carl, yang menyelia kumpulan yang mengendalikan jentera berat, berkata, “Saya sangat kagum melihat cara wanita menggunakan jentera berat. Kadangkala, walaupun ada operator lelaki yang memiliki banyak pengalaman, saya akan pilih operator wanita!”

Seorang wanita menggunakan mesin untuk mencantum paip plastik

Para pekerja akan semakin yakin apabila mendapat sokongan daripada penyelia mereka. Itulah yang berlaku kepada Therese. Sebagai operator mesin yang berpengalaman, dia perlu memikul tanggungjawab dan membuat keputusan untuk memastikan keselamatan sentiasa diutamakan. Therese berkata, “Bila saya sedar bahawa saya mendapat sokongan penyelia, saya dapat buat kerja saya dengan lebih baik sebab saya rasa diri saya dipercayai. Semua kerja keras saya berbaloi kerana saya tahu saya dihargai dan dihormati orang lain.”

Abigail, seorang lagi operator mesin pengorek dan lori pembuang, juga menghargai sokongan dan kerjasama pekerja lain. Dia berkata, “Para lelaki di sini tidak pandang rendah terhadap saya. Mereka bersedia bantu saya, tapi pada masa yang sama mereka tidak cuba ambil alih tugas saya. Mereka beri saya peluang untuk laksanakan tugas saya.”

Pekerja yang Berfokus dan Bersungguh-sungguh

Selain mengendalikan pelbagai jenis jentera berat, para wanita di Chelmsford juga dilatih untuk tugas lain. Mereka dilatih untuk membuat pengurusan tanah, mengukur keluasan tanah, membaiki mesin, dan memasang perancah (scaffolding). Robert yang telah melakukan pelbagai jenis projek bersama para wanita berkata, “Mereka sangat fokus pada kerja, bersemangat, dan sangat teliti.” Tom, yang bekerja sebagai ahli ukur juga berkata, “Wanita dalam kumpulan saya sangat teliti dan bekerja dengan sungguh-sungguh. Mereka selalu mahu mendapat ukuran yang tepat.”

Itulah sebabnya, seorang penyelia bernama Fergus berkata, “Peranan wanita dalam kerja pembinaan memang penting!”

a The Considerate Constructors Scheme merupakan organisasi persendirian yang bertujuan untuk meningkatkan imej industri pembinaan di Britain.